YOSUA 10

10
Orang Amori Dikalahkan
1Raja Adoni-Zedek, penguasa Yerusalem, mendengar bahawa Yosua telah merebut Ai dan sama sekali memusnahkan kota itu, dan bahawa dia telah membunuh raja Ai seperti yang dilakukannya terhadap kota Yerikho dan rajanya. Raja itu mendengar juga bahawa orang Gibeon telah membuat perjanjian damai dengan umat Israel dan sekarang orang Gibeon tinggal bersama-sama umat Israel. 2Penduduk Yerusalem sangat takut kerana Gibeon adalah kota yang besar, sama besarnya dengan kota-kota lain yang mempunyai raja. Kota Gibeon lebih besar daripada kota Ai dan orang Gibeon pejuang yang handal. 3Oleh itu Raja Adoni-Zedek mengirim pesan berikut kepada Raja Hoham dari Hebron, Raja Piream dari Yarmut, Raja Yafia dari Lakhis, dan Raja Debir dari Eglon, 4“Marilah tolong beta menyerang Gibeon, kerana penduduknya telah membuat perjanjian damai dengan Yosua dan umat Israel.” 5Kelima-lima orang raja Amori itu, iaitu raja dari Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon datang dengan semua tentera mereka, lalu mengepung dan menyerang Gibeon.
6Orang Gibeon mengirimkan berita ini kepada Yosua di perkhemahan di Gilgal, “Tuan, janganlah tinggalkan kami! Marilah tolong kami dengan segera! Selamatkanlah kami! Semua raja orang Amori di perbukitan telah bergabung dan menyerang kami!”
7Oleh itu Yosua dan seluruh tenteranya, termasuk pasukannya yang terbaik berangkat dari Gilgal. 8TUHAN berfirman kepada Yosua, “Janganlah takut akan mereka. Aku telah memberi engkau kemenangan. Tidak seorang pun daripada mereka akan dapat menentang engkau.” 9Sepanjang malam Yosua dan tenteranya berjalan dari Gilgal menuju ke Gibeon, lalu mereka menyerang orang Amori secara mendadak. 10TUHAN menyebabkan orang Amori cemas apabila melihat tentera Israel. Orang Israel membunuh mereka di Gibeon dan mengejar musuh yang masih hidup, ke genting gunung di Bet-Horon sampai ke Azeka dan Makeda di selatan. 11Ketika orang Amori lari daripada umat Israel melalui genting gunung, TUHAN menurunkan hujan batu ke atas mereka sepanjang jalan sampai ke Azeka, sehingga lebih banyak orang yang terbunuh oleh hujan batu daripada yang dibunuh oleh orang Israel.
12Pada hari TUHAN memberikan kemenangan kepada umat Israel terhadap orang Amori, Yosua bercakap dengan TUHAN. Di hadapan umat Israel Yosua berkata,
“Hai matahari, berhentilah di atas Gibeon.
Hai bulan, berhentilah di atas Lembah Ayalon.”
13 Matahari berhenti dan bulan pun tidak bergerak sehingga umat Israel telah mengalahkan musuh mereka. Kisah ini tertulis di dalam Kitab Yasar. Matahari berhenti di tengah-tengah langit sehari suntuk, dan lama sekali barulah matahari terbenam pada hari itu. 14Baik pada masa lampau mahupun sejak hari itu, hal seperti itu tidak pernah berlaku apabila TUHAN menurut keinginan manusia. Pada hari itu TUHAN berperang bagi pihak umat Israel.
15Selepas itu Yosua dan tenteranya kembali ke perkhemahan di Gilgal.
Yosua Menawan Lima Orang Raja Amori
16Tetapi lima orang raja Amori itu melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah gua di Makeda. 17Apabila mereka dijumpai, Yosua diberitahu tempat persembunyian mereka. 18Yosua berkata, “Gulingkanlah batu-batu besar ke mulut gua itu. Tugaskan beberapa orang pengawal di situ, 19tetapi jangan kamu berhenti di tempat itu. Kejarlah musuh dan seranglah mereka dari belakang. Jangan biar mereka masuk ke kota mereka! TUHAN, Allah kamu telah memberi kamu kemenangan atas mereka.” 20Yosua dan umat Israel membunuh orang Amori, walaupun ada beberapa orang yang berjaya menyelamatkan diri di dalam kota mereka sehingga tidak dibunuh. 21Selepas itu seluruh tentera Israel kembali dengan selamat kepada Yosua di Makeda.
Tiada sesiapa pun di negeri itu yang berani bersuara menentang umat Israel.
22Kemudian Yosua berkata, “Bukalah mulut gua itu dan bawalah lima orang raja itu kepadaku.” 23Gua itu dibuka dan raja-raja kota Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon dibawa keluar, 24lalu dihadapkan kepada Yosua. Kemudian Yosua memanggil semua orang Israel berkumpul, lalu memerintah para panglima yang berperang bersama-sama dia, supaya meletakkan kaki mereka pada leher raja-raja itu. Mereka pun berbuat demikian. 25Setelah itu Yosua berkata kepada para panglimanya, “Jangan takut ataupun tawar hati. Kamu mesti yakin dan berani kerana inilah yang akan dilakukan TUHAN kepada semua musuh kamu.” 26Kemudian Yosua membunuh raja-raja itu dan menggantung mayat-mayat itu pada lima batang pokok, lalu membiarkan mayat di situ sehingga senja. 27Pada waktu matahari terbenam, Yosua memberikan perintah untuk menurunkan mayat-mayat itu dan membuang semuanya ke dalam gua tempat raja-raja itu bersembunyi dahulu. Batu-batu besar diletakkan pada mulut gua itu; batu-batu itu masih ada di situ sampai sekarang.
Yosua Merebut Lebih Banyak Wilayah Orang Amori
28Yosua menyerang kota Makeda lalu merebutnya pada hari itu. Dia membunuh rajanya dan semua orang di kota itu. Tiada seorang pun yang tertinggal, semuanya dibunuh. Yosua memperlakukan raja kota Makeda seperti dia memperlakukan raja kota Yerikho.
29Selepas itu Yosua dan tenteranya berangkat dari Makeda lalu pergi ke Libna. Mereka menyerang kota Libna. 30TUHAN juga memberi umat Israel kemenangan atas kota itu dan rajanya. Mereka tidak membiarkan sesiapa pun hidup. Mereka membunuh tiap-tiap orang di dalam kota itu. Mereka memperlakukan raja itu seperti mereka memperlakukan raja kota Yerikho.
31Dari Libna, Yosua dan tenteranya berangkat ke Lakhis. Mereka mengepung kota itu lalu menyerangnya. 32Pada hari kedua pertempuran itu, TUHAN memberi mereka kemenangan atas kota itu. Mereka tidak membiarkan seorang pun hidup di Lakhis. Seperti yang dilakukan mereka di Libna, mereka membunuh semua orang di kota itu. 33Raja Horam dari kota Gezer datang untuk menolong Lakhis tetapi Yosua mengalahkan raja dan tenteranya, dan tiada seorang pun dibiarkan hidup. Semuanya dibunuh.
34Dari Lakhis, Yosua dan tenteranya berangkat pula ke Eglon. Mereka mengepung kota itu lalu menyerangnya. 35Mereka merebut kota itu pada hari itu juga dan membunuh semua orang di situ, seperti yang dilakukan mereka di Lakhis.
36Dari Eglon, Yosua dan tenteranya berangkat pula ke Hebron, di kawasan perbukitan. Mereka menyerang 37dan merebut kota itu. Mereka membunuh rajanya serta setiap orang di kota itu dan di kota-kota sekitarnya. Yosua memusnahkan kota itu sama sekali, sebagaimana yang dilakukannya terhadap kota Eglon. Tiada seorang pun dibiarkan hidup.
38Kemudian Yosua dan tenteranya kembali ke Debir dan menyerang kota itu. 39Dia merebut kota itu dengan rajanya dan semua kota lain yang di sekitarnya. Mereka membunuh tiap-tiap orang di situ. Yosua memperlakukan Debir dan rajanya seperti dia memperlakukan kota Hebron dan Libna, serta raja-raja di sana.
40Yosua menakluki seluruh tanah itu. Dia mengalahkan raja-raja di kawasan perbukitan, lereng-lereng bukit di sebelah timur, kaki-kaki bukit di sebelah barat dan juga tanah-tanah kering di sebelah selatan. Dia tidak membiarkan seorang pun hidup; dia membunuh tiap-tiap orang. Itulah perintah TUHAN, Allah Israel. 41Yosua mengalahkan daerah-daerah dari Kades-Barnea di selatan sampai ke Gaza dekat pantai, termasuk seluruh daerah Gosyen, sampai ke Gibeon di utara. 42Yosua menaklukkan semua raja itu dan negeri-negeri mereka dengan sekaligus kerana TUHAN, Allah Israel, bertempur untuk Israel. 43Selepas itu Yosua dan tenteranya kembali ke perkhemahan di Gilgal.

Terpilih Sekarang Ini:

YOSUA 10: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk