2 SAMUEL 18
18
Absalom Dikalahkan dan Dibunuh
1Raja Daud mengumpulkan semua anak buahnya, lalu membahagikan mereka menjadi beberapa pasukan yang terdiri daripada seribu dan seratus orang. Kemudian baginda melantik beberapa orang pahlawan untuk mengetuai setiap pasukan. 2Setelah itu baginda menyuruh mereka mara untuk berperang dalam tiga kumpulan, masing-masing dipimpin oleh Yoab, Abisai adik Yoab, dan Itai dari Gat. Raja bertitah kepada anak buahnya, “Beta juga ikut bersama dengan kamu.”
3Tetapi mereka menjawab, “Jangan tuanku. Jika kami terpaksa lari, atau separuh daripada bilangan kami mati, musuh belum berasa puas, kerana tuankulah yang dicari mereka. Tuanku sama nilainya dengan sepuluh ribu orang daripada kami. Lagipun lebih baik tuanku mengirim bantuan kepada kami dari dalam kota.”
4Kemudian raja bertitah, “Baiklah, terserah kepada kamu.” Selepas itu raja berdiri di sisi pintu gerbang kota, sementara tentera berbaris ke luar dalam pasukan-pasukan yang terdiri daripada seribu dan seratus orang. 5Raja memberi perintah kepada Yoab, Abisai, dan Itai, katanya, “Demi beta, jangan berlaku kasar terhadap Absalom, anak muda itu.” Semua askar mendengar Raja Daud memberi perintah itu kepada para ketua pasukan.
6Selepas itu tentera Raja Daud pergi ke luar kota untuk memerangi tentera Israel, dan mereka bertempur di hutan Efraim. 7Tentera Israel dikalahkan oleh anak buah Raja Daud. Kekalahan itu sungguh dahsyat; seramai dua puluh ribu orang mati pada hari itu. 8Pertempuran merebak ke seluruh kawasan itu, dan lebih banyak orang yang mati terperangkap di dalam hutan daripada terbunuh di medan pertempuran.
9Semasa Absalom menunggang baghalnya, tiba-tiba dia bertemu dengan anak buah Raja Daud. Baghalnya lalu di bawah pokok oak yang besar, sehingga kepala Absalom tersangkut pada dahan pokok itu. Baghalnya terus berlari sedangkan Absalom tertinggal dan tergantung di situ. 10Seorang daripada anak buah Raja Daud nampak Absalom dan melaporkan hal itu kepada Yoab, “Tuan, tadi saya nampak Absalom tergantung pada sebatang pokok oak!”
11Yoab menjawab, “Apa? Awak nampak dia? Mengapa awak tidak segera membunuh dia? Pasti aku akan memberi awak sepuluh keping wang perak dan seutas tali pinggang.”
12Tetapi orang itu menjawab, “Walaupun tuan memberi saya seribu keping wang perak, saya tidak mahu menyakiti putera raja. Kami semua mendengar apa yang diperintahkan raja kepada tuan dan kepada Abisai, serta Itai, supaya tidak berlaku kasar terhadap Absalom, anak muda itu demi raja. 13Tetapi sekiranya saya melanggar perintah raja dan membunuh Absalom tadi, tentu hal itu diketahui oleh raja, kerana raja mendengar tentang segala sesuatu, dan tuan pun pasti tidak akan membela saya.”
14“Sudahlah! Habis masa hanya bersoal jawab dengan awak,” kata Yoab. Kemudian Yoab mengambil tiga batang tombak lalu menikam dada Absalom. Pada masa itu Absalom masih hidup dan tergantung pada pokok oak. 15Kemudian sepuluh orang anak buah Yoab mengeroyok Absalom dan membunuh dia.
16Yoab menyuruh orang membunyikan trompet supaya anak buahnya berhenti mengejar pasukan Israel. 17Kemudian mereka mengambil mayat Absalom dan melemparkannya ke dalam perigi yang dalam di hutan. Mereka menimbuni perigi itu dengan batu sampai tinggi. Semua orang Israel lari, dan pulang ke rumah masing-masing.
18Semasa hidup Absalom, dia telah membangun sebuah tugu di Lembah Raja bagi dirinya, kerana dia tidak mempunyai anak lelaki untuk meneruskan keturunannya. Dia menamakan tugu itu menurut namanya sendiri. Sampai hari ini tugu itu dikenal sebagai Tugu Absalom.
Raja Daud Diberitahu tentang Kematian Absalom
19Kemudian Ahimaas anak Zadok berkata kepada Yoab, “Benarkanlah saya pergi untuk menghadap raja dan menyampaikan khabar baik bahawa TUHAN sudah menyelamatkan raja daripada musuh.”
20“Jangan,” kata Yoab, “hari ini kamu tidak boleh menyampaikan khabar baik. Kamu boleh melakukannya pada hari lain, tetapi bukan hari ini, kerana putera raja sudah mangkat.” 21Kemudian Yoab berkata kepada hambanya, orang Etiopia, “Pergilah beritahu raja apa yang telah engkau nampak.” Hamba itu sujud lalu pergi dengan berlari.
22Tetapi Ahimaas mendesak Yoab, “Walau apa pun yang terjadi, benarkanlah saya juga untuk pergi menyampaikan khabar.”
“Mengapa engkau berkeras untuk pergi, anakku?” tanya Yoab. “Engkau tidak akan menerima hadiah untuk hal itu.”
23“Tidak mengapa,” kata Ahimaas lagi, “Saya akan tetap pergi.”
“Jika begitu, pergilah,” kata Yoab. Maka Ahimaas berlari menyusuri jalan yang melalui Lembah Yordan, dan tidak lama kemudian dia berjaya mendahului hamba itu.
24Raja Daud sedang duduk di ruang antara pintu gerbang sebelah dalam dan pintu gerbang sebelah luar kota itu. Pengawal naik ke atas tembok dan berdiri di atas bumbung pintu gerbang. Apabila dia melayangkan pandangan, dia nampak seorang datang berlari. 25Pengawal itu berseru ke bawah memberitahukan hal itu kepada raja, dan raja bertitah, “Jika dia sendirian, tentulah khabar baik yang dibawanya.”
Ketika orang itu hampir sampai, 26penjaga itu nampak seorang lagi datang berlari, lalu dia berseru, “Tengok! Ada seorang lagi yang lari ke sini sendirian.”
Raja menjawab, “Pasti dia membawa khabar baik juga.”
27Penjaga itu berkata, “Orang yang pertama itu Ahimaas. Hamba tahu daripada cara dia berlari.”
“Dia orang baik,” kata raja, “tentu dia membawa khabar baik.”
28Ahimaas berseru untuk memberi salam kepada raja, lalu sujud dan berkata, “Terpujilah TUHAN, Allah tuanku. Dia telah memberi tuanku kemenangan atas orang yang memberontak terhadap tuanku!”
29Raja bertanya, “Adakah Absalom, orang muda itu selamat?”
Ahimaas menjawab, “Tuanku, tadi ketika hamba diutus oleh Yoab, panglima tuanku, hamba nampak kekecohan yang besar tetapi hamba tidak tahu apa yang terjadi.”
30“Berdirilah di sebelah sana,” titah raja, lalu Ahimaas pergi ke samping dan berdiri di situ.
31Kemudian hamba bangsa Etiopia itu sampai, lalu berkata kepada raja, “Hamba membawa khabar baik untuk tuanku! Pada hari ini TUHAN telah memberi tuanku kemenangan atas semua orang yang memberontak terhadap tuanku.”
32Raja bertanya kepadanya, “Adakah Absalom, anak muda itu selamat?”
Kemudian hamba itu menjawab, “Biarlah semua musuh tuanku, semua orang yang memberontak terhadap tuanku mengalami nasib yang sama seperti anak muda itu.”
33Setelah mendengar berita itu raja sangat sedih, lalu naik ke ruangan di atas pintu gerbang sambil meratap, “Aduhai anakku! Aduhai anakku Absalom! Absalom, anakku! Lebih baik aku yang mati menggantikan engkau, anakku! Absalom, anakku!”
Terpilih Sekarang Ini:
2 SAMUEL 18: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.