Aku akan memuji-Mu, ya TUHAN, dengan sepenuh hatiku; aku akan menceritakan segala keajaiban yang Kaulakukan, Aku akan girang bergembira dalam-Mu; aku akan menyanyikan pujian untuk nama-Mu, Ya TUHAN Maha Tinggi. Apabila musuhku berpatah balik; mereka akan jatuh dan musnah di hadirat-Mu. Kerana Engkau telah menegakkan hak dan perjuanganku; Engkau bertakhta, dan menghakimi dengan adil. Engkau telah memurkai bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu dan membinasakan orang zalim; Engkau telah menghapuskan nama mereka selama-lamanya. Musuh telah musnah dalam kehancuran selama-lamanya, Engkau telah membinasakan kota-kota; sehingga luput daripada kenangan. Namun TUHAN akan kekal selama-lamanya; Dia telah menyediakan takhta-Nya untuk penghakiman. Dia akan menghakimi dunia dengan adil; Dia akan menghakimi manusia dengan saksama. TUHAN tempat bernaung bagi orang yang ditindas, tempat perlindungan pada waktu kesusahan. Dan mereka yang mengenal nama-Mu akan percaya kepada-Mu, kerana Engkau, ya TUHAN, tidak mengabaikan sesiapa yang mencari-Mu. Nyanyikanlah pujian kepada TUHAN yang bertakhta di Sion; isytiharkan perbuatan-Nya kepada semua bangsa. Dia mengingati mereka apabila Dia membalas kekejaman orang yang menumpahkan darah; Dia tidak melupakan rintihan mereka yang menderita. Kasihanilah aku, ya TUHAN, timbangkan penderitaanku di tangan orang yang menganiayaku! Engkau yang mengangkatku daripada gerbang maut, supaya aku dapat memuji-Mu di gerbang Puteri Sion, aku akan bergembira kerana Engkau menyelamatkanku. Bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu telah jatuh ke dalam lubang yang digali mereka sendiri; kaki mereka terjerumus di dalam jerat yang dipasang sendiri. TUHAN dikenali kerana keadilan-Nya; orang zalim terjerat dalam perangkap buatan sendiri. Higayon. Sela Orang zalim akan musnah selama-lamanya, begitu juga bangsa-bangsa yang melupakan Allah. Kerana orang sesak tidak akan terus dilupakan, harapan orang miskin tidak akan musnah selama-lamanya. Bangkitlah, ya TUHAN, jangan biarkan manusia berleluasa; biarlah bangsa-bangsa dihakimi di hadirat-Mu. Timbulkan ketakutan dalam hati mereka, ya TUHAN, supaya bangsa-bangsa itu sedar diri mereka hanyalah manusia. Sela
Baca Mazmur 9
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Mazmur 9:1-20
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video