2 MAKABE 11
11
Yudas Makabe Mengalahkan Lisias
(1 Mak 4.26-35)
1Tidak lama sesudah Timotius dikalahkan, Lisias, wali dan kerabat raja serta perdana menteri, mendengar kejadian itu. Lisias menjadi sangat marah, 2lalu mengerahkan lebih kurang 80,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan seluruh pasukan berkudanya melawan orang Yahudi, dengan maksud menjadikan Yerusalem sebuah kota kediaman bagi orang Yunani. 3Dia juga bermaksud memungut cukai dari Rumah Allah, seperti dari rumah ibadat bangsa-bangsa lain, melelong jawatan Imam Agung pada setiap tahun. 4Lisias sangat puas dengan angkatan perangnya yang terdiri daripada puluhan ribu orang pasukan tentera berjalan kaki, ribuan orang pasukan berkuda dan lapan puluh ekor gajah, tetapi dia sama sekali tidak memperhitungkan kekuasaan Allah. 5Dia memasuki Yudea dan menyerang kubu Bet-Zur, kira-kira dua puluh lima kilometer di sebelah selatan Yerusalem.
6Apabila Yudas dan anak buahnya mendengar bahawa Lisias sedang mengepung kubu-kubu mereka, mereka dan seluruh rakyat menangis serta memohon kepada Tuhan supaya Dia mengutus malaikat yang baik untuk menyelamatkan Israel. 7Yudas yang pertama-tama mengangkat senjata, mengajak yang lain ikut dengan dia supaya mempertaruhkan nyawa untuk menolong saudara-saudara mereka. Dengan penuh semangat, berangkatlah mereka bersama-sama. 8Ketika mereka masih dekat dengan Yerusalem, tampaklah penunggang kuda memimpin barisan mereka. Pakaiannya serba putih dan dia melambaikan senjata yang keemasan. 9Mereka serentak bersyukur kepada Allah yang berbelas kasihan. Dia menguatkan hati mereka sehingga mereka bersedia menyerbu bukan hanya manusia, tetapi juga binatang yang paling buas dan tembok-tembok besi. 10Maka majulah mereka dalam keadaan siap tempur, didampingi oleh utusan dari syurga, kerana Allah berbelas kasihan kepada mereka. 11Lalu seperti singa, mereka menyerbu musuh dan menumpas 11,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan 1,600 orang pasukan berkuda, sedangkan yang lain terpaksa melarikan diri. 12Antara yang melarikan diri itu banyak yang luka-luka dan kehilangan senjata. Lisias sendiri terlepas kerana melarikan diri dengan cara yang memalukan.
Lisias Berdamai dengan Orang Yahudi
(1 Mak 6.56-61)
13Lisias bukan orang yang bodoh, maka dia berfikir tentang kekalahan yang baru dideritanya. Dia menyedari bahawa orang Yahudi tidak dapat dikalahkan kerana Allah yang berkuasa berpihak pada mereka. Jadi dia mengirim pesan kepada orang Yahudi 14supaya mereka berdamai dengan syarat-syarat yang adil. Dia juga berjanji akan mendesak raja supaya bersahabat dengan mereka. 15Yudas Makabe memikirkan kepentingan rakyat, oleh itu dia bersetuju dengan semua yang diusulkan Lisias, kerana raja pun sudah menyetujui semua permintaan tertulis yang disampaikan oleh Yudas kepada Lisias.
Surat Lisias kepada Orang Yahudi
16Beginilah bunyi surat Lisias kepada orang Yahudi:
“Daripada Lisias kepada rakyat Yahudi, salam! 17Utusan saudara-saudara, iaitu Yohanes dan Absalom, telah menyerahkan surat yang ditandatangani saudara-saudara, kepada saya, dan meminta jawapan bagi kandungannya. 18Saya sudah menyampaikan apa yang perlu diketahui kepada raja, dan baginda bersetuju dengan apa yang dapat dilaksanakan. 19Jika saudara sekalian tetap setia kepada pemerintah, saya akan mengusahakan segala sesuatu yang baik bagi saudara-saudara pada masa akan datang. 20Saya sudah menugaskan wakil-wakil saya dan wakil-wakil saudara-saudara untuk merundingkan hal-hal ini secara terperinci dengan saudara semua. 21Selamat sejahtera! Ditulis pada tarikh dua puluh empat bulan Zeus Korintius tahun 148.”
Surat Raja kepada Lisias
22Beginilah bunyi surat raja kepada Lisias:
“Daripada Raja Antiokhus kepada Yang Mulia Lisias, salam! 23Ayahanda beta sudah pun pulang ke tempat dewa-dewa, dan beta menginginkan supaya semua warga kerajaan dapat meneruskan hal-hal mereka tanpa gangguan. 24Beta mengerti bahawa orang Yahudi tidak mahu beralih kepada cara hidup orang Yunani seperti yang dikehendaki ayahanda beta. Mereka minta supaya diizinkan mengikuti adat istiadat mereka sendiri kerana mereka lebih suka cara hidup itu. 25Beta menghendaki supaya bangsa itu bebas daripada gangguan. Maka beta memutuskan bahawa Rumah Allah dikembalikan kepada mereka dan bahawa mereka diizinkan hidup menurut adat istiadat nenek moyang mereka. 26Sila kirimkan utusan kepada mereka dan berdamailah dengan mereka, supaya mereka mengetahui pendirian beta dan menjadi tenang, serta menguruskan hal-hal mereka sendiri dengan senang hati.”
Surat Raja kepada Bangsa Yahudi
27Beginilah bunyi surat raja kepada bangsa Yahudi:
“Daripada Raja Antiokhus kepada para pemimpin bangsa Yahudi dan seluruh rakyat Yahudi, salam! 28Beta berharap kamu sekalian sihat walafiat. Beta sendiri dalam keadaan sihat. 29Menelaus memberitahu beta bahawa kamu ingin pulang dan menguruskan hal-hal kamu. 30Maka mereka yang pulang sebelum tarikh tiga puluh bulan Ksantikus, mendapat izin dan restu beta. 31Kamu boleh mengikuti peraturan-peraturan sendiri tentang makanan dan hukum-hukum lainnya seperti dahulu. Tidak seorang pun akan dihukum kerana kesalahan yang tidak disengaja. 32Beta mengirim Menelaus untuk menenteramkan fikiran kamu. 33Selamat sejahtera! Tarikh lima belas bulan Ksantikus tahun 148.”
Surat Orang Roma kepada Orang Yahudi
34Orang Roma pun mengirim surat kepada orang Yahudi. Beginilah bunyi surat itu:
“Daripada Kwintus Memius dan Titus Manius, utusan-utusan orang Roma, kepada rakyat Yahudi, salam! 35Kami juga bersetuju dengan apa yang disetujui Lisias, kerabat raja untuk saudara-saudara. 36Sekarang kami dalam perjalanan ke kota Antiokhia. Kami ingin mengusahakan kepentingan saudara-saudara di hadapan raja. Maka pertimbangkanlah perkara-perkara yang dikemukakan oleh Lisias kepada raja, dan kirimlah utusan dengan secepat mungkin 37tanpa menunda-nunda, supaya kami tahu keputusan saudara-saudara. 38Selamat sejahtera! Tarikh lima belas bulan Ksantikus tahun 148.”
Terpilih Sekarang Ini:
2 MAKABE 11: BMDC
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.