2 MAKABE 13
13
Menelaus Dihukum Mati
1Dalam tahun 149 Yudas Makabe dan pengikut-pengikutnya mendengar khabar bahawa Raja Antiokhus Eupator sedang menuju ke negeri Yudea dengan sebuah pasukan tentera yang besar. 2Dalam rombongan itu, turut bersama juga Lisias, wali raja, yang juga menjadi perdana menteri. Mereka mempunyai tentera Yunani yang terdiri daripada 110,000 orang pasukan tentera berjalan kaki; 5,300 orang pasukan tentera berkuda, 22 ekor gajah, dan 300 buah kereta kuda yang diperlengkapi dengan sabit pada rodanya.
3Menelaus menggabungkan diri dengan mereka dan memujuk Raja Antiokhus, seolah-olah untuk kepentingan tanah airnya, tetapi sebenarnya dia berharap untuk dilantik menjadi Imam Agung. 4Tetapi Allah, Raja segala raja, membangkitkan kemurkaan Raja Antiokhus terhadap Menelaus. Lisias mengemukakan bukti-bukti kepada Raja Antiokhus bahawa penjahat itu punca segala kekacauan. Maka Antiokhus memerintahkan supaya Menelaus dibawa ke kota Berea dan dibunuh menurut kebiasaan tempat itu. 5Di kota itu ada sebuah menara yang tingginya kira-kira 25 meter. Menara itu penuh dengan abu. Di dalamnya ada sebuah alat yang berputar dan segala sudutnya jatuh miring ke arah abu. 6Orang yang telah membuat pelanggaran terhadap tempat pemujaan atau melakukan kejahatan yang besar dinaikkan ke atas menara itu dan dijatuhkan ke dalam abu sehingga mati. 7Menelaus yang jahat dihukum mati dengan cara itu dan malahan tidak dikuburkan. 8Itu memang hukuman yang adil baginya, oleh sebab dia telah sering berdosa kerana mencemarkan abu yang suci dan api mazbah di Rumah Tuhan. Sekarang dia sendiri menemui ajalnya di dalam abu.
Pertempuran Dekat Kota Modein
9Penuh dengan keangkuhan, Raja Antiokhus terus maju untuk memperlakukan orang Yahudi dengan lebih kejam lagi daripada yang pernah dilakukan oleh ayahanda baginda. 10-11Apabila mendengar hal itu, Yudas menyuruh rakyat berdoa siang dan malam kepada Tuhan, oleh sebab mereka terancam bahaya kehilangan Taurat, tanah air, dan Rumah Tuhan mereka. Lebih daripada yang sudah-sudah, mereka memerlukan pertolongan Tuhan supaya Dia tidak membiarkan umat-Nya yang baru sahaja bebas daripada penindasan, jatuh kembali ke tangan bangsa-bangsa asing yang tidak mengenal Tuhan. 12Selama tiga hari seluruh rakyat berpuasa, dan dengan tidak henti-hentinya mereka bersujud sambil menangis dan memohon bantuan Tuhan yang berbelas kasihan. Kemudian Yudas mengucapkan kata-kata untuk menguatkan hati rakyat dan menyuruh mereka bersiap sedia di situ.
13Selepas itu Yudas berunding dengan kaum tua-tua. Mereka memutuskan untuk keluar dan menyelesaikan perkara itu dengan pertolongan Tuhan, sebelum tentera raja masuk ke negeri Yudea dan menguasai kota Yerusalem. 14Yudas menyerahkan keputusan perang itu kepada Pencipta alam semesta. Dia mengajak anak buahnya berjuang dengan gagah berani dan rela mati demi hukum, Rumah Allah, kota Yerusalem, tanah air, dan adat istiadat mereka. Lalu mereka pergi dan mendirikan perkhemahan mereka dekat dengan kota Modein. 15Yudas memberikan semboyan ini kepada anak buahnya: “Kemenangan daripada Allah!” Malam itu Yudas dengan sepasukan orang muda yang paling berani menyerbu khemah raja dan membunuh 2,000 orang. Gajah yang paling besar berserta penjaganya juga dibunuh oleh mereka. 16-17Akhirnya mereka menyebabkan semua orang di perkhemahan itu gempar ketakutan. Ketika fajar menyingsing, Yudas dan anak buahnya meninggalkan perkhemahan itu sebagai pemenang. Hal itu dapat dilakukan dengan pertolongan dan perlindungan Tuhan.
Antiokhus yang Kelima Mengadakan Perjanjian dengan Orang Yahudi
(1 Mak 6.48-63)
18Setelah mengalami perbuatan nekad orang Yahudi, Raja Antiokhus berusaha untuk membuat siasat yang lebih baik untuk menyerang beberapa buah tempat mereka. 19Baginda maju menyerang Bet-Zur, kubu Yahudi yang sangat kukuh. Setelah dipukul mundur, baginda menyerang sekali lagi lalu dikalahkan. 20Yudas mengirim segala yang diperlukan kepada orang di Bet-Zur. 21Tetapi anak buah Yudas yang bernama Rodokus membocorkan rahsia-rahsia kepada musuh. Walau bagaimanapun, perbuatannya diketahui lalu dia ditangkap dan dibunuh. 22Raja berusaha lagi untuk berunding dengan penduduk Bet-Zur, dan setelah tercapai persetujuan, baginda mengundurkan pasukan tenteranya. 23Kemudian baginda pergi menyerang pasukan Yudas, tetapi dikalahkan. Sementara itu raja mendengar bahawa Filipus yang ditinggalkan di Antiokhia untuk menjaga hal ehwal negara, telah memberontak. Raja kehilangan akal sehingga baginda mula mengadakan perundingan perdamaian dengan orang Yahudi. Baginda menyetujui syarat-syarat mereka dan bersumpah akan memperlakukan mereka dengan adil, malahan raja mempersembahkan korban dan memberikan sumbangan yang besar untuk menghormati Rumah Tuhan, dan 24menerima Yudas Makabe dengan ramah-tamah. Kemudian, raja melantik Hegemonides menjadi gabenor daerah dari kota Ptolemais hingga kota Gerar, dan 25raja sendiri berangkat ke Ptolemais. Penduduk kota sangat marah kerana raja telah mengadakan persetujuan dengan orang Yahudi. Mereka menghendaki supaya perjanjian itu dibatalkan. 26Tetapi Lisias, wali raja, berucap di hadapan umum dan sedapat-dapatnya membela perjanjian itu. Sesudah menenangkan semua orang itu dan meyakinkan mereka bahawa dia benar, maka pulanglah dia ke Antiokhia.
Dengan demikian penyerbuan raja berakhir dengan pengunduran.
Currently Selected:
2 MAKABE 13: BMDC
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.