YouVersion Logo
Search Icon

2 MAKABE 5

5
Penglihatan tentang Pertempuran
1Sekitar waktu itu Raja Antiokhus yang Keempat bersiap-siap untuk menyerbu Mesir bagi kali kedua. 2Hampir empat puluh hari lamanya orang di seluruh kota Yerusalem mendapat penglihatan tentang pasukan berkuda yang mengharungi udara. Para penunggang kuda itu berpakaian emas dan bersenjatakan tombak 3serta pedang yang terhunus. Pasukan-pasukan itu saling berhadapan dan serang-menyerang. Perisai-perisai berbenturan, banyak tombak dan panah dilemparkan. Segala perlengkapan dan baju zirah keemasan berkilauan dalam sinar matahari. 4Semua orang berdoa semoga penglihatan itu merupakan petanda baik.
Yason Menyerang Yerusalem
5Apabila khabar angin bahawa Raja Antiokhus telah mangkat tersiar, Yason mengumpulkan lebih daripada seribu orang dan dengan mendadak menyerang kota Yerusalem. Mereka menyerbu pasukan penjaga kota sehingga berundur, lalu mereka merebut kota itu. Menelaus melarikan diri ke kubu kota, 6sedangkan Yason dan pasukannya dengan tidak mengenal belas kasihan memukul orang Yahudi, bangsa mereka sendiri. Yason tidak menyedari bahawa kemenangan terhadap bangsanya sendiri sebenarnya kekalahan yang paling besar. Dia menyangka kejayaannya itu kemenangan terhadap musuh, dan bukan suatu kekalahan bagi bangsanya sendiri. 7Tetapi dia tidak berhasil merebut kekuasaan. Sebaliknya pengkhianatan itu akhirnya hanya membawa malu baginya, dan dia terpaksa lari kembali ke negeri Amon. 8Kelakuannya yang jahat berakhir dengan nasib begini: Setelah dipenjarakan oleh Aretas, iaitu penguasa orang Arab, dia melarikan diri dari kota ke kota, dikejar-kejar oleh semua orang, dibenci sebagai pelanggar hukum, dianggap kejam sebagai pengkhianat bangsanya sendiri, dan akhirnya dibuang ke Mesir. 9Kemudian dia pergi ke Yunani dengan harapan berlindungkan diri pada orang Sparta yang masih bersaudara dengan orang Yahudi. Akhirnya orang yang telah memaksa banyak orang sebangsanya lari dari negeri mereka, mati sebagai orang buruan di negeri asing. 10Yason telah membunuh banyak orang dan membiarkan mayat mereka tidak dikuburkan. Sekarang dia sendiri tidak diratapi, tidak dikuburkan dan tidak mendapat tempat di makam nenek moyangnya.
Raja Antiokhus Menyerang Yerusalem
(1 Mak 1.20-63)
11Apabila Raja Antiokhus mendengar perihal semua yang terjadi di Yerusalem, baginda menyangka negeri Yudea sudah memberontak. Dengan sangat murka baginda meninggalkan Mesir dan merebut kota Yerusalem dengan serangan hebat. 12Baginda memerintahkan askar-askar agar dengan tidak berbelas kasihan menumpas setiap orang yang dijumpai, dan membunuh sesiapa sahaja yang lari ke dalam rumah. 13Semua orang dibunuh: laki-laki dan perempuan, anak-anak lelaki dan gadis-gadis, bahkan juga bayi-bayi. 14Dalam waktu tiga hari, Yerusalem kehilangan 80,000 orang: 40,000 mati terbunuh dalam serangan itu dan tidak kurang pula yang dijual sebagai hamba.
15Tetapi Raja Antiokhus masih belum puas, bahkan baginda berani masuk ke dalam Rumah Tuhan yang paling suci di seluruh dunia. Baginda dipimpin oleh Menelaus, orang yang telah berkhianat kepada hukum dan bangsanya. 16Dengan tangan yang tercemar dan najis, baginda mengambil perabot-perabot yang suci dan merampas barang-barang yang dihadiahkan oleh raja-raja untuk menambah semarak dan keagungan Rumah Tuhan. 17Raja Antiokhus berasa bangga sekali atas kemenangannya tanpa menyedari bahawa Yang Maha Kuasa membiarkan Rumah-Nya dicemarkan kerana dosa penduduk Yerusalem membuat Dia murka sebentar. 18Jika penduduk kota itu tidak terseret dalam begitu banyak dosa, pastilah Raja Antiokhus dihalangi daripada melakukan hal senekad itu dan dihukum, sama seperti Heliodorus yang diutus oleh Raja Seleukus untuk memeriksa perbendaharaan. 19Tuhan tidak memilih umat-Nya demi Rumah-Nya, tetapi membina Rumah-Nya demi umat-Nya. 20Jadi Rumah Tuhan ikut ditimpa penderitaan umat, tetapi kemudian ikut juga mendapat kesejahteraan bersama-sama umat. Tuhan Yang Maha Kuasa dan Maha Besar meninggalkannya ketika Dia murka, tetapi memulihkan keagungannya ketika kemurkaan-Nya reda.
Serangan Lain terhadap Yerusalem
21Raja Antiokhus mengangkut 61,200 kilogram perak dari Rumah Tuhan, dan pergi dengan segeranya ke Antiokhia. Oleh sebab sangat angkuh, baginda menyangka dapat menyuruh kapal-kapal belayar di darat, dan pasukan tentera berjalan kaki di laut. 22Baginda melantik gabenor-gabenor untuk menindas rakyat. Filipus dari Frigia yang lebih biadab daripada Raja Antiokhus sendiri, dijadikan gabenor Yerusalem. 23Andronikus dijadikan gabenor daerah Gerizim. Selain itu Menelaus juga memperlakukan bangsanya sendiri dengan lebih buruk daripada gabenor-gabenor itu, kerana dia sangat membenci orang Yahudi. 24Raja Antiokhus mengirim Apolonius dengan tenteranya sebanyak 22,000 orang dari Misia, ke Yerusalem. Mereka diperintahkan untuk membunuh semua orang lelaki di kota itu dan menjual orang perempuan dan anak-anak. 25Apolonius tiba di Yerusalem dan pura-pura bersikap damai. Dia menunggu hingga hari Sabat, dan apabila mendapati orang Yahudi mematuhi hari rehat mereka, dia menyuruh pasukannya mengadakan perarakan bersenjata. 26Banyak orang datang ke situ untuk menonton perarakan. Tiba-tiba Apolonius memerintahkan pasukannya untuk membunuh setiap penonton itu. Pasukan itu mengelilingi kota dan membunuh banyak orang.
27Tetapi Yudas Makabe bersama-sama lebih kurang sepuluh orang melarikan diri ke padang gurun dan hidup di sana seperti binatang liar. Mereka hanya makan tumbuh-tumbuhan supaya tidak menajiskan diri.

Currently Selected:

2 MAKABE 5: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in