Yosua 4

4
Letaknya dua belas biji batu peringatan
1Maka setelah seluruh umat Israel selesai menyeberangi Sungai Yordan, berfirmanlah TUHAN kepada Yosua, 2“Pilihlah dua belas orang daripada umat, seorang daripada setiap suku. 3Perintahkanlah mereka demikian, ‘Angkatlah dua belas biji batu dari sini, dari tengah-tengah Sungai Yordan ini, tempat para imam itu berdiri teguh. Bawalah semua batu itu menyeberang bersama-samamu, dan letakkanlah di tempat kamu bermalam pada malam ini.’ ”
4Maka Yosua memanggil dua belas orang yang telah disiapkannya daripada kalangan orang Israel, seorang daripada setiap suku. 5Kata Yosua kepada mereka, “Menyeberanglah di depan tabut TUHAN, Allahmu, ke tengah-tengah Sungai Yordan. Pikullah sebiji batu di atas bahu masing-masing menurut jumlah suku orang Israel 6supaya batu-batu itu menjadi tanda antaramu. Apabila anak-anakmu bertanya pada kemudian hari, ‘Apakah erti batu-batu itu bagi kamu?’ 7maka katakanlah kepada mereka bahawa air Sungai Yordan terputus di depan tabut perjanjian TUHAN. Ketika tabut itu menyeberangi Sungai Yordan, air Sungai Yordan terputus. Batu-batu itu akan menjadi tanda peringatan bagi orang Israel untuk selama-lamanya.”
8Orang Israel melakukan apa yang diperintahkan Yosua. Mereka mengangkat dua belas biji batu dari tengah-tengah Sungai Yordan menurut jumlah suku orang Israel, seperti yang difirmankan TUHAN kepada Yosua. Mereka membawa semuanya menyeberang ke tempat mereka bermalam, lalu mereka meletakkannya di sana. 9Yosua mendirikan pula dua belas batu di tengah-tengah Sungai Yordan, di tempat kaki para imam pengusung tabut perjanjian itu berdiri. Batu-batu itu masih ada di sana sampai hari ini. 10Para imam pengusung tabut itu terus berdiri di tengah-tengah Sungai Yordan sehingga segala sesuatu yang diperintahkan TUHAN kepada Yosua untuk disampaikan kepada bangsa itu selesai dilaksanakan, sebagaimana yang diperintahkan Musa kepada Yosua.
Selepas itu, bergegaslah umat itu menyeberang. 11Sesudah selesai penyeberangan seluruh umat itu, menyeberanglah para imam berserta tabut TUHAN di hadapan umat itu. 12Bani Ruben, bani Gad, dan separuh suku iaitu Manasye, menyeberang dengan bersenjata lengkap di hadapan orang Israel, seperti yang dipesankan Musa kepada mereka. 13Kira-kira empat puluh ribu orang yang siap sedia untuk bertempur menyeberang di hadapan hadirat TUHAN ke dataran Yerikho untuk berperang. 14Pada hari itu juga TUHAN membuat Yosua kelihatan besar di mata semua orang Israel. Mereka hormat kepadanya, sebagaimana mereka hormat kepada Musa seumur hidupnya.
15Firman TUHAN kepada Yosua, 16“Perintahkanlah para imam pengusung tabut loh hukum itu untuk keluar dari Sungai Yordan.” 17Maka Yosua memberikan perintah kepada para imam itu, “Keluarlah dari Sungai Yordan.” 18Ketika para imam pengusung tabut perjanjian TUHAN itu keluar dari tengah-tengah Sungai Yordan, dan ketika telapak kaki para imam memijak daratan, maka air Sungai Yordan itu kembali ke tempatnya semula dan mengalir melimpahi pinggirnya seperti sebelumnya.
19Orang Israel keluar dari Sungai Yordan pada hari kesepuluh pada bulan pertama lalu berkhemahlah mereka di Gilgal, di sempadan timur Yerikho. 20Lalu Yosua mendirikan dua belas biji batu yang diambil mereka dari Sungai Yordan di Gilgal. 21Katanya kepada orang Israel, “Jika pada kemudian hari anak-anakmu bertanya kepada ayah mereka, ‘Apakah erti batu-batu ini?’ 22maka beritahulah anak-anakmu begini, ‘Dulu orang Israel menyeberangi Sungai Yordan ini di atas tanah yang kering.’ 23TUHAN, Allahmu, telah mengeringkan air Sungai Yordan di depanmu sehingga kamu dapat menyeberanginya, sama seperti ketika TUHAN, Allahmu, mengeringkan Laut Merah, di hadapan kita sehingga kita dapat menyeberanginya. 24Hal itu dilakukan-Nya supaya segala bangsa di bumi ini tahu bahawa tangan TUHAN itu kuat, dan supaya kamu sentiasa takut kepada TUHAN, Allahmu.”

Terpilih Sekarang Ini:

Yosua 4: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk