Yakobus 1:1-12

Yakobus 1:1-12 AVB

Daripada Yakobus, hamba Allah dan hamba Tuhan Yesus Kristus, Kepada dua belas suku yang tersebar di serata dunia: Sambutlah salam daripadaku. Saudara-saudaraku, anggaplah sebagai suatu kebahagiaan apabila kamu menghadapi pelbagai cubaan, kerana kamu tahu bahawa ujian terhadap imanmu menghasilkan ketabahan. Pastikan bahawa ketabahanmu itu berterusan, sehingga kamu menjadi sempurna tanpa sebarang kekurangan pun. Sekiranya seseorang di antaramu kurang bijaksana, dia haruslah berdoa kepada Allah supaya mengurniakan kebijaksanaan kepadanya, kerana Allah memberi dengan murah hati kepada semua orang tanpa memandang kesalahan mereka. Akan tetapi, apabila dia memohon, dia mesti beriman sepenuhnya. Dia tidak harus ragu-ragu, kerana orang yang ragu-ragu itu umpama ombak laut yang terumbang-ambing ditiup angin. Orang seperti itu tidak boleh berharap untuk menerima apa-apa daripada Tuhan; pendiriannya tidak tetap dan dia sentiasa teragak-agak melakukan sesuatu. Saudara yang hidup dalam keadaan sederhana patut bermegah dengan kedudukannya yang tinggi. Orang yang kaya pula patut bermegah dengan kedudukannya yang rendah, kerana dia boleh lenyap laksana bunga rumput. Sewaktu matahari meninggi, sinarnya yang panas menyebabkan rumput itu layu sehingga bunganya gugur lalu musnah keindahannya. Begitulah halnya dengan orang kaya yang akan lenyap ketika mengurus perniagaannya. Diberkatilah orang yang tabah menghadapi cubaan. Apabila mereka berjaya menangani cubaan itu, mereka akan mendapat mahkota kehidupan yang telah dijanjikan Allah kepada orang yang mengasihi-Nya.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Yakobus 1:1-12