2 SAMUEL 17
17
Husai Menggagalkan Rancangan Ahitofel
1Tidak lama kemudian, Ahitofel berkata kepada Absalom, “Benarkanlah hamba memilih dua belas ribu orang. Pada malam ini hamba akan berangkat untuk mengejar Raja Daud. 2Hamba akan menyerang baginda waktu baginda masih letih dan lemah semangat. Baginda akan ketakutan sehingga semua anak buahnya melarikan diri. Hanya Raja Daud yang akan hamba bunuh. 3Semua anak buahnya akan hamba kembalikan kepada tuanku seperti pengantin perempuan kembali kepada suaminya. Bukankah tuanku hanya menginginkan nyawa satu orang? Orang lain tidak akan diapa-apakan.” 4Nasihat itu dipandang baik oleh Absalom dan oleh semua pemimpin orang Israel.
5Meskipun begitu Absalom berkata, “Panggillah Husai. Mari kita dengar pendapatnya.” 6Ketika Husai datang menghadap, Absalom memberitahukan rancangan Ahitofel, lalu berkata, “Begitulah nasihat Ahitofel. Adakah kita hendak menurut nasihat itu? Jika tidak, berilah cadangan lain.”
7Husai menjawab, “Nasihat Ahitofel kali ini tidak baik. 8Tuanku tentu tahu bahawa Raja Daud dan anak buahnya itu pejuang yang gagah berani. Mereka seganas beruang betina yang kehilangan anaknya. Lagipun Raja Daud seorang askar berpengalaman, yang tidak pernah bermalam bersama-sama anak buahnya. 9Mungkin pada saat ini pun baginda sedang bersembunyi di dalam sebuah gua atau di tempat lain. Sebaik saja anak buah tuanku diserang oleh Raja Daud, dan ada yang mati, maka sesiapa saja yang mendengar hal itu akan berkata bahawa anak buah tuanku sudah dikalahkan. 10Akibatnya, orang yang paling berani dan gagah perkasa seperti singa pun tentu akan menjadi takut. Semua orang di Israel tahu bahawa ayahanda tuanku itu seorang pahlawan, dan bahawa anak buahnya itu pejuang-pejuang yang gagah berani. 11Oleh sebab itu, nasihat hamba begini: Kumpulkanlah semua orang Israel dari seluruh negeri, sehingga jumlahnya sebanyak pasir di pantai. Kemudian tuanku sendiri mengetuai mereka maju bertempur. 12Kita akan mencari Raja Daud di mana saja baginda berada, lalu kita menyerang baginda sebelum baginda sedar akan apa yang terjadi. Tiada seorang pun yang akan terlepas, baik baginda mahupun anak buahnya. 13Jika baginda lari ke dalam sebuah kota, segenap rakyat kita akan mengambil tali-temali dan menyeret kota itu lalu menjatuhkannya ke dalam lembah yang terdekat. Seketul batu pun tidak akan ada yang tertinggal di atas bukit itu.”
14Setelah Absalom dan semua orang Israel mendengar cadangan itu, mereka berkata, “Nasihat Husai lebih baik daripada nasihat Ahitofel.” TUHAN sudah menentukan untuk menggagalkan nasihat Ahitofel yang baik itu, supaya Absalom ditimpa malapetaka.
Raja Daud Menyelamatkan Diri
15Selepas itu Husai memberi laporan kepada Imam Zadok dan Imam Abyatar tentang nasihat Ahitofel dan nasihatnya sendiri kepada Absalom dan para pemimpin Israel. 16Husai berkata, “Cepat! Beritahulah Raja Daud supaya tidak bermalam di tempat penyeberangan sungai di padang gurun. Baginda harus segera menyeberangi Sungai Yordan. Jika tidak, baginda dan semua anak buahnya akan ditangkap dan dibunuh.”
17Sementara itu Yonatan anak Abyatar dan Ahimaas anak Zadok sedang menunggu dekat mata air En-Rogel, di pinggir kota Yerusalem. Mereka tidak berani masuk ke kota kerana takut dilihat orang. Seperti biasa, mereka mendapat khabar daripada seorang hamba perempuan yang menyampaikan berita yang harus dilaporkan kepada Raja Daud. 18Tetapi kali itu seorang anak lelaki kebetulan melihat mereka, lalu memberitahukan hal itu kepada Absalom. Oleh itu Yonatan dan Ahimaas cepat-cepat pergi dan bersembunyi di rumah seorang penduduk kampung Bahurim. Di halaman rumahnya itu ada sebuah perigi, lalu mereka masuk ke dalam perigi itu. 19Isteri pemilik rumah itu membentangkan penutup di atas lubang perigi itu lalu menaburkan gandum di atasnya, sehingga perigi itu tidak kelihatan. 20Orang suruhan Absalom datang ke rumah itu dan bertanya kepada wanita tadi, “Di manakah Ahimaas dan Yonatan?”
“Mereka baru saja menyeberangi sungai,” jawabnya.
Orang suruhan itu mencari kedua-dua orang pemuda itu, tetapi tidak menjumpai mereka. Kemudian orang suruhan itu pulang ke Yerusalem. 21Ahimaas dan Yonatan keluar dari perigi itu, lalu segera pergi menemui Raja Daud. Mereka melaporkan segala hal yang berlaku. Mereka berkata, “Ahitofel memberi nasihat untuk menyerang tuanku. Oleh itu berangkatlah sekarang juga dan seberangilah sungai ini.” 22Oleh itu Raja Daud dan anak buahnya menyeberangi Sungai Yordan, lalu sampai di seberang pada waktu fajar.
23Apabila Ahitofel mengetahui bahawa nasihatnya tidak dituruti, dia memasang pelana keldainya lalu pulang ke kotanya sendiri. Setelah menyelesaikan segala urusannya, dia menggantung diri. Kemudian dia dikuburkan di dalam kuburan keluarganya.
24Raja Daud sudah sampai di kota Mahanaim ketika Absalom menyeberangi Sungai Yordan dengan diiringi oleh orang Israel. ( 25Absalom sudah melantik Amasa menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab. Amasa anak Yitra, orang Ismael; ibunya bernama Abigail anak Nahas, saudara perempuan Zeruya, ibu Yoab.) 26Absalom dan anak buahnya berkhemah di daerah Gilead.
27Ketika Raja Daud tiba di Mahanaim, baginda disambut oleh Sobi anak Nahas dari kota Raba di Amon, dan oleh Makhir anak Amiel dari Lodebar, dan oleh Barzilai dari Rogelim di Gilead. 28-29Mereka membawa mangkuk, kuali tembikar, dan kain tidur untuk Raja Daud dan anak buahnya. Mereka juga membawa gandum, barli, tepung, bertih, kacang merah, kacang merah besar, madu, keju, krim, dan beberapa ekor domba. Mereka tahu bahawa Raja Daud dan anak buahnya lapar, haus, dan lelah kerana perjalanan di padang gurun.
Terpilih Sekarang Ini:
2 SAMUEL 17: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.