AYUB 4
4
DIALOG PERTAMA
(4.1—14.22)
Elifas
1Kemudian Elifas dari kota Teman berkata,
2“Ayub, marahkah engkau jika aku bercakap?
Aku tidak tahan berdiam diri lagi.
3Engkau telah mengajar banyak orang,
dan engkau menguatkan orang lemah.
4Kata-katamu yang memberikan semangat,
membangunkan orang yang tersandung, lemah dan penat.
5Kini engkau pula yang susah;
engkau tergamam dan putus asa.
6Bukankah engkau beribadat kepada Allah;
bukankah hidupmu tanpa cela?
Jika begitu, sepatutnya
engkau yakin dan tidak putus asa.
7Fikirlah, pernahkah orang yang tidak bersalah
ditimpa bencana dan celaka?
8Aku pernah melihat orang membajak ladang kejahatan,
dan menabur benih kekejian, lalu menuai celaka dan kesusahan.
9Seperti ribut, Allah memusnahkan mereka,
dengan kemurkaan-Nya mereka binasa.
10Seperti singa yang garang,
orang jahat mengaum dan meraung;
tetapi Allah membungkam mereka
dan mematahkan gigi mereka.
11Mereka mati seperti singa yang kekurangan makan,
sehingga anak-anak mereka tercerai-cerai tak keruan.
12Sesuatu pernah sampai kepadaku
seperti bisikan di telingaku.
13 Tidurku terganggu dan terusik
seperti mendapat mimpi yang buruk.
14Aku menggeletar dan gementar,
seluruh tubuhku menggigil kerana gentar.
15Aku berasa hembusan angin pada mukaku,
maka tegaklah bulu romaku.
16Sesuatu berdiri di depanku.
Aku menatapnya tetapi tidak mengenalnya.
Kemudian aku mendengar suara
memecahkan kesunyian suasana.
17‘Mungkinkah manusia tidak bercela di hadapan Allah?
Mungkinkah manusia suci di hadapan Pencipta mereka?
18Allah tidak mempercayai hamba-hamba-Nya di syurga;
Dia bahkan mencari kesalahan malaikat-malaikat-Nya.
19Adakah engkau berfikir bahawa Dia mempercayai makhluk daripada tanah,
makhluk daripada debu yang dapat dihancurkan seperti rama-rama?
20Manusia itu hidup pada waktu pagi,
dan mati tanpa disedari orang sebelum hari berakhir.
21Segala yang ada pada mereka hilang;
mereka mati tanpa beroleh kebijaksanaan.’
Currently Selected:
AYUB 4: BMDC
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.