Markus 5
5
Yesus menyembuhkan seorang yang dirasuk roh iblis
1Lalu sampailah mereka di seberang laut, di daerah Gerasa. 2Sebaik-baik Yesus turun dari perahu, seorang lelaki yang kerasukan roh jahat keluar dari perkuburan lalu menemui-Nya. 3Orang itu tinggal di gua kubur. Tiada siapa terdaya mengikatnya lagi, meskipun dengan rantai. 4Berkali-kali dia dirantai dan dibelenggu, tetapi dapat diputuskannya rantai itu dan dipatahkannya belenggu itu. Tiada seorang pun dapat menguasainya. 5Siang malam dia merayau di perkuburan dan di bukit, sambil menjerit-jerit dan mencederakan badannya dengan batu.
6Dari jauh dia melihat Yesus lalu lari mendekati-Nya dan sujud di hadapan-Nya. 7Orang itu berseru dengan suara keras, “Ya Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi, apa urusan-Mu dengan aku? Demi Allah, jangan seksa aku!” 8Kerana sebelumnya Yesus berkata kepadanya, “Roh jahat, keluarlah kamu daripada orang ini!”
9Kemudian Yesus bertanya kepadanya, “Siapakah namamu?”
Orang itu menjawab, “Legion, kerana kami ini ramai sekali.” 10Dia memohon sungguh-sungguh kepada Yesus supaya tidak menghalau mereka keluar dari kawasan itu.
11Berdekatan tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit. 12Roh-roh iblis itu memohon kepada Yesus, “Suruhlah kami pindah kepada babi itu, biarlah kami masuk ke dalam tubuh babi itu.” 13Yesus bersetuju, lalu roh-roh jahat itu keluar dan masuk ke dalam tubuh kawanan babi itu. Kesemua babi itu, kira-kira dua ribu ekor, terjun dari tepi cenuram ke dalam laut lalu mati lemas.
14Penjaga-penjaga babi itu lari lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di desa. Para penduduk pun keluar hendak melihat apa yang telah terjadi. 15Mereka menghampiri Yesus lalu melihat orang yang tadinya dirasuk legion daripada roh iblis itu, kini duduk diam, sudah berpakaian dan ternyata siuman. Mereka semua pun ketakutan. 16Semua yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan segala-galanya tentang orang yang kerasukan roh iblis dan kawanan babi itu. 17Oleh itu, mereka meminta Yesus meninggalkan daerah itu.
18Ketika Yesus menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh iblis itu memohon kepada-Nya, supaya dia dibenarkan menyertai-Nya.
19Tetapi Yesus tidak membenarkannya, sebaliknya berkata, “Pulanglah kepada keluargamu, kepada orang sekampungmu. Beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan bagimu dan bagaimana Dia telah berbelas kasihan kepada kamu.”
20Orang itu pun mula menjelajahi daerah sepuluh kota dan menceritakan segala yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya. Mereka semua kehairanan.
Yesus melakukan mukjizat dan penyembuhan
21Setelah itu, Yesus kembali menyeberang laut dengan perahu. Setiba-Nya di pantai sebelah sana, Dia dikerumuni orang yang ramai sekali. 22Datanglah seorang bernama Yairus, ketua saumaah#5:22 Saumaah: Tempat ibadat bani Israel. Juga dikenali sebagai rumah ibadat. di situ. Ketika dia melihat Yesus, dia sujud di hadapan-Nya 23dan merayu, “Anak perempuanku sakit tenat, hampir mati. Tolonglah datang, letakkan tangan-Mu padanya, supaya dia sembuh dan dapat terus hidup.”
24Yesus pun pergi bersama Yairus. Begitu ramainya orang yang mengikut Yesus sehingga Dia diasak dari semua pihak.
25Di situ ada seorang wanita yang menghidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun. 26#Tob 2:10.Dia telah menghabiskan segala hartanya untuk dirawat oleh ramai tabib tetapi tidak sembuh, malah semakin parah keadaannya. 27Wanita itu telah banyak mendengar tentang Yesus. Oleh itu, dia masuk ke tengah-tengah orang ramai itu dan mendekati Yesus dari belakang lalu menyentuh jubah-Nya. 28“Kiranya dapat kusentuh jubah-Nya,” kata wanita itu, “tentu aku akan sembuh.”
29Dengan serta-merta pendarahannya berhenti. Dia merasakan badannya sudah sembuh. 30Pada saat itu Yesus sedar ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya lalu Dia bertanya, “Siapa yang menyentuh jubah-Ku?”
31Para murid-Nya berkata, “Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Engkau. Bagaimana Engkau boleh bertanya siapa yang menyentuh-Mu?”
32Tetapi Yesus memandang sekeliling-Nya, mencari orang yang telah menyentuh-Nya itu. 33Wanita itu mengetahui apa yang telah terjadi kepada dirinya. Dia gementar ketakutan, lalu tampil dan sujud kepada Yesus serta menceritakan segala-galanya. 34Yesus berkata kepadanya, “Hai anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera dan sembuhlah daripada penyakitmu.”
35Sedang Yesus berkata-kata itu, beberapa orang pesuruh datang daripada keluarga ketua saumaah dan memberitahu Yairus, “Anak perempuan tuan sudah meninggal. Usahlah tuan susahkan Guru lagi.”
36Yesus tidak menghiraukan kata-kata itu. Dia berkata kepada ketua#5:36 Atau: Yairus. saumaah, “Jangan takut, percaya sahaja.” 37Lalu Yesus tidak membenarkan sesiapa pun mengikut-Nya kecuali Petrus, Yakobus dan Yohanes, saudara Yakobus. 38Apabila tiba di rumah ketua saumaah, Yesus melihat keadaan yang kelam-kabut dan mendengar ratap tangis yang kuat. 39Yesus masuk lalu berkata kepada mereka, “Mengapa kelam-kabut dan menangis? Anak itu tidak mati, cuma tidur.”
40Tetapi mereka mentertawakan Yesus. Setelah menyuruh mereka semua keluar, Yesus mengajak ibu bapa anak itu dan murid-murid-Nya masuk ke bilik tempat anak itu terbaring. 41Yesus memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, “Talitha kum!” (maksudnya, “Anak perempuan, Aku berkata kepadamu, bangunlah!”).
42Anak perempuan yang berusia dua belas tahun itu segera bangkit lalu berjalan. Mereka semua sungguh kagum. 43Tetapi dengan tegas Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa tentang perkara itu, lalu menyuruh mereka memberi anak itu makan.
Terpilih Sekarang Ini:
Markus 5: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited