Yeremia 20

20
Yeremia dianiaya oleh imam Pasyhur
1Pasyhur anak Imer, imam yang menjadi ketua pegawai di Bait TUHAN, mendengar Yeremia menubuatkan hal-hal itu. 2Lalu Pasyhur memukul Nabi Yeremia dan memasukkan dia ke dalam pasungan di Pintu Gerbang Benyamin Atas di Bait TUHAN. 3Keesokan harinya, ketika Pasyhur mengeluarkan Yeremia dari pasungan, berkatalah Yeremia kepadanya, “TUHAN tidak lagi menyebut namamu Pasyhur, tetapi Kegentaran dari Segala Jurusan. 4Beginilah firman TUHAN, ‘Sesungguhnya, Aku akan membuat engkau menjadi kegentaran bagi dirimu sendiri dan bagi semua sahabatmu. Mereka akan tewas oleh pedang musuh-musuh mereka dan matamu akan melihatnya. Aku akan menyerahkan seluruh Yehuda ke dalam tangan raja Babel. Dia akan membuang mereka ke Babel dan membunuh mereka dengan pedang. 5Aku akan menyerahkan segala harta benda kota ini, segala hasil jerih lelahnya, segala barangnya yang berharga, dan segala perbendaharaan raja-raja Yehuda ke dalam tangan musuh mereka. Orang itu akan merampas, mengumpulkan, dan membawa semua itu ke Babel. 6Mengenai engkau, wahai Pasyhur, dan semua orang yang tinggal di rumahmu, kamu akan pergi ke tempat penawanan. Engkau akan sampai ke Babel. Di sanalah engkau akan mati dan di sanalah engkau akan dikuburkan berserta dengan semua sahabatmu, iaitu orang yang telah kauberi nubuat dusta.’ ”
Keluh-kesah Yeremia
7Engkau telah memperdaya aku, ya TUHAN, dan aku terperdaya.
Engkau lebih kuat daripada aku
dan Engkau menang.
Sepanjang hari aku menjadi bahan tertawaan,
semua orang mengolok-olokkan aku.
8Setiap kali aku berbicara, aku harus berteriak.
Aku berseru, “Kekerasan! Perompakan!”
Kerana penyampaian firman TUHAN telah membuat aku dicela
dan dicemuh sepanjang hari.
9Kalau aku berfikir, “Aku tidak mahu menyebut-nyebut Dia
dan tidak mahu berbicara lagi atas nama-Nya,”
maka dalam hatiku ada sesuatu seperti api yang menyala-nyala,
terkurung dalam tulang-tulangku.
Aku berlelah-lelah menahannya,
tetapi aku tidak sanggup.
10Aku mendengar banyak bisikan orang:
“Kegentaran dari segala jurusan!
Adukanlah dia! Kami pun mahu mengadukannya!”
Semua sahabat karibku
menunggu kejatuhanku,
“Mudah-mudahan dia terperdaya,
sehingga kami dapat mengalahkan dia dan membalas dia.”
11Tetapi TUHAN menyertai aku seperti kesateria yang hebat,
sebab itu para pengejarku akan tersandung dan tidak akan menang.
Mereka akan sangat malu kerana tidak bertindak bijaksana,
aib mereka kekal, tidak dilupakan orang.
12Ya TUHAN alam semesta, yang menguji orang benar,
yang mengamati hati dan batin,
biarlah kulihat pembalasan-Mu terhadap mereka,
kerana kepada-Mulah kunyatakan perkaraku.
13Menyanyilah bagi TUHAN!
Pujilah TUHAN!
Kerana Dia telah melepaskan nyawa orang miskin daripada tangan orang jahat.
14 # Ayb 3:1-19. Terkutuklah hari
ketika aku dilahirkan!
Jangan mohonkan berkat bagi hari ketika ibuku melahirkan aku!
15Terkutuklah orang yang mengkhabarkan kepada ayahku,
“Seorang anak lelaki telah dilahirkan bagimu!”
dan membuatnya sangat gembira.
16Biarlah orang itu menjadi seperti kota
yang ditunggangbalikkan TUHAN tanpa belas kasihan.
Biarlah dia mendengar jeritan pada pagi hari
dan pekikan pada waktu tengah hari.
17Sebab dia tidak membunuh aku sejak dalam rahim,
sehingga ibuku menjadi kuburku
dan rahimnya mengandung selamanya.
18Mengapakah aku harus keluar dari rahim
untuk melihat kesukaran dan kedukaan,
sehingga umurku dihabiskan dalam rasa malu?

Terpilih Sekarang Ini:

Yeremia 20: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk