BARUKH 2
2
1Oleh itu Tuhan telah melaksanakan ancaman-Nya terhadap kami dan terhadap hakim-hakim kami, raja-raja, dan para pemimpin kami dan terhadap orang Israel dan Yehuda. 2Di seluruh bumi belum pernah berlaku apa yang terjadi di Yerusalem, pada waktu Tuhan menghukum kami sesuai dengan apa yang tertulis dalam Taurat Musa, 3sehingga makan daging anak-anak kami sendiri. 4Tuhan mencerai-beraikan bangsa kami dan membiarkan kami dikuasai oleh bangsa-bangsa di sekeliling kami. Mereka menghina kami dan menjadikan negeri kami sunyi sepi. 5Kami telah berdosa terhadap Tuhan, Allah kami dan tidak mahu taat kepada-Nya. Oleh itu bangsa kami tidak mendapat kemenangan, melainkan ditakluki.
6Memang Tuhan, Allah kami adil, tetapi kami dan nenek moyang kami mendapat malu sehingga hari ini. 7Tuhan telah menghukum kami sesuai dengan ancaman-Nya. 8Walaupun begitu kami belum juga berbalik kepada Tuhan dan belum meninggalkan fikiran-fikiran kami yang jahat. 9Tuhan adil dalam segala sesuatu yang diperintahkan-Nya kepada kami. Oleh itu Dia telah mendatangkan bencana-bencana yang disediakan-Nya bagi kami. 10Walaupun begitu kami belum juga mendengar suara-Nya dan tidak hidup menurut perintah yang diberikan-Nya kepada kami.”
Doa Mohon Pembebasan
11‘Ya Tuhan, Engkau Allah Israel yang telah membawa umat-Mu keluar dari Mesir dengan tanda-tanda, mukjizat, dan kuasa yang besar, sehingga Engkau menjadi termasyhur sehingga hari ini. 12Ya Tuhan, Allah kami, kami telah berdosa dan berbuat jahat. Kami tidak setia dan telah melanggar perintah-perintah-Mu. 13Jangan murka lagi kepada kami, oleh sebab jumlah kami tinggal sedikit sahaja di kalangan bangsa-bangsa kerana Engkau mencerai-beraikan kami. 14Dengarlah doa permohonan kami, ya Tuhan, dan bebaskanlah kami demi kehormatan-Mu sendiri. Bertindaklah supaya kami dikasihani oleh orang yang telah membuang kami. 15Maka seluruh dunia akan tahu bahawa Engkau Tuhan, Allah kami, kerana Engkau telah memilih keturunan Yakub menjadi umat-Mu sendiri.
16Ya Tuhan, pandanglah kami dari kediaman-Mu yang suci; ingatlah akan kami dan dengarlah doa kami. 17Sudilah memandang dan memperhatikan kami, ya Tuhan. Orang yang sudah tidak bernyawa di dunia orang mati tidak dapat memuji Engkau sebagaimana mestinya. 18Hanya orang hidup yang dapat memuji Engkau dengan semestinya, ya Tuhan, sekalipun mereka sangat sengsara, berjalan membongkok, tidak berdaya, pudar mata, dan lapar.
19Ya Tuhan, Allah kami, kami memohon belas kasihan-Mu, tetapi bukan kerana jasa nenek moyang kami atau raja-raja kami. 20Engkau menimpakan kemurkaan-Mu yang dahsyat terhadap kami seperti yang sudah Kaufirmankan dengan perantaraan hamba-hamba-Mu para nabi. Engkau telah berfirman, 21‘Kamu harus takluk dan berhamba kepada raja Babilonia, maka kamu boleh tinggal di negeri yang Kuberikan kepada nenek moyangmu. 22Tetapi kalau kamu tidak mahu mendengar perintah-Ku dan tidak mahu berhamba kepadanya, 23Aku akan menghentikan setiap sorak gembira di kota-kota Yehuda dan di Yerusalem. Tidak akan terdengar lagi lagu-lagu gembira pada pesta perkahwinan. Seluruh negeri akan sunyi sepi tanpa penghuni.’
24Tetapi kami tidak juga mendengarkan perintah-Mu untuk mengabdi kepada raja Babilonia. Oleh itu kami dihukum sesuai dengan ancaman yang Kauperintahkan dengan perantaraan hamba-Mu para nabi. Engkau telah berfirman bahawa tulang-tulang para raja dan nenek moyang kami akan dilemparkan dari kubur mereka. 25Sesungguhnya, semua itu sudah terserak sehingga kena panas pada waktu siang dan kena dingin pada waktu malam. Mereka telah mati sengsara kerana kelaparan, peperangan, dan wabak. 26Oleh sebab kejahatan orang Israel dan orang Yehuda, Rumah-Mu sendiri Kaujadikan reruntuhan sehingga hari ini.
27Walaupun begitu, Engkau telah memperlakukan kami dengan lemah lembut sesuai dengan belas kasihan-Mu yang besar, ya Tuhan, Allah kami, 28seperti yang Kaujanjikan melalui Musa hamba-Mu, ketika Engkau menyuruh dia menuliskan Taurat-Mu di hadapan orang Israel. 29Engkau berfirman, ‘Jika kamu tidak taat kepada-Ku, jumlahmu yang sangat besar ini akan berkurang menjadi sedikit sahaja di kalangan bangsa-bangsa di tempat Aku mencerai-beraikan kamu. 30Aku tahu bahawa kamu tidak mahu taat kepada-Ku, oleh sebab kamu bangsa yang keras kepala. Tetapi di negeri pembuangan, kamu akan insaf 31dan menyedari bahawa Aku ini Tuhan, Allahmu. Kamu akan Kuberi hati yang taat dan suka mendengarkan Aku. 32Di negeri pembuanganmu, kamu akan ingat kepada-Ku dan memuji Aku. 33Kamu tidak akan lagi berdegil atau berbuat jahat, oleh sebab kamu ingat akan apa yang menimpa nenek moyang kamu ketika mereka berdosa terhadap Tuhan. 34Lalu kamu akan Kubawa kembali ke negeri yang Kujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang kamu, kepada Abraham, Ishak dan Yakub, dan negeri itu akan menjadi milik kamu semula. Aku akan melipatgandakan bilangan kamu dan jumlah kamu tidak akan berkurang lagi. 35Aku akan membuat perjanjian yang kekal dengan kamu: Aku menjadi Allah kamu dan kamu Israel menjadi umat-Ku. Kamu tidak akan lagi Kusingkirkan dari negeri yang sudah Kuberikan kepada kamu.’
Terpilih Sekarang Ini:
BARUKH 2: BMDC
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.