YouVersion Logo
Search Icon

1 SAMUEL 5

5
Tabut Perjanjian di tengah-tengah Orang Filistin
1Setelah orang Filistin merampas Tabut Perjanjian, mereka membawanya dari Eben-Haezer ke Asdod, kota mereka. 2Di kota itu, mereka membawa Tabut Perjanjian ke dalam kuil Dagon, dewa mereka. Mereka meletakkan Tabut itu di sisi patung dewa itu. 3Keesokan paginya, ketika penduduk Asdod pergi ke kuil itu, mereka nampak patung Dagon tertelungkup ke tanah di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN. Kemudian mereka mengangkat patung itu dan mengembalikannya ke tempatnya. 4Pada keesokan harinya, mereka nampak patung itu terjatuh lagi di hadapan Tabut Perjanjian. Kali ini kepala patung itu dan kedua-dua lengannya terpenggal dan terletak di ambang pintu; hanya badan patung itu yang masih utuh. ( 5Itulah sebabnya, hingga sekarang di Asdod para imam Dagon dan semua pemujanya melangkahi ambang pintu kuil Dagon dan tidak menginjaknya.)
6TUHAN menghukum penduduk Asdod dengan berat sekali, dan menakutkan mereka. Dia menghukum mereka dan penduduk di daerah sekitar dengan bengkak-bengkak pada tubuh mereka. 7Ketika mereka nampak apa yang sedang berlaku, mereka berkata, “Allah Israel menghukum kita dan Dagon, dewa kita. Kita tidak boleh membiarkan Tabut Perjanjian itu tinggal di sini lagi.” 8Oleh itu mereka menjemput kelima-lima orang raja Filistin supaya berkumpul, lalu bertanya, “Apakah yang harus kita lakukan dengan Tabut Perjanjian Allah umat Israel itu?”
Raja-raja itu menjawab, “Pindahkanlah Tabut itu ke kota Gat.” Lalu Tabut itu dipindahkan ke Gat, sebuah kota Filistin yang lain. 9Tetapi setelah Tabut itu sampai di sana, TUHAN menghukum penduduk kota itu juga dan menimbulkan keadaan yang sangat mencemaskan. TUHAN menghukum semua penduduk dengan bengkak-bengkak pada tubuh mereka, baik orang muda mahupun orang tua. 10Oleh itu mereka menghantar Tabut Perjanjian ke Ekron, sebuah kota Filistin yang lain lagi. Tetapi apabila Tabut tiba di sana, penduduk kota itu berkata, “Lihatlah, mereka membawa Tabut Perjanjian Allah Israel ke mari untuk membunuh kita semua!” 11Oleh itu mereka memanggil semua raja Filistin berkumpul, lalu berkata, “Hantarlah Tabut Perjanjian Allah Israel itu ke tempat asalnya, supaya tidak dapat membunuh kami dan keluarga kami.” Segenap penduduk kota itu cemas kerana Allah menghukum mereka dengan sangat berat. 12Orang yang tidak mati, ditimpa penyakit bengkak-bengkak sehingga penduduk kota itu berteriak minta tolong kepada dewa-dewa mereka.

Currently Selected:

1 SAMUEL 5: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in