BARUKH 3
3
1Ya Tuhan Yang Maha Kuasa, Allah Israel, dengan hati yang hancur luluh kami berseru kepada-Mu. 2Dengarlah ya Tuhan, dan kasihanilah kami, oleh sebab kami telah berdosa terhadap Engkau. 3Engkau kekal memerintah sebagai raja, sedangkan kami mati dan lenyap untuk selama-lamanya. 4Ya Tuhan Yang Maha Kuasa, Allah Israel, dengarlah doa kami yang sudah hampir mati. Nenek moyang kami telah berdosa terhadap Engkau, Tuhan, Allah mereka. Mereka tidak mahu taat kepada-Mu, oleh itu kami sekarang menanggung bencana-bencana. 5Janganlah ingat akan kejahatan nenek moyang kami, tetapi pada masa seperti ini ingatlah sahaja akan kekuasaan dan kemasyhuran-Mu, 6oleh sebab Engkaulah Tuhan, Allah kami, maka kami mahu memuji Engkau. 7Engkau membuat kami takwa supaya kami berdoa kepada-Mu. Di negeri pembuangan ini kami akan memuji Engkau kerana kami telah menjauhkan diri daripada segala dosa nenek moyang kami. 8Engkau telah membuang dan mencerai-beraikan kami di kalangan bangsa-bangsa asing, dan membuat kami dihina dan dikutuk oleh mereka. Itulah hukuman kami kerana dosa-dosa nenek moyang kami yang telah berpaling daripada-Mu, ya Tuhan, Allah kami.”
Pujian Bagi Kebijaksanaan
9Hai Israel, dengarlah segala perintah yang memberi kehidupan, dan perhatikanlah semua itu supaya kamu menjadi arif. 10Mengapa engkau di negeri musuh, hai Israel? Mengapa engkau menjadi tua di negeri asing? 11Mengapa engkau menajiskan diri dengan yang mati, dan masuk golongan orang mati? 12Hal itu demikian kerana engkau sudah meninggalkan sumber kebijaksanaan! 13Sekiranya engkau mengikuti kehendak Allah, pastilah hidupmu sejahtera untuk selama-lamanya. 14Belajarlah di mana ada kearifan, kekuatan, dan pengertian, maka engkau akan sekaligus tahu di mana terdapat umur panjang dan kebahagiaan, cahaya penerang hidup, dan damai sejahtera.
15Siapakah yang telah menemukan tempat kebijaksanaan atau masuk ke dalam perbendaharaannya? 16Di manakah para pemimpin bangsa-bangsa dan orang yang memburu binatang dan menangkap burung untuk hiburan? 17Di manakah mereka yang menimbun emas dan perak, harta yang dipercayai oleh mereka? Di mana pula orang yang memilikinya dengan tidak terbatas? 18Di manakah mereka yang dengan saksama mengerjakan perak dan karya mereka tidak dapat diselami? 19Mereka semua sudah hilang dan turun ke dunia orang mati, dan orang lain muncul sebagai pengganti mereka. 20-21Lalu lahirlah generasi baru yang mendiami bumi ini. Tetapi mereka tidak menemukan atau memahami jalan pengetahuan, dan anak cucu mereka tersesat lebih jauh lagi. 22Kebijaksanaan tidak terdapat pada orang Kanaan dan tidak juga pada orang Edom. 23Keturunan Hagar pun tidak menemukannya, walaupun mereka mencari pengetahuan di bumi. Sama halnya dengan para pedagang dari Meran dan Teman, serta pencerita dan orang yang mencari pengertian.
24Hai Israel, alangkah megahnya kediaman Allah! Betapa luasnya daerah milik-Nya. 25Semua itu besar dan tidak terbatas, tidak dapat diukur luas dan tingginya. 26Dahulu kala, di sana lahir raksasa-raksasa yang termasyhur; mereka gagah perkasa dan mahir dalam perang. 27Tetapi bukan mereka yang dipilih Allah; bukan mereka yang diberi jalan pengetahuan. 28Mereka telah jatuh binasa dan punah kerana tidak mempunyai kearifan dan pengertian.
29Belum pernah ada yang naik ke syurga untuk mengambil kebijaksanaan dan menurunkannya dari awan-awan. 30Belum pernah ada yang mengharungi lautan dan mendapat kebijaksanaan, atau membelinya dengan emas pilihan. 31Tidak seorang pun tahu cara memperolehnya atau memperhatikan jalan yang menuju kepadanya.
32Tetapi satu yang mengenal kebijaksanaan, hanya Allah Yang Maha Tahu, yang memperolehnya dengan pengertian-Nya. Dia mewujudkan bumi untuk selama-lamanya dan mengisinya dengan segala jenis binatang. 33Dia memanggil cahaya, lalu cahaya datang dengan gementar. Dia mengutusnya, maka cahaya mendengarkan-Nya, lalu pergi. 34Bintang-bintang bersinar-sinar dengan cemerlang, penuh gembira di tempat-tempatnya. 35Apabila Tuhan memanggil, bintang-bintang segera menyahut-Nya; cahayanya gemerlapan, lalu diperkenankan Penciptanya. 36Dialah Allah kita, dan tidak ada sesiapa pun seperti Dia. 37Dialah yang menemukan segala jalan menuju pengetahuan dan mengurniakannya kepada Israel, hamba yang dikasihi-Nya. 38Sejak itu kebijaksanaan kelihatan di bumi dan tinggal di kalangan manusia.
Terpilih Sekarang Ini:
BARUKH 3: BMDC
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.