2 MAKABE 12

12
Orang Yahudi Dibunuh di Yope
1Sesudah diadakan perjanjian perdamaian antara orang Yahudi dan orang Siria, Lisias kembali kepada raja, dan orang Yahudi kembali bercucuk tanam. 2Tetapi beberapa orang penguasa tempatan, Timotius dan Apolonius anak Genaius dan juga Hieronimus dan Demofon serta Nikanor ketua pasukan Siprus, tidak mahu membiarkan orang Yahudi hidup dengan tenteram.
3Kira-kira pada waktu itu penduduk Yope melakukan perbuatan yang zalim terhadap orang Yahudi di kota itu. Mereka berpura-pura bersikap ramah-tamah dan menjemput semua orang Yahudi bersama dengan keluarga mereka untuk belayar dengan perahu-perahu yang disediakan oleh mereka. 4Oleh sebab hal itu sudah diputuskan oleh seluruh penduduk kota, orang Yahudi menerima jemputan itu dengan baik, kerana mereka ingin berdamai dan sedikit pun tidak berasa curiga. Tetapi ketika mereka di laut penduduk Yope menenggelamkan semua orang Yahudi itu, yang berjumlah tidak kurang daripada dua ratus orang.
5Sebaik sahaja Yudas mendengar perkara yang biadab terhadap orang sebangsanya itu, dia memberitahu anak buahnya. 6Mereka berdoa kepada Allah, hakim yang adil, lalu maju melawan para pembunuh saudara-saudara mereka. Pada waktu malam mereka membakar pelabuhan dan semua perahu, dan menikam semua orang yang terdapat bersembunyi di sana. 7Oleh sebab pintu-pintu gerbang kota terkunci, Yudas berundur. Tetapi dia bertekad untuk kembali lagi dan menumpas semua penduduk kota itu.
8Yudas mendengar bahawa penduduk kota Yamnia juga bermaksud untuk membunuh orang Yahudi di kota itu. 9Maka dia menyerbu kota itu pada waktu malam. Pelabuhan dan kapal-kapal yang ada di situ dibakarnya. Nyala apinya kelihatan hingga di Yerusalem, yang jauhnya lima puluh kilometer dari situ.
Kemenangan-Kemenangan Yudas di Daerah Gilead
(1 Mak 5.9-54)
10Ketika Yudas dan anak buahnya sudah sejauh dua kilometer dari Yamnia untuk maju berperang melawan Timotius, mereka diserang oleh tentera Arab yang berjumlah tidak kurang daripada 5,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan 500 orang pasukan tentera berkuda. 11Mereka bertempur dengan sengit, tetapi anak buah Yudas dengan pertolongan Allah dapat mengalahkan penduduk padang gurun itu. Lalu orang di situ minta berdamai dengan orang Yahudi. Mereka berjanji akan memberikan ternakan dan menolong orang Yahudi bila-bila perlu. 12Yudas berpendapat bahawa persahabatan itu akan berguna dalam banyak hal. Maka dia bersetuju untuk berdamai dengan mereka. Sesudah itu orang Arab kembali ke khemah-khemah mereka.
13Yudas juga menyerbu kota Kaspin yang dikelilingi tembok dan sangat kuat pertahanannya. Penduduknya terdiri daripada berbagai-bagai bangsa asing. 14Dengan mempercayakan kekuatan tembok-tembok kota dan bekalan makanan yang tersedia, mereka berkelakuan biadab terhadap anak buah Yudas. Mereka mencaci maki, mengkufuri Allah dan meneriakkan kata-kata yang tidak senonoh. 15Tetapi orang Yahudi berdoa kepada Yang Maha Besar, Tuhan alam semesta, yang pada zaman Yosua menghancurkan tembok-tembok kota Yerikho tanpa alat pelempar atau kayu pelantak. Kemudian mereka seperti binatang buas, menyerbu tembok itu. 16Oleh sebab kehendak Allah, kota itu dapat direbut oleh mereka. Mereka membinasakan banyak sekali orang, sehingga sebuah tasik dekat tempat itu, yang lebarnya setengah kilometer, nampaknya penuh darah.
Yudas Mengalahkan Pasukan Timotius
(1 Mak 5.37-44)
17Dari kota Kaspin, Yudas dan anak buahnya berjalan kira-kira seratus lima puluh kilometer ke Karaks, tempat tinggal orang Yahudi yang disebut kaum Tubian. 18Mereka tidak menemukan Timotius di daerah itu, oleh sebab dia sudah pergi dari situ dengan tidak berjaya berbuat apa-apa. Tetapi dia meninggalkan tentera pendudukan yang sangat kuat di sebuah kubu. 19Dua orang panglima Yudas, Dositeus dan Sosipater, menyerang kubu itu dan menumpas seluruh tentera pendudukan yang berjumlah lebih daripada 10,000 orang. 20Kemudian Yudas membahagikan tenteranya kepada beberapa pasukan dan melantik Dositeus dan Sosipater supaya masing-masing mengetuai satu pasukan. Seterusnya dia maju untuk melawan Timotius yang mempunyai 120,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan 2,500 orang pasukan tentera berkuda. 21Setelah diberitahukan bahawa Yudas sedang mendekat, Timotius mengirim kaum wanita, anak-anak dan barang-barangnya ke kota Karnaim. Kota itu sukar direbut, bahkan sukar didekati, kerana jalan ke situ melalui sela-sela yang sempit. 22Tetapi apabila pasukan pertama Yudas muncul, tentera musuh menjadi gempar ketakutan kerana suatu penglihatan daripada Allah yang melihat segala sesuatu. Mereka lari hiruk-pikuk sehingga banyak antara mereka terluka kerana tertikam oleh hujung pedang kawan-kawan mereka sendiri. 23Yudas dan anak buahnya mengejar mereka dengan giatnya dan membunuh sekurang-kurangnya 30,000 orang musuh. 24Timotius sendiri ditangkap oleh pasukan Dositeus dan Sosipater. Tetapi Timotius sangat licik dan berjaya meyakinkan mereka untuk membiarkan dia pergi, oleh sebab banyak kerabat orang Yahudi menjadi tawanannya, dan mereka akan dibunuh kalau sesuatu menimpa dirinya. 25Akhirnya demi keselamatan sanak saudara mereka, mereka melepaskan Timotius setelah dia memberi jaminan dan bersumpah akan memulangkan kerabat mereka dengan selamat.
Yudas Mendapat Kemenangan-Kemenangan Lain
(1 Mak 5.45-54)
26Kemudian Yudas menyerang kota Karnaim serta kuil Dewi Atergatis dan membunuh 25,000 orang. 27Sesudah mengalahkan dan menghancurkan musuh itu, Yudas menyerang Efron, sebuah kota berkubu, tempat Lisias dan orang dari berbagai-bagai bangsa menetap. Para pemuda yang gagah perkasa mengambil tempat di hadapan tembok kota dan melawan dengan beraninya, sementara di dalam kota itu terdapat banyak bekalan alat-alat perang dan senjata penggempur. 28Tetapi orang Yahudi berdoa memohon pertolongan Tuhan, yang dengan kekuasaan-Nya mematahkan kekuatan musuh. Mereka berjaya merebut kota itu dan membunuh lebih kurang 25,000 orang. 29Dari situ mereka pergi ke kota Skitopolis, seratus dua puluh kilometer di sebelah utara Yerusalem. 30Orang Yahudi yang tinggal di situ memberitahu Yudas bahawa mereka diperlakukan dengan baik sekali oleh penduduk kota, lebih-lebih lagi pada waktu kesukaran. 31Maka Yudas dan anak buahnya mengucapkan terima kasih kepada penduduk kota. Dia mendorong mereka untuk tetap bersikap baik terhadap orang Yahudi. Kemudian mereka berangkat ke Yerusalem dan tiba di sana menjelang Perayaan Menuai.
Yudas Mengalahkan Gorgias
32Sesudah Perayaan Menuai, yang dalam bahasa Yunani disebut sebagai Perayaan Pentakosta, Yudas dan anak buahnya menyerang Gorgias, panglima Idumea. 33Gorgias menghadapi mereka dengan 3,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan 400 orang pasukan tentera berkuda. 34Dalam pertempuran itu beberapa orang Yahudi gugur. 35Dositeus, askar berkuda yang gagah berani, anak buah Bakenor, menangkap Gorgias pada baju labuhnya, lalu menyeret dia dengan sekuat tenaga supaya dapat menangkap orang jahat itu hidup-hidup. Tetapi tiba-tiba seorang daripada pasukan berkuda Trakia menyerbu Dositeus dan memotong lengannya sehingga putus; maka Gorgias dapat melarikan diri ke kota Marisa.
36Sementara itu orang Yahudi anak buah Esdris sudah terlalu lama bertempur, dan mereka keletihan. Maka berdoalah Yudas supaya Tuhan menunjukkan bahawa Dia berpihak pada mereka dan memimpin barisan mereka. 37Kemudian apabila Yudas menyanyikan lagu-lagu pujian dalam bahasanya sendiri sebagai semboyan untuk bertempur, orang Yahudi dengan tiba-tiba menyerang pasukan Gorgias sehingga mereka melarikan diri.
Doa-Doa bagi Orang yang Gugur dalam Pertempuran
38Sesudah pertempuran itu Yudas membawa anak buahnya ke kota Adulam. Oleh sebab sudah hampir hari Sabat, mereka menyucikan diri menurut adat Yahudi, lalu merayakan hari Sabat. 39Pada hari berikutnya, sebagaimana pada masa itu dipandang perlu, Yudas dan anak buahnya pergi mengumpulkan jenazah orang yang telah gugur dalam pertempuran untuk dikuburkan di perkuburan keluarga. 40Tetapi tersembunyi di sebelah dalam pakaian setiap jenazah, mereka menemui azimat patung-patung kota Yamnia. Taurat Musa melarang orang Yahudi memakai azimat-azimat seperti itu. Maka menjadi jelas bagi setiap orang mengapa semua orang itu telah mati. 41Lalu mereka memuji tindakan Tuhan, hakim yang adil, yang memperlihatkan apa yang tersembunyi. 42Mereka juga mohon supaya dosa itu dihapuskan sama sekali. Lalu Yudas yang mulia itu, memperingatkan rakyat supaya menjauhi dosa, oleh sebab mereka sendiri telah melihat apa yang terjadi kepada orang yang telah berdosa itu. 43Kemudian dia mengumpulkan sumbangan daripada anak buahnya, dan wang yang terkumpul seluruhnya berjumlah lima ratus keping wang perak. Wang itu dikirimnya ke Yerusalem untuk menyediakan korban untuk mengampunkan dosa. Yudas melakukan perbuatan yang luhur itu kerana dia percaya pada kebangkitan orang mati. 44Jika dia tidak percaya bahawa orang mati akan bangkit semula, maka bodohlah dan sia-sialah untuk mendoakan mereka. 45Yudas yakin bahawa orang yang salih akan menerima pahala yang indah dan fikirannya itu sungguh suci dan luhur. Oleh sebab itu dia mengadakan korban untuk mengampunkan dosa, supaya semua orang yang sudah mati itu dilepaskan daripada dosa mereka.

Terpilih Sekarang Ini:

2 MAKABE 12: BMDC

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk