YESAYA 54:1-10

YESAYA 54:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

Hai Yerusalem, dahulu kamu seperti wanita mandul, tetapi sekarang bernyanyilah dan bersorak-sorailah dengan gembira. Sekarang kamu akan mendapat lebih banyak anak daripada wanita yang tidak pernah ditinggalkan suami! Luaskanlah khemah kediamanmu, panjangkan talinya dan kukuhkanlah pasaknya! Kawasanmu akan diperluas di setiap sisi; pendudukmu akan kembali menghuni negeri yang sekarang diduduki oleh bangsa-bangsa lain. Kota-kota yang sekarang lengang akan dipenuhi orang. Jangan takut! Kamu tidak akan dipermalukan lagi. Kamu tidak akan dihina lagi. Kamu akan melupakan ketidaksetiaanmu pada waktu muda, dan tidak ingat akan kesunyianmu sebagai janda. Penciptamu seperti suami bagimu, nama-Nya TUHAN Yang Maha Kuasa. Allah Israel, Allah yang suci ialah Penyelamat kamu, Dialah Allah penguasa seluruh dunia. Hai Israel, kamu seperti seorang isteri yang muda, yang sedih kerana ditinggalkan oleh suaminya. Tetapi TUHAN memanggil kamu kembali kepada-Nya. Dia berfirman, “Sebentar saja Aku telah meninggalkan kamu, tetapi dengan penuh kasih Aku akan mengambil kamu kembali. Aku berpaling daripadamu sebentar saja kerana Aku sangat murka, tetapi Aku akan mengasihi kamu selama-lamanya.” Demikianlah firman TUHAN, Penyelamat kamu. “Pada zaman Nuh Aku berjanji tidak akan membanjiri bumi lagi. Sekarang Aku berjanji tidak akan murka terhadapmu lagi; Aku tidak akan memarahi atau menghukum kamu. Biarpun gunung dan bukit runtuh, tetapi Aku tidak akan berhenti mengasihi kamu; Aku akan menepati perjanjian damai-Ku.” Demikianlah firman TUHAN yang mengasihi kamu.

YESAYA 54:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Bersorak-sorailah, wahai perempuan mandul yang tidak pernah melahirkan anak! Bergembiralah dengan sorak-sorai dan memekiklah, wahai engkau yang tidak pernah mengalami sakit bersalin! Kerana anak daripada perempuan yang ditinggalkan suaminya akan lebih ramai daripada anak daripada perempuan yang bersuami,” demikianlah firman TUHAN. “Luaskanlah tempat khemahmu dan biarlah dibentangkan kain-kain khemah penghunianmu, jangan ditahan-tahan. Panjangkanlah tali-talimu dan kukuhkanlah pancang-pancangmu, kerana engkau akan mengembang ke kanan dan ke kiri. Keturunanmu akan memiliki bangsa-bangsa dan menduduki kota-kota yang sunyi sepi. Jangan takut, kerana engkau tidak akan mendapat malu. Jangan berasa tercela, kerana engkau tidak akan dihina. Engkau akan melupakan aib semasa mudamu, dan cela kejandaanmu tidak akan kauingat lagi. Sesungguhnya, Dia yang menjadikan engkau seperti suami bagimu, TUHAN alam semesta ialah nama-Nya. Penebusmu ialah Yang Maha Suci, Allah Israel. Dia disebut Allah semesta bumi. TUHAN memanggil engkau seperti memanggil isteri yang ditinggalkan dan yang bersusah hati, iaitu isteri yang dikahwin pada masa muda tetapi kemudian ditolak,” demikianlah firman Allahmu. “Seketika sahaja Aku meninggalkan engkau, tetapi dengan kasih sayang yang besar Aku akan mengumpulkan engkau. Dalam luapan murka-Ku Aku menyembunyikan hadirat-Ku daripadamu seketika sahaja, tetapi dengan kasih yang kekal Aku mengasihani engkau,” demikianlah firman TUHAN, Penebusmu. “Bagi-Ku hal ini seperti air bah pada zaman Nuh. Sebagaimana Aku bersumpah bahawa air bah pada zaman Nuh tidak akan melanda bumi lagi, demikianlah Aku bersumpah bahawa Aku tidak akan murka lagi kepadamu atau mengherdik engkau. Sekalipun gunung-ganang dipindahkan dan bukit-bukit bergoyang, kasih abadi-Ku tidak akan berpindah daripadamu dan perjanjian damai-Ku tidak akan bergoyang,” demikianlah firman TUHAN, yang mengasihani engkau.