YESAYA 54:1-10

YESAYA 54:1-10 BM

Hai Yerusalem, dahulu kamu seperti wanita mandul, tetapi sekarang bernyanyilah dan bersorak-sorailah dengan gembira. Sekarang kamu akan mendapat lebih banyak anak daripada wanita yang tidak pernah ditinggalkan suami! Luaskanlah khemah kediamanmu, panjangkan talinya dan kukuhkanlah pasaknya! Kawasanmu akan diperluas di setiap sisi; pendudukmu akan kembali menghuni negeri yang sekarang diduduki oleh bangsa-bangsa lain. Kota-kota yang sekarang lengang akan dipenuhi orang. Jangan takut! Kamu tidak akan dipermalukan lagi. Kamu tidak akan dihina lagi. Kamu akan melupakan ketidaksetiaanmu pada waktu muda, dan tidak ingat akan kesunyianmu sebagai janda. Penciptamu seperti suami bagimu, nama-Nya TUHAN Yang Maha Kuasa. Allah Israel, Allah yang suci ialah Penyelamat kamu, Dialah Allah penguasa seluruh dunia. Hai Israel, kamu seperti seorang isteri yang muda, yang sedih kerana ditinggalkan oleh suaminya. Tetapi TUHAN memanggil kamu kembali kepada-Nya. Dia berfirman, “Sebentar saja Aku telah meninggalkan kamu, tetapi dengan penuh kasih Aku akan mengambil kamu kembali. Aku berpaling daripadamu sebentar saja kerana Aku sangat murka, tetapi Aku akan mengasihi kamu selama-lamanya.” Demikianlah firman TUHAN, Penyelamat kamu. “Pada zaman Nuh Aku berjanji tidak akan membanjiri bumi lagi. Sekarang Aku berjanji tidak akan murka terhadapmu lagi; Aku tidak akan memarahi atau menghukum kamu. Biarpun gunung dan bukit runtuh, tetapi Aku tidak akan berhenti mengasihi kamu; Aku akan menepati perjanjian damai-Ku.” Demikianlah firman TUHAN yang mengasihi kamu.