Mazmur 81:1-16

Mazmur 81:1-16 AVB

Menyanyilah dengan lantang untuk Allah kekuatan kita; bersoraklah dengan girang kepada Allah Yakub! Nyanyikanlah lagu sambil memukul tamborin, bermain kecapi merdu serta gambus. Tiuplah nafiri ketika Bulan Baru, dan semasa bulan purnama, pada hari perayaan kita yang luhur; kerana ini adalah ketetapan bagi umat Israel, hukum Allah Yakub. Dia menjadikannya sebagai suatu peraturan bagi Yusuf apabila Dia menjelajah seluruh tanah Mesir, di situ aku mendengar bahasa yang tidak kufahami. Dia berkata, “Aku melepaskan bahunya daripada beban; tangan mereka dibebaskan daripada bakul. Kamu menyeru-Ku ketika dalam kesusahan dan Aku melepaskan kamu, Aku menjawabmu di tempat rahsia guruh; Aku mengujimu di perairan Meriba. Sela Dengarlah, wahai umat-Ku, Aku akan menegurmu — wahai Israel, kalaulah kamu mahu mendengar kata-Ku! Tidak boleh ada tuhan asing dalam kalanganmu; dan kamu tidak boleh menyembah tuhan asing. Akulah TUHAN, Allahmu, yang telah membawamu keluar dari Tanah Mesir. Bukalah mulutmu luas-luas, Aku akan memenuhinya.” “Tetapi umat-Ku enggan mendengar suara-Ku; dan Israel sama sekali tidak mahu menerima-Ku. Oleh itu, Aku biarkan mereka mengikut hati mereka yang degil hidup menurut fikiran mereka sendiri.” “Kalaulah umat-Ku mahu mendengar-Ku, dan Israel mahu hidup menurut jalan-Ku, tentu Aku segera menundukkan musuh mereka dan memalingkan tangan-Ku menentang musuh mereka! Pembenci TUHAN pura-pura tunduk kepada-Nya, dan hukuman ke atas mereka kekal selama-lamanya. Tentu diberi-Nya mereka makan gandum terbaik; dan dengan madu dari batu pejal tentu Kukenyangkan kamu.”