YouVersion Logo
Search Icon

AYUB 3

3
Keluhan Ayub kepada Allah
1Akhirnya, Ayub mulai bercakap dan mengutuk hari kelahirannya dengan mengatakan,
2-3“Ya Allah, kutuklah hari aku dilahirkan,
dan kutuklah malam aku mula dikandung.
4Ya Allah, jadikanlah hari itu gelap,
hapuskanlah hari itu dari ingatan-Mu;
janganlah Engkau biarkan pula
cahaya cerah menyinarinya.
5Jadikanlah hari itu muram,
dan penuh kegelapan;
liputilah hari itu dengan awan,
dan tudungilah cahaya sang suria.
6Biarlah malam itu dihapuskan
daripada hitungan tahun dan bulan.
7Biarlah malam itu penuh kegelapan,
tiada kemesraan, tiada kegembiraan.
8Hai tukang sihir, pawang Lewiatan
kutuklah hari itu dengan jampi serapah.
9Jangan biar bintang fajar bersinar;
jangan biar sinar fajar memancar.
10Kutuklah malam itu kerana membiarkan aku dilahirkan,
dan menyerahkan aku kepada kesusahan dan kesedihan.
11Mengapakah aku tidak mati di dalam rahim ibu?
Mengapakah aku tidak meninggal pada saat kelahiranku?
12Mengapakah aku dipeluk ibu dan dipangkunya?
Mengapakah aku disusui pada buah dadanya?
13Jika pada waktu itu aku meninggal dunia,
tentu pada saat ini aku dapat berehat,
14tidur seperti raja dan para pemerintah
yang membina semula istana purba.
15Tentu aku tertidur seperti putera raja
yang mengisi rumah mereka dengan perak dan emas.
16Mengapakah aku tidak lahir mati,
menutup mata seperti bayi yang meninggal?
17Di dalam kubur, penjahat berhenti berbuat jahat,
dan pekerja yang lelah melepaskan penat.
18Banduan pun menikmati kelegaan,
bebas daripada perintah kasar dan tengkingan.
19 Orang ternama ataupun tidak, semuanya di sana,
dan hamba mendapat kebebasan akhirnya.
20Mengapakah manusia dibiarkan terus hidup sengsara?
Mengapakah orang yang sedih diberikan cahaya?
21 Mereka menanti maut, tetapi maut tidak kunjung tiba;
mereka lebih suka akan kubur daripada sebarang harta.
22Kegembiraan hanya dapat dirasakan
apabila mereka mati dan dikebumikan.
23Allah menyembunyikan masa depan mereka,
dan mengepung mereka dari segala arah.
24Sebagai ganti makan, aku mengeluh,
tidak hentinya aku mengaduh.
25Segala yang aku takuti melanda aku;
segala yang aku cemaskan menimpa aku.
26Aku tidak mendapat ketenteraman,
dan kesusahanku tidak berkesudahan.”

Currently Selected:

AYUB 3: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in