Pengkhutbah 12

12
Ingatlah Penciptamu
1Ingatlah Penciptamu pada masa mudamu, sebelum tiba hari-hari yang susah dan menjelang tahun-tahun yang akan kamu kata: “Tiada kesenangan bagiku dalam hidup ini”, 2sebelum matahari, cahaya serta bulan dan bintang-bintang menjadi gelap malah awan kembali selepas hujan; 3pada waktu para penjaga rumah gementar, dan yang gagah perkasa terbongkok, dan para penggiling berhenti kerana semakin kurang bilangan mereka, dan mata mereka yang melihat dari jendela menjadi kabur; 4dan pintu-pintu di tepi jalan tertutup, dan kian lemah bunyi penggilingan, dan orang terbangun oleh kicauan burung, dan suara nyanyian kian sayup; 5dan orang berasa takut terhadap tempat-tempat tinggi, serta terhadap kengerian di jalan. Dengan berkembangnya bunga badam, belalang menyeret diri dengan susah payah dan hilang nafsu; kerana manusia menuju ke rumah yang kekal dan orang yang berkabung berkeliaran di jalan. 6Ingatilah Dia sebelum rantai perak diputuskan dan pelita emas dipecahkan, sebelum tempayan dihancurkan di mata air dan roda timba pecah di perigi, 7dan debu kembali ke tanah seperti asal mulanya dan roh kembali kepada Allah yang mengurniakannya.
8“Segala-galanya kesia-siaan belaka”, kata Pengkhutbah. “Segala-galanya hanya sia-sia.”
Akhir kata
9Pengkhutbah itu bukan sahaja bijaksana tetapi dia juga mengajarkan ilmu pengetahuan kepada umat. Dia berhati-hati mencari, menaakul, dan menyusun banyak pepatah dan peribahasa. 10Pengkhutbah berusaha mendapat kata-kata yang menyenangkan dan secara jujur dia menulis kata-kata kebenaran. 11Itulah kata-kata orang bijaksana yang bak dorongan yang menusuk dan kata-kata para sarjana yang bagaikan paku yang tercacak teguh, pemberian Sang Gembala tunggal itu.
12Tambahan pula, wahai anakku, ingatlah! Tiada akhirnya seberapa banyak pun buku ditulis, dan banyak belajar sekadar memenatkan badan.
13Kesimpulannya, sentiasa takut kepada Allah dan patuhilah segala perintah-Nya kerana itu memang kewajipan setiap insan. 14Allah akan mengadili setiap perbuatan, termasuk terhadap segala sesuatu yang tersembunyi, sama ada perbuatan itu baik atau jahat.

Terpilih Sekarang Ini:

Pengkhutbah 12: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk