Kolose 1:15-24

Kolose 1:15-24 AVB

Dia ialah gambaran Allah yang tidak kelihatan, Dialah anak sulung antara segala yang diciptakan. Kerana melalui Dia segala sesuatu diciptakan: yang wujud di bumi dan di syurga, yang kelihatan dan tidak kelihatan, baik yang bertakhta mahupun yang berkuasa, baik pemerintah mahupun kerajaan; segala-galanya telah dicipta melalui-Nya dan untuk-Nya. Dia terdahulu daripada segalanya, dan setiap yang wujud ada dalam-Nya. Dan Dia ialah Kepala kepada tubuh iaitu jemaah; Dia adalah permulaan, anak sulung yang bangkit daripada kematian, supaya dalam segalanya Dialah yang terutama. Kerana Allah berkenan bahawa seluruh diri-Nya berada dalam Dia. Juga melalui Dia, Allah mendamaikan segalanya dengan diri-Nya, baik yang di bumi mahupun di syurga, dengan mengadakan perdamaian melalui pencurahan darah-Nya di atas salib. Kamu dahulu tersisih daripada Allah dan merupakan seteru dalam pemikiranmu kerana perbuatanmu yang jahat. Akan tetapi, sekarang Allah telah mendamaikan kamu dengan diri-Nya melalui kematian tubuh Anak-Nya, supaya Dia dapat memperhadapkan kamu sebagai orang suci, yang tidak bercela dan tidak bersalah di hadapan-Nya — jika kamu tetap beriman, mantap dan berdiri teguh, tidak berganjak daripada harapan Injil yang kamu dengar. Inilah Injil yang dikhabarkan kepada seluruh ciptaan di bawah langit, dan yang aku, Paulus, menjadi hambanya. Aku sekarang bersukacita atas penderitaanku untukmu, dan aku menyempurnakan dengan tubuhku apa yang kurang dalam kesengsaraan Kristus, untuk tubuh-Nya yang suci, iaitu jemaah.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Kolose 1:15-24