Yohanes 8:12-47

Yohanes 8:12-47 AVB

Yesus berkata lagi kepada mereka, “Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.” Lalu orang Farisi yang hadir berkata kepada Yesus, “Kamu memberikan kesaksian tentang diri-Mu sendiri. Kesaksian-Mu tidak sah.” Yesus menjawab, “Walaupun Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi, sedangkan kamu tidak tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi. Kamu menghakimi orang mengikut ukuran manusia. Aku tidak menghakimi sesiapa pun. Tetapi sekiranya Aku menghakimi, penghakiman-Ku adalah betul, kerana Aku tidak menghakimi sendirian. Bapa yang mengutus-Ku menghakimi bersama-sama-Ku. Ada tersurat dalam hukum Taurat kamu: Kesaksian dua orang adalah sah. Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Bapa yang mengutus-Ku juga memberikan kesaksian tentang diri-Ku.” Oleh itu, mereka bertanya, “Di manakah Bapa-Mu itu?” Yesus menjawab, “Kamu tidak mengenal-Ku atau Bapa-Ku. Kalaulah kamu mengenal-Ku, tentu kamu mengenal Bapa-Ku juga.” Yesus mengatakan segala ini di perbendaharaan ketika mengajar di Bait Suci. Tetapi tiada seorang pun menangkap-Nya, kerana saat-Nya belum sampai. Yesus berkata lagi kepada mereka, “Aku akan pergi dan kamu akan mencari-Ku, tetapi kamu akan mati dalam dosamu. Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.” Lalu orang Yahudi berkata, “Adakah Dia hendak membunuh diri?” Kerana Dia berkata, “Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.” Yesus berkata, “Kamu datang dari bawah; Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia. Itulah maka Kukatakan kepadamu, kamu akan mati dalam dosamu. Memanglah kamu akan mati dalam dosamu jika kamu tidak percaya bahawa Akulah Dia yang Kukatakan.” “Siapa Kamu ini?” tanya mereka. Yesus menjawab, “Akulah Dia yang telah Kukatakan kepadamu dari mula lagi. Ada banyak lagi yang perlu Kukatakan dan Kuadili tentangmu. Tetapi Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai. Aku menyampaikan kepada dunia apa yang Kudengar daripada-Nya.” Mereka tidak faham bahawa selama ini Yesus bercakap tentang Bapa. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Anak Manusia, barulah kamu tahu bahawa Akulah Dia yang Kukatakan, dan Aku tidak pernah melakukan sesuatu menurut kehendak-Ku. Aku hanya mengatakan apa yang diajarkan oleh Bapa. Dia yang mengutus-Ku ada di sisi-Ku. Dia tidak pernah membiarkan Aku keseorangan, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang diredai-Nya.” Setelah mendengar kata-kata Yesus, ramai orang percaya kepada-Nya. Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu murid-Ku yang sejati. Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.” Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah diperhamba. Apakah maksud kata-kata-Mu, ‘Kamu akan dibebaskan’?” Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang melakukan dosa menjadi hamba kepada dosa. Seorang hamba tidak mempunyai kedudukan kekal dalam sebuah keluarga, tidak seperti seorang anak yang selama-lamanya anggota keluarga itu. Dengan demikian, jika Anak membebaskanmu, kamu akan bebas sepenuhnya. Aku tahu kamu keturunan Abraham, tetapi kamu ingin membunuh-Ku kerana kata-kata-Ku tidak mendapat tempat dalam dirimu. Aku menyampaikan apa yang dinyatakan oleh Bapa-Ku. Demikian juga kamu melakukan apa yang disampaikan oleh bapamu.” Mereka menjawab, “Bapa kami Abraham.” Tetapi Yesus berkata, “Sekiranya kamu benar-benar anak Abraham, tentu kamu lakukan apa yang telah dilakukan oleh Abraham. Aku hanya memberitahumu kebenaran yang Kudengar daripada Allah, tetapi kamu hendak membunuh-Ku. Ini bukanlah perlakuan Abraham! Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapamu.” Mereka menjawab, “Kami bukan anak luar nikah. Bapa kami satu, iaitu Allah.” Yesus berkata kepada mereka, “Kalaulah benar Allah Bapamu, tentu kamu mengasihi-Ku, kerana Aku datang daripada-Nya, bukan dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi diutus-Nya. Mengapa kamu tidak mengerti kata-kata-Ku? Kerana kamu enggan mendengar kata-kata-Ku. Bapamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta. Sebaliknya Aku menyampaikan kebenaran, maka itulah kamu tidak mahu percaya kepada-Ku. Siapakah antaramu yang dapat membuktikan Aku berdosa? Jika Aku berkata benar, mengapa kamu tidak mempercayai-Ku? Orang yang daripada Allah mendengar firman Allah. Kamu tidak mendengarnya, kerana kamu bukan daripada Allah.”