YouVersion Logo
Search Icon

1 SAMUEL 6

6
Tabut Perjanjian Dikembalikan
1Selepas Tabut Perjanjian TUHAN berada di negeri orang Filistin selama tujuh bulan, 2orang Filistin memanggil para imam dan ahli sihir, lalu bertanya, “Apakah yang harus kita lakukan dengan Tabut Perjanjian TUHAN itu? Jika Tabut itu kita kembalikan ke tempatnya, apakah benda yang patut dikirim bersama-samanya?”
3Mereka menjawab, “Jangan kembalikan Tabut Perjanjian Allah Israel dengan tidak menyertakan apa-apa persembahan untuk Dia. Tabut itu mesti disertai persembahan untuk menebus dosa kamu. Dengan demikian kamu akan disembuhkan, dan kamu akan mengetahui apa sebabnya Allah Israel terus-menerus menghukum kamu.”
4Orang Filistin bertanya lagi, “Persembahan apakah yang harus kami hantarkan?”
Mereka menjawab, “Hantarkanlah lima bengkak tiruan daripada emas dan juga lima tikus tiruan daripada emas, sesuai dengan jumlah raja Filistin. Bencana yang sama sudah menimpa kamu semua, baik rakyat mahupun raja. 5Kamu mesti membuat tiruan daripada bengkak-bengkak dan tikus yang sedang mengganas di negeri kamu. Dengan demikian kamu memberikan penghormatan kepada Allah Israel. Mungkin Dia akan berhenti menghukum kamu, dewa, dan tanah kamu. 6Apa gunanya kamu berkeras kepala seperti raja Mesir dan rakyatnya dahulu? Jangan lupa cara Allah mempermainkan mereka, sampai mereka jera lalu membiarkan umat Israel meninggalkan Mesir. 7Oleh sebab itu, sediakanlah sebuah pedati yang baru dan dua ekor lembu yang sedang menyusui anak, dan yang belum pernah digunakan untuk menarik pedati. Tambatlah kedua-dua ekor lembu itu pada pedati itu, lalu giringlah anak-anak lembu itu kembali ke dalam kandang. 8Kemudian ambillah Tabut Perjanjian TUHAN, naikkannya ke atas pedati, dan di sebelahnya letakkanlah peti yang berisi benda-benda emas yang harus kamu persembahkan kepada TUHAN untuk menebus dosa kamu. Biarlah pedati dan lembu itu berjalan sendiri. 9Perhatikanlah ke mana lembu itu pergi; jika Tabut Perjanjian itu dibawa ke arah negeri asalnya, ke kota Bet-Semes, hal itu bererti bahawa Allah orang Israel sudah mendatangkan bencana yang dahsyat itu kepada kita. Tetapi jika pedati itu tidak menuju ke sana, kita akan tahu bahawa bencana itu bukan daripada Allah Israel, melainkan kebetulan saja.”
10Orang Filistin itu menurut; mereka mengambil kedua-dua ekor lembu yang sedang menyusui anak, lalu menambat kedua-dua ekor lembu itu pada pedati, sedangkan anak-anak lembu itu dikurung di dalam kandang. 11Kemudian Tabut Perjanjian itu dinaikkan ke atas pedati, bersama dengan peti yang berisi tikus tiruan daripada emas dan bengkak-bengkak tiruan daripada emas itu. 12Lembu-lembu itu berjalan menuju ke arah Bet-Semes; lembu-lembu itu menguak sambil berjalan terus, tanpa menyimpang ke kiri atau ke kanan dari jalan raya. Kelima-lima orang raja Filistin terus mengikuti lembu-lembu itu sampai ke sempadan kota Bet-Semes.
13Pada masa itu penduduk Bet-Semes sedang menuai gandum di lembah. Apabila mereka nampak Tabut Perjanjian itu, alangkah sukacitanya mereka! 14Pedati itu berhenti dekat sebuah batu besar di ladang Yosua, seorang penduduk Bet-Semes. Penduduk kota itu membelah-belah pedati kayu itu dan menyembelih dua ekor lembu itu, lalu mempersembahkan semuanya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. 15Kemudian orang Lewi menurunkan Tabut Perjanjian TUHAN dan peti yang berisi benda-benda emas itu. Mereka meletakkan semuanya di atas batu besar di situ. Selepas itu, penduduk Bet-Semes mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban-korban lain kepada TUHAN. 16Ketika kelima-lima orang raja Filistin itu nampak semua kejadian itu, mereka pulang ke Ekron pada hari itu juga.
17Orang Filistin mengirim lima bengkak tiruan daripada emas kepada TUHAN, sebagai persembahan penebus dosa, satu biji untuk setiap kota berikut: Asdod, Gaza, Askelon, Gat, dan Ekron. 18Mereka juga mengirim tikus tiruan daripada emas, satu untuk setiap kota yang diperintah oleh lima orang raja Filistin itu, baik kota yang bertembok dan pekan yang tidak bertembok. Bukti peristiwa itu adalah batu besar tempat mereka meletakkan Tabut Perjanjian TUHAN. Sampai hari ini pun batu itu masih ada di ladang Yosua, orang Bet-Semes itu.
19TUHAN membunuh tujuh puluh orang penduduk Bet-Semes kerana mereka melihat ke dalam Tabut Perjanjian. Oleh itu, penduduk kota berkabung kerana TUHAN menimpakan malapetaka yang sangat dahsyat kepada mereka.
Tabut Perjanjian di Kiryat-Yearim
20Penduduk Bet-Semes berkata, “Siapakah yang sanggup menghadap TUHAN, Allah yang suci? Ke manakah harus kita hantarkan Dia supaya jauh daripada kita?” 21Mereka mengutus beberapa orang supaya memberitahu penduduk Kiryat-Yearim, “Orang Filistin sudah mengembalikan Tabut Perjanjian TUHAN. Datanglah untuk mengambil Tabut itu.”

Currently Selected:

1 SAMUEL 6: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in