YOHANES 8:12-47
YOHANES 8:12-47 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus berkata lagi kepada orang Farisi, “Akulah cahaya bagi dunia. Orang yang mengikut Aku tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi beroleh cahaya yang memberikan hidup.” Orang Farisi di situ berkata kepada-Nya, “Sekarang kamu memberikan kesaksian tentang dirimu sendiri, tetapi kesaksian kamu tidak dapat meyakinkan orang.” Yesus menjawab, “Meskipun Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi. Kamu tidak tahu dari mana Aku datang atau ke mana Aku pergi. Kamu menghakimi orang menurut cara manusia; Aku tidak menghakimi sesiapa pun. Tetapi seandainya Aku menghakimi orang, keputusan-Ku adil, kerana Aku tidak melakukannya seorang diri; Bapa yang mengutus Aku bersama-sama Aku. Di dalam Taurat kamu tertulis: Apabila dua orang saksi memberikan kesaksian yang sama, maka kesaksian mereka benar. Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, dan Bapa yang mengutus Aku pun memberikan kesaksian tentang diri-Ku.” “Bapamu itu di mana?” tanya mereka. Yesus menjawab, “Kamu tidak mengenal Aku ataupun Bapa-Ku. Jika kamu mengenal Aku, kamu pasti mengenal Bapa-Ku juga.” Yesus mengatakan semua ini semasa Dia mengajar di Rumah Tuhan, dekat peti wang persembahan. Tetapi tidak seorang pun menangkap Dia, kerana saat-Nya belum tiba. Yesus berkata lagi kepada mereka, “Aku akan pergi dan kamu akan mencari Aku, tetapi kamu akan mati dalam dosa kamu. Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.” Para penguasa Yahudi berkata, “Barangkali dia mahu membunuh diri, kerana dia berkata, ‘Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’ ” Yesus berkata, “Kamu datang dari bawah, tetapi Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia. Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu, bahawa kamu akan mati dalam dosa kamu. Memang kamu akan mati dalam dosa kamu, jika kamu tidak percaya bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU.’ ” “Kamu siapa sebenarnya?” tanya mereka. Yesus menjawab, “Untuk apa berkata-kata lagi dengan kamu. Masih banyak perkara tentang kamu yang perlu Aku katakan dan adili. Tetapi Dia yang mengutus Aku dapat dipercayai. Lagi pun Aku memberitahu dunia apa yang Aku dengar daripada Dia.” Mereka tidak mengerti bahawa Yesus sedang berkata-kata kepada mereka tentang Bapa. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Anak Manusia pada kayu salib, barulah kamu tahu bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU’. Kemudian kamu akan tahu bahawa tiada sesuatu pun yang Aku lakukan menurut kehendak-Ku sendiri. Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepada-Ku. Dia yang mengutus Aku ada bersama-sama Aku. Dia tidak pernah membiarkan Aku sendirian, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.” Pada masa Yesus berkata-kata demikian, banyak orang percaya kepada-Nya. Kemudian Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Jika kamu taat kepada ajaran-Ku, kamu benar-benar pengikut-Ku. Kamu akan mengenal Allah. Oleh itu kamu akan dibebaskan.” Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah menjadi hamba sesiapa pun. Apakah maksud guru berkata, ‘Kamu akan bebas?’ ” Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Setiap orang yang berbuat dosa adalah hamba dosa. Seorang hamba tidak selalunya menjadi anggota tetap sebuah keluarga, tetapi seorang anak selama-lamanya menjadi anggota sebuah keluarga. Oleh itu, jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas. Aku tahu kamu keturunan Abraham. Namun kamu berusaha untuk membunuh Aku, kerana kamu tidak mahu menerima ajaran-Ku. Aku mengatakan apa yang ditunjukkan oleh Bapa-Ku kepada-Ku, sedangkan kamu melakukan apa yang diajarkan oleh bapa kamu.” Mereka menjawab, “Bapa kami Abraham.” Tetapi Yesus berkata, “Jika kamu benar-benar anak-anak Abraham, tentu kamu akan melakukan apa yang dilakukan oleh Abraham. Yang Aku lakukan hanyalah memberitahu kamu kata-kata benar yang diberitahukan oleh Allah kepada-Ku. Namun kamu mahu membunuh Aku. Abraham tidak pernah berbuat demikian! Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapa kamu.” Mereka menjawab, “Kami bukan anak haram. Bapa kami hanya satu, iaitu Allah sendiri.” Yesus berkata kepada mereka, “Seandainya Allah benar-benar Bapa kamu, tentu kamu akan mengasihi Aku, kerana Aku datang daripada Allah. Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi Dialah yang mengutus Aku. Mengapa kamu tidak memahami apa yang Aku katakan? Hal itu demikian kerana kamu tidak tahan mendengar ajaran-Ku. Bapa kamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih suka menurut kehendak bapa kamu. Sejak permulaan, Iblis itu pembunuh. Dia tidak pernah memihak kebenaran, kerana tidak ada kebenaran padanya. Apabila Iblis berdusta, hal itu memang sudah sewajarnya, kerana dia pendusta dan asal segala dusta. Tetapi Aku mengatakan apa yang benar. Itulah sebabnya kamu tidak percaya kepada-Ku. Siapakah antara kamu dapat membuktikan bahawa Aku berdosa? Jika Aku mengatakan apa yang benar, mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku? Orang yang berasal daripada Allah mendengar firman Allah. Tetapi kamu bukan daripada Allah, itulah sebabnya kamu tidak mahu mendengar firman-Nya.”
YOHANES 8:12-47 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Bŭrmula maka bŭrkatalah Isa lagi pada marika itu, Bahwa aku inilah trang dunia itu, maka barang siapa yang mŭngikot aku, maka tiada iya bŭrjalan dalam gŭlap, mŭlainkan iya akan bŭrulih trang hidop itu. Sŭbab itu maka bŭrkatalah orang orang Farisia kapadanya, Bahwa angkau juga bŭrsaksi atas dirimu sŭndiri, maka saksimu itu tiada bŭnar adanya. Maka sahut Isa, Jikalau aku bŭrsaksi atas diriku sŭndiri skalipun, maka bŭnarlah juga saksiku itu, kŭrna aku kŭtahui deri mana datangku, dan kŭmana aku pŭrgi; tŭtapi kamu tiada tahu deri mana aku datang, dan kŭmana aku pŭrgi. Adapun kamu kira kirakan mŭnurot hawa nafsu, aku kira kirakan bukan pada barang sa’orang. Maka jikalau aku kira kirakan skalipun, kira kiraanku bŭnar adanya, kŭrna aku ini bukannya sa’orang orang sahja, mŭlainkan aku dŭngan Ayah yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Bahwa adalah tŭrsurat dalam tauretmu pun, iya itu Dua orang punya saksi bahrulah bŭnar adanya. Maka aku ini sa’orang bŭrsaksi atas diriku, dan Ayah yang tŭlah mŭnyurohkan aku pun mŭnjadi saksi akan daku. Sŭtlah itu bŭrkatalah marika itu kapadanya, Dimanakah ada Ayahmu itu? Maka sahut Isa, Kamu tiada mŭngŭnal akan daku, atau akan Ayahku pun; maka jikalau kiranya kamu tŭlah mŭngŭnal akan daku, nŭschaya kamu kŭnallah akan Ayahku pun. Adapun sagala pŭrkara ini dikatakan ulih Isa dalam tŭmpat pŭrbandahran, sŭdang iya mŭngajar dalam ka’abah, maka sa’orang pun tiada mŭnaikkan tangan ka’atasnya, kŭrna kutikanya itu bŭlom lagi sampie adanya. ¶ Kumdian bŭrkatalah Isa lagi pada marika itu, Aku handak pŭrgi, maka kamu kŭlak akan mŭnchari aku, dan kamu kŭlak akan mati dalam dosamu; adapun ditŭmpat aku pŭrgi itu, maka tiadalah bulih kamu sampie kŭsana. Maka sŭbab itu kata orang Yahudi, Iya ini handak mŭmbunoh dirinya sŭndirikah? kŭrna katanya itu, Adapun ditŭmpat yang aku pŭrgi itu, maka tiadalah bulih kamu sampie kŭsana. Maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Bahwa kamu ini datang deri bawah, maka aku datang deri atas; adapun kamu deripada dunia ini, maka aku bukannya deripada dunia ini. Maka sŭbab itulah aku tŭlah bŭrkata padamu, bahwa kamu kŭlak akan mati dalam dosamu, kŭrna jikalau kamu tiada pŭrchaya aku inilah dia, maka kamu kŭlak akan mati dalam dosamu. Arkian maka bŭrkatalah marika itu kapadanya, Siapatah angkau ini? Maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Dia itu juga yang tŭlah aku katakan deri mulanya. Maka adalah banyak pŭrkara yang aku handak mŭngatakan, dan mŭnŭgorkan akan kamu, tŭtapi yang tŭlah mŭnyurohkan aku itu bŭnar adanya, maka pŭrkara yang tŭlah aku dŭngar deripadanya, maka iya itulah yang kukatakan pada isi dunia. Maka tiadalah marika itu mŭngarti, adapun yang dikatakan ulih Isa padanya itu, deri hal Ayah. Arkian maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Maka apabila kamu sudah angkatkan naik akan Anak manusia itu kŭlak, maka pada masa itulah kamu akan mŭngŭtahui, bahwa aku inilah dia itu, dan tiada aku mŭngadakan barang apa sŭndiriku, mŭlainkan aku mŭngatakan sagala pŭrkara ini spŭrti yang diajar ulih Ayahku akan daku. Maka bahwasanya iya yang tŭlah mŭnyurohkan aku itu ada sŭrtaku; adapun Ayah itu tiada mŭninggalkan aku sa’orang diri, kŭrna sŭntiasa aku bŭrbuat barang yang dipŭrkŭnankannya. Maka tŭtkala iya mŭngatakan sagala pŭrkataan ini, banyaklah orang pŭrchaya akan dia. Sŭtlah itu maka bŭrkatalah Isa pada orang orang Yahudi yang sudah pŭrchaya akan dia itu, Jikalau kamu tŭtap dalam pŭrkataanku, nŭschaya kamu jadi muridku sungguh sungguh. Maka bahwasanya kamu akan mŭngŭtahui kŭbŭnaran, maka kŭbŭnaran itulah akan mŭmŭrdehkakan kamu. Maka disahut marika itu katanya, Adapun kami ini turon tŭmuron deri pada Ibrahim, maka bŭlomlah pŭrnah kami mŭnjadi hamba pada barang sa’orang pun, maka bagimanakah angkau bŭrkata, bahwa kamu akan dimŭrdehkakan? Maka sahut Isa pada marika itu, Sungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, maka barang siapa yang bŭrbuat dosa, iyalah hamba dosa. Adapun hamba itu tiada tinggal dalam rumah slama lamanya, tŭtapi anak itu tinggal sampie slama lamanya. Maka sŭbab itu jikalau kamu dimŭrdehkakan ulih anak, maka kamu mŭrdehkalah sungguh sungguh. Maka kukŭtahuilah bahwa kamu ini turon tŭmuron deripada Ibrahim, tŭtapi kamu mŭnchari jalan handak mŭmbunoh aku, kŭrna pŭrkataanku itu tiada masok kŭdalam hatimu. Adapun aku ini mŭngatakan sagala pŭrkara yang tŭlah kulihat deripada Ayahku, dan kamu bŭrbuat barang yang kamu tŭlah mŭlihat deripada bapamu. Maka sahut marika itu katanya, Bahwa Ibrahim itu ayah kami. Maka kata Isa bagie marika itu, Jikalau kamu anak anak Ibrahim, nŭschaya kamu bŭrbuat sagala pŭrbuatan Ibrahim. Tŭtapi kamu mŭnchari jalan handak mŭmbunoh aku, sa’orang yang tŭlah bŭrkata kapadamu dŭngan bŭnar, yang tŭlah kudŭngar deripada Allah, adapun Ibrahim itu tiada bŭrbuat dŭmkian. Adapun kamu bŭrbuat pŭrbuatan bapamu. Maka kata marika itu, Bahwa kami tiada dipranakan deripada zinah; maka adalah pada kami suatu ayah sahja, iya itu Allah. Maka kata Isa pada marika itu, Jikalau Allah itu ayahmu, nŭschaya kamu kasihlah akan daku, kŭrna aku tŭlah kluar dan datang deripada Allah; maka bukannya aku datang dŭngan kahandak diriku, mŭlainkan Allah tŭlah mŭnyurohkan aku. Mŭngapa kamu tiada mŭngarti pŭrkataanku? Sŭbab kamu tiada mahu trima pŭrkataanku. Bahwa kamu deripada bapamu, iya itulah Iblis; adapun kainginan bapamu itulah yang kamu suka bŭrbuat; maka adalah iya itu sa’orang pŭmbunoh deripada mulanya; maka tiadalah iya tŭtap dalam kŭbŭnaran, kŭrna tiada kŭbŭnaran padanya. Apabila iya bŭrkata dusta, maka iya mŭnurot spŭrti kahandak hatinya, kŭrna iyalah pŭmbohong; dan lagi pula bapa bohong itu. Maka aku ini bŭrkata yang bŭnar, sŭbab itu kamu tiada pŭrchaya padaku. Maka siapakah deripadamu dapat mŭnŭmplak aku kŭrna dosa? Maka jikalau aku bŭrkata yang bŭnar, mŭngapa tiada kamu pŭrchaya akan daku? Maka orang yang deri pada Allah, iya mŭnŭngarlah akan pŭrkataan Allah; maka kamu tiada mŭnŭngar, sŭbab kamu bukannya deripada Allah.
YOHANES 8:12-47 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus berkata lagi kepada mereka, “Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.” Lalu orang Farisi yang hadir berkata kepada Yesus, “Kamu memberikan kesaksian tentang diri-Mu sendiri. Kesaksian-Mu tidak sah.” Yesus menjawab, “Walaupun Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi, sedangkan kamu tidak tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi. Kamu menghakimi orang mengikut ukuran manusia. Aku tidak menghakimi sesiapa pun. Tetapi sekiranya Aku menghakimi, penghakiman-Ku adalah betul, kerana Aku tidak menghakimi sendirian. Bapa yang mengutus-Ku menghakimi bersama-sama-Ku. Ada tersurat dalam hukum Taurat kamu: Kesaksian dua orang adalah sah. Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Bapa yang mengutus-Ku juga memberikan kesaksian tentang diri-Ku.” Oleh itu, mereka bertanya, “Di manakah Bapa-Mu itu?” Yesus menjawab, “Kamu tidak mengenal-Ku atau Bapa-Ku. Kalaulah kamu mengenal-Ku, tentu kamu mengenal Bapa-Ku juga.” Yesus mengatakan segala ini di perbendaharaan ketika mengajar di Bait Suci. Tetapi tiada seorang pun menangkap-Nya, kerana saat-Nya belum sampai. Yesus berkata lagi kepada mereka, “Aku akan pergi dan kamu akan mencari-Ku, tetapi kamu akan mati dalam dosamu. Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.” Lalu orang Yahudi berkata, “Adakah Dia hendak membunuh diri?” Kerana Dia berkata, “Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.” Yesus berkata, “Kamu datang dari bawah; Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia. Itulah maka Kukatakan kepadamu, kamu akan mati dalam dosamu. Memanglah kamu akan mati dalam dosamu jika kamu tidak percaya bahawa Akulah Dia yang Kukatakan.” “Siapa Kamu ini?” tanya mereka. Yesus menjawab, “Akulah Dia yang telah Kukatakan kepadamu dari mula lagi. Ada banyak lagi yang perlu Kukatakan dan Kuadili tentangmu. Tetapi Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai. Aku menyampaikan kepada dunia apa yang Kudengar daripada-Nya.” Mereka tidak faham bahawa selama ini Yesus bercakap tentang Bapa. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Anak Manusia, barulah kamu tahu bahawa Akulah Dia yang Kukatakan, dan Aku tidak pernah melakukan sesuatu menurut kehendak-Ku. Aku hanya mengatakan apa yang diajarkan oleh Bapa. Dia yang mengutus-Ku ada di sisi-Ku. Dia tidak pernah membiarkan Aku keseorangan, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang diredai-Nya.” Setelah mendengar kata-kata Yesus, ramai orang percaya kepada-Nya. Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu murid-Ku yang sejati. Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.” Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah diperhamba. Apakah maksud kata-kata-Mu, ‘Kamu akan dibebaskan’?” Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang melakukan dosa menjadi hamba kepada dosa. Seorang hamba tidak mempunyai kedudukan kekal dalam sebuah keluarga, tidak seperti seorang anak yang selama-lamanya anggota keluarga itu. Dengan demikian, jika Anak membebaskanmu, kamu akan bebas sepenuhnya. Aku tahu kamu keturunan Abraham, tetapi kamu ingin membunuh-Ku kerana kata-kata-Ku tidak mendapat tempat dalam dirimu. Aku menyampaikan apa yang dinyatakan oleh Bapa-Ku. Demikian juga kamu melakukan apa yang disampaikan oleh bapamu.” Mereka menjawab, “Bapa kami Abraham.” Tetapi Yesus berkata, “Sekiranya kamu benar-benar anak Abraham, tentu kamu lakukan apa yang telah dilakukan oleh Abraham. Aku hanya memberitahumu kebenaran yang Kudengar daripada Allah, tetapi kamu hendak membunuh-Ku. Ini bukanlah perlakuan Abraham! Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapamu.” Mereka menjawab, “Kami bukan anak luar nikah. Bapa kami satu, iaitu Allah.” Yesus berkata kepada mereka, “Kalaulah benar Allah Bapamu, tentu kamu mengasihi-Ku, kerana Aku datang daripada-Nya, bukan dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi diutus-Nya. Mengapa kamu tidak mengerti kata-kata-Ku? Kerana kamu enggan mendengar kata-kata-Ku. Bapamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta. Sebaliknya Aku menyampaikan kebenaran, maka itulah kamu tidak mahu percaya kepada-Ku. Siapakah antaramu yang dapat membuktikan Aku berdosa? Jika Aku berkata benar, mengapa kamu tidak mempercayai-Ku? Orang yang daripada Allah mendengar firman Allah. Kamu tidak mendengarnya, kerana kamu bukan daripada Allah.”