BARUKH 4
4
1Kebijaksanaan ialah kitab perintah-perintah Allah, Taurat Musa yang tetap untuk selama-lamanya. Semua orang yang berpegang padanya akan hidup, tetapi orang yang meninggalkannya akan mati. 2Hai Israel, berbaliklah dan peganglah kebijaksanaan itu dengan teguh. Berjalanlah menuju pancaran cahayanya. 3Jangan serahkan keagungan dan kemujuran kamu kepada bangsa asing. 4Sungguh berbahagialah kita orang Israel, kerana kita tahu akan apa yang berkenan kepada Tuhan Allah.
Ketenteraman bagi Yerusalem
5Kuatkanlah hatimu, hai bangsaku yang mengabadikan nama Israel. 6Kamu sudah dijual kepada bangsa-bangsa asing, tetapi tidak akan dibinasakan. Kamu telah membuat Allah murka, sehingga diserahkan kepada musuh-musuh kamu. 7Kamu telah membangkitkan kemurkaan Pencipta kamu dengan mempersembahkan korban kepada syaitan dan bukan kepada Allah. 8Kamu melupakan Allah yang kekal, yang mengasuh kamu sejak kecil dan kamu mendukakan Yerusalem yang menjadi seperti ibu kepada kamu. 9Yerusalem melihat kamu ditimpa kemurkaan Allah, maka Yerusalem berkata kepada jiran-jirannya, “Lihatlah kesedihan besar yang ditimpakan Allah kepadaku! 10Aku melihat anak-anakku ditawan, sebagaimana yang didatangkan Allah yang kekal kepada mereka. 11Mereka telah kuasuh dengan sukacita; sekarang aku berdukacita dan menangis melihat mereka dibawa pergi. 12Janganlah sesiapa pun bergembira kerana aku; aku ini balu yang kehilangan banyak anak. Aku ditinggalkan seorang diri kerana anak-anakku telah berdosa, oleh sebab mereka meninggalkan Taurat Allah. 13Mereka tidak mengendahkan peraturan-peraturan-Nya, tidak menjalankan perintah-perintah-Nya dan tidak mengikut jalan kebenaran yang dikehendaki Tuhan.
14Marilah, hai jiran-jiranku, ingatlah akan anak-anakku yang tertawan, sebagaimana didatangkan Allah yang kekal kepada mereka. 15Allah telah mengirim suatu bangsa dari jauh kepada mereka, bangsa biadab yang berbahasa asing. Mereka tidak menghormati orang tua dan tidak pula mengasihani kanak-kanak. 16Bangsa itu telah membawa anak-anak kesayanganku pergi, dan aku, si balu, ditinggalkan sendirian.
17Hai anak-anakku, aku tidak berdaya menolong kamu. 18Hanya Dia yang mendatangkan bencana itu terhadap kamu, akan menyelamatkan kamu daripada musuh-musuh kamu. 19Pergilah saja, hai anak-anakku, pergilah! Aku tertinggal sendirian dan kesepian. 20Pakaian yang kukenakan pada masa damai sudah kulepaskan dan kuganti dengan kain guni tanda merendahkan diri. Selama hidupku aku akan menjerit meminta pertolongan Allah yang kekal.
21Kuatkanlah hatimu, hai anak-anakku, berserulah kepada Allah. Dia pasti akan menyelamatkan kamu daripada kekuasaan dan penindasan musuh. 22Aku yakin Allah yang kekal segera akan membebaskan kamu. Yang Suci iaitu Penyelamat yang kekal akan menggembirakan aku apabila Dia menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu. 23Ketika kamu dibawa pergi, aku bersedih dan menangis. Tetapi Allah akan membawa kamu pulang kepadaku dan menggembirakan aku untuk selama-lamanya. 24Seperti mana jiran-jiran telah melihat kamu ditawan, begitu juga mereka segera akan melihat kamu diselamatkan oleh Allah yang kekal, yang datang kepada kamu dengan keagungan dan semarak yang besar. 25Hai anak-anakku, hendaklah kamu sabar menanggung hukuman Allah. Sekarang kamu dikejar-kejar musuh, tetapi kamu segera akan melihat mereka dibinasakan dan takluk kepada kamu. 26Anak-anakku yang tersayang, kamu harus menempuh jalan yang tidak rata dan digiring pergi seperti kawanan domba yang dirampas musuh.
27Kuatkanlah hati kamu, hai anak-anakku, berserulah kepada Allah. Dia yang mengirimkan bencana itu akan ingat lagi kepada kamu. 28Seperti kamu bertekad meninggalkan Allah dahulu, begitu hendaknya kamu sekarang kembali mengabdi kepada-Nya dengan sepuluh kali lebih rajin. 29Dia yang mengirim segala bencana itu kepada kamu akan menyelamatkan kamu dan memberi kamu kebahagiaan yang kekal.”
Yerusalem Pasti akan Ditolong
30Kuatkanlah hatimu, hai Yerusalem! Dia yang telah memberi nama kepadamu akan menghibur engkau. 31Malanglah mereka yang telah menganiaya engkau dan bersukaria kerana kehancuranmu. 32Malanglah kota-kota yang memperhamba anak-anakmu. Malanglah kota Babel tempat anak-anakmu ditawan. 33Seperti mana kota itu bersukaria kerana kehancuranmu, begitu pula kota itu akan berdukacita kerana kehancurannya sendiri. 34Aku akan merampas rakyat kebanggaannya yang banyak jumlahnya, dan mengubah bualannya yang bongkak menjadi ratapan. 35Aku, Allah yang kekal akan mendatangkan api ke atasnya, api yang menyala berhari-hari lamanya. Reruntuhannya akan didiami syaitan untuk masa yang lama.
36Tengoklah ke timur, hai Yerusalem, dan lihatlah kegembiraan yang didatangkan Allah bagimu. 37Lihatlah anak-anakmu datang kepadamu, anak-anak yang sudah kaubiarkan pergi. Mereka telah dikumpulkan dari timur dan dari barat atas perintah Allah yang suci. Sekarang mereka pulang sambil bersukaria kerana keagungan Allah.
Terpilih Sekarang Ini:
BARUKH 4: BMDC
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.