AYUB 10
10
1Aku sudah bosan dengan hidupku.
Aku akan meluahkan kepahitan jiwaku.
2Ya Allah, janganlah salahkan aku.
Beritahulah aku tuduhan-Mu terhadapku.
3Adilkah Engkau bersikap sekejam ini,
menghina ciptaan-Mu sendiri,
dan memperkenankan rancangan orang keji?
4Adakah pandangan-Mu seperti pandangan manusia?
5Adakah hidup-Mu sesingkat hidup manusia?
6Jika tidak, mengapakah Engkau mencari segala dosaku,
dan mengejar setiap kesalahanku?
7Engkau tahu bahawa aku tidak bersalah,
dan tiada sesiapa dapat menyelamatkan aku daripada-Mu.
8Tangan-Mu telah mencipta dan membentuk aku,
dan kini tangan itu juga yang membinasakan aku.
9Ingatlah, Engkau mencipta aku daripada tanah liat;
mahukah Engkau menghancurkan aku sehingga menjadi debu semula?
10Engkau memberi bapaku tenaga untuk menjadikan aku;
Engkau membesarkan aku di dalam rahim ibuku.
11Engkau membentuk badanku dengan tulang dan urat,
Engkau meliputi tulang-tulangku dengan otot dan kulit.
12Engkau memberi aku nyawa dan Engkau mengasihi aku,
dan penjagaan-Mu telah memelihara nyawaku.
13Tetapi kini aku tahu bahawa selama itu
Engkau berniat jahat terhadapku.
14Engkau mengawasi aku supaya jika aku berdosa,
Engkau tidak akan mengampuni aku.
15Jika aku berdosa, malanglah aku ini,
tetapi jika aku berbuat benar, aku tidak dipuji.
Aku menderita dan dihina sama sekali.
16Jika aku mendapat sedikit kejayaan,
Engkau memburu aku seperti singa;
bahkan Engkau menggunakan mukjizat untuk menyakiti aku.
17Engkau selalu mempunyai saksi yang menentang aku;
kemurkaan-Mu terhadapku semakin marak;
Engkau selalu merancang serangan baru.
18Ya Allah, mengapakah Engkau membiarkan aku lahir ke dunia?
Sepatutnya aku mati sebelum dilihat manusia.
19Maka seolah-olah aku tidak dilahirkan,
kerana dari rahim langsung dikuburkan.
20Bukankah hidupku hampir berakhir? Jangan ganggu aku lagi!
Biarkan aku menikmati masaku yang sisa ini.
21Tidak lama lagi aku akan pergi dan tidak akan kembali,
pergi ke tempat yang gelap dan kelam;
22yang penuh kegelapan, bayangan, dan kekacauan;
di sana yang terang pun merupakan kegelapan.”
Terpilih Sekarang Ini:
AYUB 10: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.