YouVersion Logo
Search Icon

2 MAKABE 4

4
Simon Memfitnah Onias
1Tetapi Simon, orang yang telah berkhianat terhadap tanah airnya dan yang memberitahu Apolonius tentang harta di dalam perbendaharaan, menuduh Onias bahawa Oniaslah yang memukul Heliodorus dan mendatangkan malapetaka itu. 2Bahkan dia berani menuduh Onias sebagai pengkhianat negara. Padahal Onias sangat berjasa kepada Yerusalem. Dia telah melindungi orang sebangsanya dan berusaha keras supaya hukum-hukum ditaati. 3-4Apolonius anak Menesteus, gabenor Siria Besar dan Fenisia, menyokong kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh Simon. Permusuhan antara Simon dan Onias menjadi-jadi, sehingga akhirnya seorang kepercayaan Simon melakukan beberapa pembunuhan. Onias menyedari bahawa keadaan itu mengancamnya, 5maka dia pergi menghadap raja. Maksudnya bukan untuk mengadukan orang sebangsanya, tetapi untuk mengusahakan kesejahteraan bangsa Yahudi, baik umum mahupun perseorangan. 6Dia menyedari bahawa tanpa penglibatan raja, tidak mungkin tercapai perdamaian dalam urusan negara, dan bahawa Simon akan terus melakukan kejahatan.
Yason Memperkenalkan Kebudayaan Yunani
7Setelah Raja Seleukus mangkat dan Antiokhus yang dikenali sebagai Epifanes menjadi raja, Yason adik Onias berusaha untuk merebut jawatan Imam Agung dengan memberi rasuah. 8Dia menghadap raja dan menjanjikan 13,000 kilogram perak dan 2,700 kilogram lagi yang akan dibayar daripada sumber lain. 9Selain itu dia berjanji akan membayar 5,000 kilogram perak jika diberi kuasa untuk mendirikan gelanggang olahraga sebagai tempat latihan bagi pemuda-pemuda, dan mendaftarkan orang Yerusalem sebagai penduduk kota Antiokhia.
10Raja bersetuju dan segera sesudah Yason menjadi Imam Agung, dia menggunakan kekuasaannya untuk menyesuaikan penduduk Yerusalem kepada cara hidup orang Yunani. 11Dia mulai dengan menghapuskan semua hak istimewa yang dianugerahkan raja-raja Siria dahulu kepada bangsa Yahudi melalui jasa Yohanes. Yohanes itu bapa Eupolemus yang diutus ke Roma untuk mengadakan persahabatan dan perikatan. Yason juga menghapuskan adat istiadat Yahudi dan memperkenalkan adat baru yang bertentangan dengan Taurat kita. 12Dengan penuh semangat dia membina sebuah gelanggang olahraga dekat dengan Rumah Tuhan. Pemuda-pemuda kita yang paling cekap disuruhnya menyertai pesta-pesta olahraga menurut adat kebiasaan Yunani. 13Yason, Imam Agung palsu itu melakukan kejahatan-kejahatan yang tidak ada taranya. Oleh sebab dia, rakyat semakin menerima kebudayaan Yunani dan cara-cara asing, sehingga 14para imam pun tidak lagi mempedulikan tugas-tugas suci mereka. Mereka sudah tidak berminat terhadap ibadat di Rumah Tuhan dan melalaikan semua korban. Apabila tanda untuk memulakan lempar cakera dibunyikan, mereka bergegas-gegas untuk menyertai permainan-permainan yang dilarang oleh Taurat kita. 15Mereka meremehkan apa yang dihormati oleh nenek moyang kita, sedangkan tanda-tanda kehormatan Yunani sangat dihargai oleh mereka. 16Itulah sebabnya mereka mula mengalami kesulitan, oleh sebab bangsa yang adat istiadatnya dikagumi oleh mereka dan cara hidup yang cuba ditiru mereka, menjadi musuh dan penindas mereka. 17Memang pemberontakan terhadap Taurat Allah bukanlah hal yang kecil, seperti mana ternampak daripada kejadian-kejadian yang berikut.
Yerusalem di bawah Pengaruh Siria
18Pada suatu masa, apabila raja menghadiri pesta olahraga yang diadakan lima tahun sekali di kota Tirus, 19Yason orang jahat itu mengirim beberapa orang utusan dari Yerusalem, yang terdaftar sebagai penduduk Antiokhia. Yason menyuruh mereka membawa 2.5 kilogram perak untuk perbelanjaan korban kepada Dewa Herakles. Tetapi utusan-utusan itu sendiri menganggap bahawa tidaklah patut menggunakan wang itu untuk korban. 20Maka wang yang dimaksudkan untuk korban bagi Dewa Herakles, digunakan oleh pembawa-pembawa wang itu, untuk memperlengkapi kapal perang.
21Setelah Apolonius anak Menesteus diutus ke Mesir untuk menghadiri penobatan Raja Filometor, Raja Antiokhus mendengar bahawa raja Mesir itu tidak bersetuju dengan dasar-dasar baginda. Raja Antiokhus mula cemas hati tentang keamanan kerajaan baginda sendiri. Oleh sebab itu baginda pergi ke kota Yope, kemudian ke Yerusalem. 22Baginda disambut dengan meriah oleh Yason dan penduduk kota dan diarak masuk oleh kumpulan orang yang membawa obor sambil bersorak-sorai. Selepas itu Raja Antiokhus membawa pasukannya ke Fenisia.
Menelaus Menjadi Imam Agung
23Tiga tahun kemudian Yason mengutus Menelaus saudara Simon yang telah disebut dahulu, untuk membawa wang yang dijanjikannya kepada raja dan minta keputusan baginda tentang beberapa perkara penting. 24Tetapi ketika menghadap raja, dia membuat raja terkesan dengan berlagak seperti orang yang mempunyai kuasa. Menelaus menawarkan wang 10,200 kilogram lebih banyak daripada yang dijanjikan Yason, sehingga Menelaus berhasil mendapat jawatan Imam Agung. 25Lalu Menelaus kembali ke Yerusalem sambil membawa surat perlantikan daripada raja. Tetapi selain itu dia tidak mempunyai apa-apa kelayakan untuk menjadi Imam Agung; perangainya seperti seorang penguasa yang bengis dan kalau marah, dia menggeram seperti binatang buas. 26Demikianlah Yason yang telah merebut kedudukan Imam Agung daripada saudaranya sendiri digulingkan juga, dan sekarang terpaksa melarikan diri ke negeri Amon. 27Meskipun Menelaus mendapat jawatan Imam Agung, namun dia tidak membayar wang yang dijanjikannya kepada raja. 28Sostratus, komandan kubu di Yerusalem, terus-menerus menuntut wang itu, kerana dia ditugaskan mengumpul hasil. Akhirnya kedua-dua orang itu dipanggil menghadap raja. 29Menelaus melantik Lisimakhus saudaranya sebagai timbalan Imam Agung, sementara Sostratus memilih Krates, ketua pasukan Siprus, sebagai wakilnya.
Onias Dibunuh
30Sementara itu suatu pemberontakan berlaku di kota Tarsus dan Malus di daerah Kilikia, kerana raja telah menghadiahkan kedua-dua buah kota itu kepada Antiokhis, seorang gundik baginda. 31Maka raja meninggalkan Andronikus seorang pegawai tinggi sebagai wakilnya, sedangkan baginda sendiri pergi dengan tergesa-gesa ke Kilikia untuk menenteramkan keadaan di situ. 32Menelaus mengambil kesempatan itu untuk merompak beberapa buah perabot emas dari Rumah Tuhan. Sebahagian dihadiahkannya kepada Andronikus dan sebahagian lagi dijualnya di kota Tirus dan kota-kota di sekitarnya. 33Apabila Onias mendengar hal itu dia mencari perlindungan di sebuah tempat suci di Dafne dekat dengan kota Antiokhia, dan dengan terang-terangan mengecam Menelaus. 34Lalu Menelaus dengan diam-diam memujuk Andronikus untuk membunuh Onias. Maka Andronikus pergi menemui Onias. Dia bersalaman dengan Onias dan dengan tipu daya menjanjikan keselamatan kepadanya. Akhirnya Onias dapat dipujuk untuk meninggalkan tempat suci itu, walaupun dia berasa curiga. Tetapi pada saat itu juga Andronikus dengan serta-merta membunuh Onias tanpa mengendahkan keadilan.
Andronikus Dihukum
35Bukan sahaja bangsa Yahudi tetapi bangsa-bangsa lain pun marah dan gelisah kerana pembunuhan yang kejam itu. 36Setelah raja kembali dari daerah Kilikia, beberapa orang Yahudi dari Antiokhia menghadap baginda dan mengadukan pembunuhan keji terhadap Onias. Beberapa orang Yunani yang benci akan kejahatan itu turut mengutuknya. 37Raja Antiokhus berasa sangat sedih dan kasihan; baginda menangis mengenangkan mendiang Onias yang begitu bijaksana dan tertib hidupnya. 38Lalu meledaklah kemurkaan baginda terhadap Andronikus. Dengan serta-merta pakaian kebesaran Andronikus ditanggalkan oleh baginda; jubahnya dikoyak, dan dia digiring berkeliling kota hingga ke tempat pembunuhan Onias. Di tempat itu juga pembunuh itu menjalani hukuman mati. Begitulah Tuhan membalas dia dengan hukuman yang setimpal.
Lisimakhus Dibunuh
39Sementara itu Lisimakhus dengan setahu Menelaus saudaranya, telah berkali-kali merompak barang suci di kota Yerusalem. Setelah khabar itu tersiar, rakyat berkumpul melawan Lisimakhus. 40Oleh sebab rakyat yang sangat marah itu memberontak, Lisimakhus mengirim 3,000 orang bersenjata untuk menyerang mereka. Pasukan itu dipimpin oleh Auranus, seorang yang sudah lanjut usia tetapi sangat bodoh. 41Ketika orang Yahudi yang berkumpul di halaman Rumah Tuhan melihat bahawa Lisimakhus akan menyerang mereka, maka mereka memungut batu atau potongan kayu dan ada pula yang mengeruk abu. Dalam keadaan yang kacau-bilau mereka melemparkan semuanya itu ke arah Lisimakhus dan pasukannya. 42Banyak antara mereka luka-luka, beberapa orang mati dan yang lain melarikan diri. Lisimakhus sendiri, perompak Rumah Allah itu, dibunuh dekat dengan perbendaharaan.
Menelaus Memberi Rasuah kepada Raja
43Oleh sebab kejadian itu, Menelaus dihadapkan ke pengadilan. 44Apabila raja datang ke kota Tirus, Majlis Tertinggi Yahudi di Yerusalem mengutus tiga orang untuk mendakwa Menelaus. 45Tetapi apabila Menelaus menyedari bahawa dia kalah dalam perkara itu, dia menjanjikan banyak wang kepada Ptolemeus anak Dorimenes supaya dia memujuk hati raja untuk berpihak kepadanya. 46Ptolemeus mengajak raja ke serambi seolah-olah mahu menyedut udara segar. Lalu dipujuknya raja untuk mengubah pendiriannya. 47Maka Menelaus yang menjadi punca kesemua rusuhan itu dibebaskan daripada segala tuduhan, sedangkan ketiga-tiga orang utusan yang malang itu dijatuhkan hukuman mati. Padahal andaikata perkara itu dibentangkan di hadapan orang Skit yang kejam sekalipun, mereka akan dinyatakan tidak bersalah. 48Ketiga-tiga orang itu telah membela kota Yerusalem dan penduduknya serta perabot-perabot suci dari Rumah Tuhan. Walaupun begitu, hukuman yang tidak adil itu segera dilaksanakan. 49Bagi beberapa orang Tirus kejahatan itu menimbulkan rasa benci. Mereka menunjukkan penghargaan terhadap ketiga-tiga orang yang berjasa itu dengan menguburkan mereka secara besar-besaran. 50Menelaus memegang jawatannya kerana ketamakan orang yang berkuasa. Dia semakin jahat dan menjadi musuh yang paling besar bagi bangsanya sendiri.

Currently Selected:

2 MAKABE 4: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in