Ezra 9

9
Ezra mengaku dosa orang Israel dalam doa
1Setelah selesainya semua itu, aku didatangi para pemimpin lalu mereka berkata, “Para warga Israel, para imam, dan bani Lewi tidak memisahkan diri daripada penduduk negeri ini, iaitu bani Kanaan, bani Het, bani Feris, bani Yebus, bani Amon, bani Moab, orang Mesir, dan orang Amori, serta segala perbuatan keji yang dilakukan oleh mereka. 2Warga orang Israel mengambil isteri daripada anak perempuan mereka itu bagi diri mereka dan bagi anak-anak mereka, sehingga benih yang suci sudah bercampur dengan bangsa-bangsa negeri ini. Bahkan para pemimpin dan para pegawailah yang lebih dahulu banyak melakukan kemungkaran ini.” 3Apabila aku terdengar perkara itu, aku mengoyakkan pakaianku dan jubahku, dan aku merenggut-renggut rambut kepalaku dan janggutku, lalu aku duduk dalam keadaan tertegun. 4Maka semua orang yang gementar akan firman Allah Israel itu pun berkumpul di sekelilingku kerana kemungkaran orang buangan itu. Aku sendiri duduk tertegun sampai waktu persembahan petang.
5Pada waktu persembahan petang, aku bangkit dan berhenti merendahkan diri. Lalu dengan pakaian dan jubah terkoyak, aku sujud bertelut dan menadahkan tangan kepada TUHAN, Allahku. 6Kataku, “Ya Allahku, aku malu dan berasa beraib. Naik merah muka yang cuba kutengadahkan kepada-Mu, Allahku, atas sebab kedurjanaan kami meningkat hingga mengatasi kepala kami dan kesalahan kami menanjak ke langit. 7Sejak zaman nenek moyang kami sampai hari ini sangatlah besar kesalahan kami. Kerana kedurjanaan kami itu, kami bersama-sama raja-raja dan para imam kami telah diserahkan ke dalam tangan raja berbagai-bagai negeri, kepada mata pedang, penawanan, perampasan, dan perbuatan mengaibkan seperti yang terjadi pada hari ini. 8Tetapi sekarang, buat sepintas lalu sahaja, belas kasihan yang ditunjukkan TUHAN, Allah kami, membolehkan kami ada kalangan terselamat dan yang memberi kami kedudukan teguh di tempat-Nya yang suci. Dengan demikian, Allah kami membuat mata kami berseri-seri dan memberi kami sedikit kelegaan dalam perhambaan kami. 9Sememangnya kami hamba, namun kami tidak ditinggalkan oleh Allah kami. Ditunjukkan-Nya kasih abadi kepada kami di hadapan raja-raja Parsi sehingga kami diberi kelegaan untuk menegakkan kembali puing-puingnya, dan kami diberi tembok pelindung di Tanah Yehuda serta di Yerusalem.
10Dan kini, ya Allah kami, apakah lagi yang dapat kami katakan setelah segala hal itu? Memang kami telah mengabaikan perintah-perintah-Mu, 11yang Kauberikan dengan perantaraan hamba-hamba-Mu, para nabi, dengan berfirman, ‘Negeri yang kamu masuki untuk kamu duduki itu sebuah negeri yang cemar oleh kecemaran bangsa-bangsa negeri itu. Mereka memenuhi negeri itu dengan kenajisan dari hujung ke hujung dengan segala amalan keji mereka. 12#Kel 34:11-16; Ul 7:1-5.Oleh itu, jangan berikan anak-anak perempuanmu untuk menjadi isteri anak-anak lelaki mereka, dan jangan ambil anak-anak perempuan mereka untuk menjadi isteri anak-anak lelakimu. Jangan ikhtiarkan kesejahteraan dan kekayaan mereka sama sekali untuk selama-lamanya, supaya kamu menjadi kuat, menikmati hasil yang baik daripada negeri itu, dan mewariskannya kepada anak-anakmu untuk selama-lamanya.’ 13Setelah segala yang menimpa kami akibat perbuatan kami yang jahat dan kesalahan kami yang besar — sementara Engkau, ya Allah kami, tidak menghukum kami setimpal dengan kesalahan kami dan masih mengurniai kami sebanyak orang yang terselamat ini — 14patutkah kami melanggar perintah-Mu lagi dan berkahwin dengan bangsa-bangsa yang mengamalkan perbuatan-perbuatan keji ini? Tidakkah Engkau akan marah kepada kami sehingga kami dihabiskan tanpa ada lagi yang tersisa atau terselamat? 15Ya TUHAN, Allah Israel, Engkaulah yang benar! Namun begitu, kami masih ditinggalkan sebagai baki orang yang terselamat, seperti yang terjadi pada hari ini. Lihatlah, kami menghadap hadirat-Mu dengan kesalahan kami, meskipun tidak ada yang tahan berdiri di hadapan-Mu kerana hal ini.”

Terpilih Sekarang Ini:

Ezra 9: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk