Yeremia 9
9
1Kalaulah kepalaku mata air
dan mataku pancuran air mata,
maka siang malam aku akan menangisi
orang yang terbunuh daripada kalangan puteri bangsaku.
2Kalaulah kudapatkan tempat bermalam di gurun
bagi orang yang sedang dalam perjalanan,
maka aku akan meninggalkan bangsaku
dan pergi daripada mereka,
kerana mereka semua penzina,
kumpulan pengkhianat.
3“Mereka melenturkan lidah seperti busur panah, untuk berdusta.
Mereka menjadi kuat di negeri, tetapi bukan demi kebenaran.
Mereka beranjak daripada kejahatan kepada kejahatan,
dan Aku tidak dikenal mereka,” demikianlah firman TUHAN.
4“Biarlah setiap orang berjaga-jaga terhadap kawannya
dan tidak mempercayai saudara mana-mana pun,
kerana setiap saudara akan saling memperdaya
dan setiap kawan akan pergi ke sana ke mari sebagai pemfitnah.
5Setiap orang menipu kawannya
dan tidak berkata benar.
Mereka telah melatih lidah untuk berkata dusta,
mereka melelahkan diri untuk melakukan kemungkaran.
6Engkau tinggal di tengah-tengah tipu daya.
Kerana tipu daya itu, mereka tidak mahu mengenal Aku,” demikianlah firman TUHAN.
7Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN alam semesta,
“Sesungguhnya, Aku akan memurnikan dan menguji mereka,
kerana apa lagi yang dapat Kulakukan terhadap puteri umat-Ku?
8Lidah mereka ialah anak panah yang membunuh,
tipu daya diucapkan mereka.
Dengan mulut orang berbicara damai kepada sesama diri,
tetapi dalam hatinya dia bersedia menyerang hendap.
9Masakan Aku tidak menghukum mereka kerana hal-hal ini?”
demikianlah firman TUHAN,
“masakan Aku tidak membalas dendam
terhadap bangsa yang seperti ini?
10Aku akan menyaringkan tangisan dan lagu perkabungan untuk gunung-gunung,
begitu pula ratapan untuk padang-padang rumput di gurun,
kerana semuanya sudah tandus sehingga tidak ada orang yang melintasinya,
dan suara ternak tidak terdengar lagi.
Baik burung di udara mahupun binatang,
semuanya telah pergi lari.
11Aku akan menjadikan Yerusalem timbunan puing,
sarang kawanan serigala.
Aku akan menjadikan kota-kota Yehuda sunyi sepi,
tanpa penduduk.”
Ancaman keruntuhan dan pembuangan
12Siapakah orang yang cukup bijak untuk mengerti hal ini? Kepada siapakah firman TUHAN disampaikan supaya dia dapat menguar-uarkannya? Mengapakah negeri ini binasa dan gersang seperti gurun sehingga tidak ada yang melintasinya?
13Firman TUHAN, “Sebabnya mereka mengabaikan hukum-Ku yang telah Kuberikan kepada mereka. Mereka tidak mematuhi Aku dan tidak hidup mengikutinya. 14Malah mereka mengikuti kedegilan hati masing-masing dan mengikuti para Baal, seperti yang diajarkan nenek moyang mereka kepada mereka.” 15Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, “Sesungguhnya, Aku akan memberi bangsa ini makan tanaman pahit dan minum air beracun. 16Aku akan mencerai-beraikan mereka di antara bangsa yang tidak dikenal oleh mereka atau oleh nenek moyang mereka. Aku akan menyuruh pedang mengejar mereka sehingga Aku menghapuskan mereka.”
17Beginilah firman TUHAN alam semesta,
“Perhatikanlah! Panggillah tukang ratap perempuan supaya mereka datang.
Suruhlah orang menjemput perempuan bijaksana supaya mereka datang.
18Biarlah mereka bersegera
dan menyaringkan lagu perkabungan kerana kita,
supaya mata kita menitiskan air mata,
dan kelopak mata kita mencucurkan air.
19Bunyi ratapan perkabungan terdengar dari Sion:
‘Betapa rosaknya kami!
Kami sangat malu!
Kami harus meninggalkan negeri kami,
kerana tempat kediaman kami dirobohkan orang.’ ”
20Tetapi dengarlah firman TUHAN, wahai kaum perempuan,
dan biarlah telingamu menerima firman yang disampaikan-Nya sendiri.
Ajarkanlah lagu perkabungan kepada anak-anak perempuanmu,
ajarkanlah ratapan seorang kepada yang lain.
21Maut telah memanjat ke jendela-jendela kita,
masuk ke dalam puri-puri kita,
untuk melenyapkan kanak-kanak daripada jalan,
dan orang muda daripada tempat umum.
22Katakanlah, “Beginilah firman TUHAN,
‘Mayat manusia akan bergelimpangan
seperti baja kandang di permukaan ladang,
seperti berkas gandum di belakang orang yang menuai,
dan tiada sesiapa yang mengumpulkannya.’ ”
Mengenal Allah kebahagiaan manusia
23Beginilah firman TUHAN,
“Janganlah orang bijak bermegah kerana kebijaksanaannya,
janganlah orang kuat bermegah kerana kekuatannya,
janganlah orang kaya bermegah kerana kekayaannya,
24 # 1Kor 1:31; 2Kor 10:17. tetapi sesiapa yang hendak bermegah, biarlah dia bermegah kerana hal ini:
bahawa dia memahami dan mengenal Aku,
bahawa Akulah TUHAN, yang menunjukkan kasih abadi,
keadilan, dan perbenaran di bumi.
Sesungguhnya, hal-hal itulah yang Kusukai,” demikianlah firman TUHAN.
25“Lihatlah, waktunya akan datang,” demikianlah firman Tuhan, “bahawa Aku menghukum semua orang yang dikhatankan kulitnya sahaja, 26iaitu orang Mesir, orang Yehuda, orang Edom, bani Amon, orang Moab, dan semua penghuni di gurun yang memotong tepi rambut. Semua bangsa itu sebenarnya tidak bersunat, bahkan hati seluruh keturunan kaum Israel pun tidak bersunat.”
Terpilih Sekarang Ini:
Yeremia 9: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited