MAZMUR 9:1-20
MAZMUR 9:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Menurut lagu Mut-Laben. Mazmur Daud. Aku akan memuji Engkau dengan segenap hatiku, TUHAN, dan menceritakan segala keajaiban yang telah Engkau lakukan. Aku akan menyanyi dengan riang kerana Engkau, dan menyanyikan pujian kepada-Mu, Yang Maha Tinggi. Ketika Engkau muncul, musuhku berpatah balik; mereka jatuh tersandung lalu mati. Engkau memerintah sebagai hakim yang adil, dan Engkau telah membela perkaraku. Engkau telah menghukum bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu, dan membinasakan orang jahat; mereka tidak akan dikenang lagi. Musuh kami lenyap selama-lamanya; Engkau telah memusnahkan kota-kota mereka, dan mereka dilupakan sama sekali. Tetapi TUHAN memerintah selama-lamanya; Dia mendirikan takhta-Nya untuk menghakimi dunia. Dia memerintah dunia dengan adil, dan menghakimi rakyat dengan saksama. TUHAN adalah pernaungan bagi orang yang ditindas, tempat perlindungan pada masa kesusahan. Mereka yang mengenal Engkau yakin kepada-Mu, ya TUHAN; sesiapa pun yang datang kepada-Mu tidak Kautinggalkan. Pujilah TUHAN yang memerintah di Sion! Beritakanlah perbuatan-Nya kepada setiap bangsa! Allah ingat akan mereka yang menderita; Dia tidak melupakan tangisan mereka, Dia menghukum orang yang berlaku kejam terhadap mereka. Kasihanilah aku, ya TUHAN! Lihatlah, musuhku menyengsarakan aku. Selamatkanlah aku daripada maut, ya TUHAN, supaya aku dapat memuji Engkau di hadapan penduduk Yerusalem. Aku akan bersorak gembira kerana Engkau menyelamatkan aku. Bangsa-bangsa yang tidak mengenal Engkau jatuh ke dalam lubang yang digali mereka sendiri; mereka memasang perangkap, tetapi mereka sendiri terperangkap. TUHAN menyatakan diri-Nya dengan keputusan yang adil; orang jahat terperangkap oleh perbuatan mereka sendiri. Maut ialah kesudahan semua orang jahat, semua orang yang menolak Allah. Orang miskin tidak selamanya dilupakan; orang papa tidak selamanya kehilangan harapan. Bangkitlah, ya TUHAN, hakimilah bangsa-bangsa, jangan biarkan manusia terlepas daripada hukuman.
MAZMUR 9:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku akan memuji-Mu, ya TUHAN, dengan sepenuh hatiku; aku akan menceritakan segala keajaiban yang Kaulakukan, Aku akan girang bergembira dalam-Mu; aku akan menyanyikan pujian untuk nama-Mu, Ya TUHAN Maha Tinggi. Apabila musuhku berpatah balik; mereka akan jatuh dan musnah di hadirat-Mu. Kerana Engkau telah menegakkan hak dan perjuanganku; Engkau bertakhta, dan menghakimi dengan adil. Engkau telah memurkai bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu dan membinasakan orang zalim; Engkau telah menghapuskan nama mereka selama-lamanya. Musuh telah musnah dalam kehancuran selama-lamanya, Engkau telah membinasakan kota-kota; sehingga luput daripada kenangan. Namun TUHAN akan kekal selama-lamanya; Dia telah menyediakan takhta-Nya untuk penghakiman. Dia akan menghakimi dunia dengan adil; Dia akan menghakimi manusia dengan saksama. TUHAN tempat bernaung bagi orang yang ditindas, tempat perlindungan pada waktu kesusahan. Dan mereka yang mengenal nama-Mu akan percaya kepada-Mu, kerana Engkau, ya TUHAN, tidak mengabaikan sesiapa yang mencari-Mu. Nyanyikanlah pujian kepada TUHAN yang bertakhta di Sion; isytiharkan perbuatan-Nya kepada semua bangsa. Dia mengingati mereka apabila Dia membalas kekejaman orang yang menumpahkan darah; Dia tidak melupakan rintihan mereka yang menderita. Kasihanilah aku, ya TUHAN, timbangkan penderitaanku di tangan orang yang menganiayaku! Engkau yang mengangkatku daripada gerbang maut, supaya aku dapat memuji-Mu di gerbang Puteri Sion, aku akan bergembira kerana Engkau menyelamatkanku. Bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu telah jatuh ke dalam lubang yang digali mereka sendiri; kaki mereka terjerumus di dalam jerat yang dipasang sendiri. TUHAN dikenali kerana keadilan-Nya; orang zalim terjerat dalam perangkap buatan sendiri. Higayon. Sela Orang zalim akan musnah selama-lamanya, begitu juga bangsa-bangsa yang melupakan Allah. Kerana orang sesak tidak akan terus dilupakan, harapan orang miskin tidak akan musnah selama-lamanya. Bangkitlah, ya TUHAN, jangan biarkan manusia berleluasa; biarlah bangsa-bangsa dihakimi di hadirat-Mu. Timbulkan ketakutan dalam hati mereka, ya TUHAN, supaya bangsa-bangsa itu sedar diri mereka hanyalah manusia. Sela