AYUB 11

11
Zofar
1Kemudian Zofar dari negeri Naamah berkata,
2“Tiadakah sesiapa mahu menjawab segala cakap kosong itu?
Dapatkah orang dibenarkan dengan cakap yang banyak itu?
3Ayub, adakah engkau berfikir bahawa kami tidak dapat menjawabmu,
dan bahawa kami bungkam kerana ejekanmu?
4Engkau berpendapat bahawa kata-katamu tidak salah,
dan bahawa engkau suci di hadapan Allah.
5Aku sangat berharap agar Allah menjawab engkau!
6Dia akan memberitahu engkau bahawa hikmat itu banyak seginya;
ada perkara yang terlalu dalam bagi manusia.
Allah menghukum engkau lebih ringan daripada yang sepatutnya.
7Dapatkah engkau memahami hal-hal yang dalam tentang Allah?
Dapatkah engkau menyelami batas keagungan Yang Maha Kuasa?
8Keagungan Allah lebih tinggi daripada angkasa,
dan engkau tidak dapat mencapainya.
Keagungan-Nya lebih dalam daripada dunia orang mati,
dan engkau tidak dapat memahaminya.
9Keagungan Allah lebih luas daripada bumi,
lebih lebar daripada samudera.
10Jika Allah menangkap dan mengadili engkau,
siapakah yang akan menghalangi-Nya?
11Allah tahu manusia yang mana tidak berguna;
Dia nampak semua perbuatan jahat mereka.
12Orang bodoh akan mula menjadi bijak,
apabila keldai liar dilahirkan jinak.
13Ayub, bersihkanlah hatimu, bertaubatlah.
Angkatlah tangan dan berdoalah kepada Allah.
14Berhentilah berbuat dosa,
dan jauhkanlah kejahatan daripada rumah tanggamu.
15Kemudian hadapilah hidup dengan hati nurani yang bersih;
engkau akan tabah dan teguh hati.
16Maka kesusahanmu tidak lagi engkau kenang,
seperti banjir yang sudah surut dan dilupakan orang.
17Kehidupanmu akan menjadi lebih terang
daripada sinar matahari waktu siang,
dan saat-saat gelap dalam hidupmu
akan bersinar seperti pada waktu subuh.
18Engkau akan hidup dengan selamat dan penuh harapan;
Allah akan melindungi engkau sehingga engkau berehat dengan aman.
19Engkau tidak akan takut terhadap musuh;
banyak orang akan minta tolong kepadamu.
20Tetapi orang jahat akan melihat di sekeliling dan berasa bingung;
mereka tidak menemui jalan keluar.
Satu-satunya harapan mereka adalah menghembus nafas terakhir.”

Terpilih Sekarang Ini:

AYUB 11: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk