YESAYA 54

54
Kasih TUHAN terhadap Israel
1 Hai Yerusalem, dahulu kamu seperti wanita mandul,
tetapi sekarang bernyanyilah dan bersorak-sorailah dengan gembira.
Sekarang kamu akan mendapat lebih banyak anak
daripada wanita yang tidak pernah ditinggalkan suami!
2Luaskanlah khemah kediamanmu,
panjangkan talinya dan kukuhkanlah pasaknya!
3Kawasanmu akan diperluas di setiap sisi;
pendudukmu akan kembali menghuni negeri
yang sekarang diduduki oleh bangsa-bangsa lain.
Kota-kota yang sekarang lengang akan dipenuhi orang.
4Jangan takut! Kamu tidak akan dipermalukan lagi.
Kamu tidak akan dihina lagi.
Kamu akan melupakan ketidaksetiaanmu pada waktu muda,
dan tidak ingat akan kesunyianmu sebagai janda.
5Penciptamu seperti suami bagimu,
nama-Nya TUHAN Yang Maha Kuasa.
Allah Israel, Allah yang suci ialah Penyelamat kamu,
Dialah Allah penguasa seluruh dunia.
6Hai Israel, kamu seperti seorang isteri yang muda,
yang sedih kerana ditinggalkan oleh suaminya.
Tetapi TUHAN memanggil kamu kembali kepada-Nya.
Dia berfirman,
7“Sebentar saja Aku telah meninggalkan kamu,
tetapi dengan penuh kasih Aku akan mengambil kamu kembali.
8Aku berpaling daripadamu sebentar saja kerana Aku sangat murka,
tetapi Aku akan mengasihi kamu selama-lamanya.”
Demikianlah firman TUHAN, Penyelamat kamu.
9 “Pada zaman Nuh Aku berjanji
tidak akan membanjiri bumi lagi.
Sekarang Aku berjanji tidak akan murka terhadapmu lagi;
Aku tidak akan memarahi atau menghukum kamu.
10Biarpun gunung dan bukit runtuh,
tetapi Aku tidak akan berhenti mengasihi kamu;
Aku akan menepati perjanjian damai-Ku.”
Demikianlah firman TUHAN yang mengasihi kamu.
Yerusalem yang Baru
11TUHAN berfirman,
“Hai Yerusalem, kota yang menderita dan tidak berdaya,
tiada sesiapa pun yang menghiburkan kamu.
Aku akan membina asasmu semula dengan batu nilam.
12 Aku akan membina menaramu dengan batu delima,
pintu gerbangmu dengan batu manikam merah,
dan tembok di sekelilingmu dengan batu permata.
13 Aku sendiri akan mengajar pendudukmu,
dan memberi mereka kemakmuran dan kedamaian.
14Keadilan akan menguatkan kamu.
Kamu akan terhindar daripada penindasan dan kengerian.
15Jika seseorang menyerbu kamu,
bukanlah Aku yang menyuruhnya;
sesiapa yang menyerang kamu akan jatuh.
16Akulah yang menciptakan tukang besi,
yang menyalakan api lalu membuat senjata.
Aku juga yang menciptakan askar,
yang menggunakan senjata itu untuk membunuh.
17Tetapi tiada senjata yang dapat mencederakan kamu;
semua tuduhan terhadap kamu akan kamu buktikan salah.
Aku akan membela hamba-hamba-Ku,
serta memberi mereka kemenangan.”
Demikianlah firman TUHAN.

Terpilih Sekarang Ini:

YESAYA 54: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk