YouVersion Logo
Search Icon

2 MAKABE 14

14
Alkimus Menentang Yudas
(1 Mak 7.1-21)
1Tiga tahun kemudian Yudas dan anak buahnya mendapat khabar bahawa Demetrius putera Seleukus sudah belayar dari pelabuhan Tripolis dengan tentera yang sangat kuat dan sebuah armada, dan 2juga menguasai negeri setelah membunuh Raja Antiokhus dan Lisias, wali baginda.
3Ada seorang bernama Alkimus yang dahulu menjadi Imam Agung, tetapi dalam masa pergolakan dia dengan sukarela beralih kepada cara hidup orang Yunani. Dia menyedari bahawa tidak ada lagi kesempatan baginya untuk menjadi Imam Agung, dan juga bahawa kehidupannya sama sekali tidak aman. 4Oleh sebab itu dalam tahun 151 dia pergi menemui Raja Demetrius. Dia mempersembahkan sebuah mahkota emas dan daun palma kepada raja, juga beberapa batang ranting daun zaitun, yang biasa dipersembahkan di kuil. Tetapi dia tidak mengatakan apa-apa tentang maksudnya. 5Kelak kemudian dia mendapat kesempatan untuk menjalankan rancangannya yang bodoh, ketika dia dipanggil oleh Raja Demetrius untuk menghadiri pertemuan penasihat baginda dan ditanya tentang keadaan dan rancangan orang Yahudi.
Kata Alkimus, 6“Pengikut-pengikut Yudas Makabe yang disebut kaum Mursyid selalu menghasut untuk berperang dan memberontak, dan tidak membiarkan kerajaan ini dalam keadaan tenteram. 7Itulah sebabnya saya telah melepaskan jawatan Imam Agung yang menjadi hak saya kerana keturunan. Saya datang ke sini, 8pertama-tamanya kerana saya sungguh cemas memikirkan kepentingan tuanku. Kemudian juga untuk kepentingan bangsa saya, kerana tindakan bodoh Yudas dan pengikut-pengikutnya merupakan malapetaka bagi seluruh bangsa kami. 9Sesudah mengetahui selok-belok perkara ini, sudilah tuanku mengambil tindakan yang sesuai dengan perikemanusiaan dan kebaikan tuanku untuk membebaskan negeri dan bangsa kami daripada penindasan. 10Selama Yudas masih hidup, negara ini tidak mungkin menikmati damai.”
Raja Demetrius Mengutus Nikanor untuk Menyerang Yudas
11Sesudah Alkimus mengakhiri ucapannya, para penasihat yang lain mengambil kesempatan itu untuk membangkitkan kemurkaan Raja Demetrius terhadap Yudas, oleh sebab mereka juga membenci dia. 12Lalu Nikanor, ketua pasukan gajah, segera dilantik oleh raja menjadi gabenor Yudea dan dikirim ke sana. 13Dia diperintahkan untuk membunuh Yudas, mencerai-beraikan pengikut-pengikutnya, dan melantik Alkimus menjadi Imam Agung rumah ibadat yang termasyhur. 14Semua orang asing di Yudea yang sudah melarikan diri daripada serangan-serangan Yudas, sekarang berduyun-duyun bergabung dengan Nikanor, oleh sebab mereka berfikir apa sahaja yang merugikan atau mencelakakan orang Yahudi akan menguntungkan mereka sendiri.
15Orang Yahudi mendengar bahawa Nikanor sedang datang menyerang mereka, dan bahawa orang asing ikut berkomplot. Maka mereka menaburi diri dengan tanah dan berdoa kepada Allah yang telah memilih bangsa mereka menjadi milik-Nya untuk selama-lamanya, dan yang selalu menolong mereka dengan nyata apabila mereka memerlukan pertolongan. 16Lalu dengan perintah Yudas pemimpin mereka, mereka segera bertolak untuk menemui musuh dalam pertempuran dekat dengan kampung Desau. 17Simon, saudara Yudas bertempur melawan Nikanor, tetapi dia berundur sebentar kerana gerakan tiba-tiba daripada pihak musuh. 18Ketika Nikanor mendengar keperwiraan anak buah Yudas dan keberanian mereka dalam mempertahankan tanah air, dia memutuskan untuk menyelesaikan perkara itu bukan dengan pertempuran. 19Oleh sebab itu diutusnya Posidonius, Teodotus, dan Matatias untuk membuat perjanjian perdamaian dengan orang Yahudi.
20Sesudah syarat-syarat perjanjian itu dipertimbangkan dengan matangnya, panglima masing-masing mengumumkannya kepada seluruh pasukan dan mereka bersetuju dengan sebulat suara untuk berdamai. 21Lalu ditetapkan suatu hari untuk kedua-dua orang panglima sahaja bertemu. Masing-masing dibawa dengan tandu dan mengambil tempat di kerusi kehormatan yang disediakan. 22Tetapi Yudas menempatkan beberapa orang bersenjata yang bersiap sedia di beberapa buah tempat yang baik untuk menjaga kemungkinan kalau-kalau musuh dengan tiba-tiba berkhianat. Lalu kedua-dua orang pemimpin itu mengadakan mesyuarat yang berjalan dengan baik. 23Sesudah perundingan itu, Nikanor tinggal di Yerusalem untuk beberapa lama dan tidak melakukan apa-apa yang buruk. Bahkan orang ramai yang berduyun-duyun bergabung dengan dia disuruhnya pulang. 24Nikanor selalu memperhatikan Yudas dan menyenangi dia dengan setulus hati. 25Dia menasihati Yudas supaya berkahwin dan mendirikan rumah tangga. Yudas mengikuti nasihat itu dan menikmati hidup yang tenteram.
Nikanor Berbalik Memusuhi Yudas
26Alkimus melihat bahawa Nikanor sangat rukun dengan Yudas. Maka dia mengambil sebuah salinan daripada surat perjanjian itu dan pergi menghadap Raja Demetrius. Dia menyampaikan kepada raja bahawa Nikanor tidak setia kepada pemerintah kerana telah melantik Yudas, pengkhianat negara, menjadi penggantinya. 27Tuduhan-tuduhan palsu itu membuat raja murka. Dalam kemurkaannya, raja menulis kepada Nikanor bahawa baginda tidak puas hati dengan perjanjian itu. Nikanor diperintahkan untuk menangkap Yudas Makabe dan mengirimnya dengan segera ke Antiokhia.
28Pesan itu membuat Nikanor bingung. Dia tidak sampai hati untuk membatalkan perjanjian itu kerana Yudas tidak berbuat apa-apa yang salah. 29Oleh sebab tidak boleh mengingkar perintah raja, dia mencari kesempatan untuk menangkap Yudas dengan siasat. 30Tetapi Yudas melihat bahawa Nikanor mula bersikap dingin terhadapnya dan mendekati dia dengan lebih kasar daripada biasa. Yudas tahu bahawa itu tanda yang buruk. Maka dia mengumpulkan sejumlah besar pengikutnya lalu bersembunyi daripada Nikanor.
31Apabila Nikanor menyedari bahawa dia telah diperdaya oleh Yudas, dia pergi ke Rumah Tuhan yang agung pada saat imam-imam sedang mempersembahkan korban. Dia memerintahkan para imam untuk menyerahkan Yudas kepadanya. 32Tetapi imam-imam itu dengan sumpah menyatakan bahawa mereka tidak tahu di mana dia. 33Lalu Nikanor mengacungkan tangan kanannya ke arah Rumah Tuhan dan bersumpah, “Kalau kamu tidak menyerahkan Yudas dengan terbelenggu kepadaku, Rumah Tuhan ini akan kuratakan ke tanah, mazbah itu akan kubongkar, dan di tempat ini akan kudirikan sebuah kuil yang megah untuk Dewa Dionisius!” 34Sesudah berkata begitu dia pergi. Lalu para imam mengangkat tangan mereka ke syurga dan berdoa kepada Allah yang selalu berjuang untuk bangsa kita. Mereka berdoa begini, 35“Ya Tuhan, Engkau tidak memerlukan apa-apa. Walaupun begitu Engkau berkenan menempatkan Rumah-Mu di sini untuk tinggal di tengah-tengah kami. 36Hanya Engkaulah Tuhan yang suci, sumber segala kesucian. Jagalah supaya Rumah-Mu yang baru sahaja disucikan semula bagi-Mu, tetap suci untuk selama-lamanya.”
Razis Mati untuk Tanah Airnya
37Salah seorang terkemuka di Yerusalem, yang bernama Razis dilaporkan kepada Nikanor. Razis itu orang yang menyayangi bangsanya dan sangat dihormati sehingga diberi gelaran ‘Bapa orang Yahudi’. 38Pada awal pergolakan, dia dengan tabah hati mempertaruhkan jiwa raganya untuk kepentingan agama Yahudi, dan telah dihadapkan ke pengadilan kerana kesetiaannya. 39Nikanor ingin menunjukkan kebenciannya terhadap orang Yahudi. Oleh sebab itu dia menyuruh lebih daripada 500 orang askar untuk menangkap Razis, 40Kerana dia menyangka bahawa dengan tindakan itu dapat merugikan orang Yahudi. 41Para askar bersiap sedia untuk merebut menara tempat Razis ketika itu. Mereka memecah pintu gerbang halaman dan memerintahkan supaya pintu-pintu menara dibakar. Ketika Razis melihat bahawa tidak ada kemungkinan untuk melarikan diri, dia menikam dirinya dengan pedang. 42Dia lebih suka mati dengan hormat daripada jatuh ke tangan musuh dan mengalami penghinaan. 43Tetapi kerana tergesa-gesa, tikaman itu tidak membunuh dia.
Ketika askar-askar masuk melalui pintu-pintu, Razis dengan beraninya naik ke atas tembok dan seperti seorang pahlawan dia melompat ke tengah orang banyak di bawah. 44Mereka segera menyingkir dan dia pun jatuh di tengah-tengah tempat yang kosong. 45Tetapi dia masih hidup, dan dengan semangat yang berkobar-kobar dia bangkit, dan walaupun darah bercucuran dari luka-lukanya yang parah itu, dia lari menerobos orang ramai dan berdiri di sebuah bukit batu yang curam. 46Apabila sudah kehabisan darah, dia mengeluarkan isi perutnya dengan kedua-dua belah tangannya, lalu dilemparkannya kepada orang ramai itu. Sambil berbuat begitu, dia berdoa agar Tuhan yang menguasai semua yang hidup dan bernafas, memberikannya kembali kepadanya kelak. Begitulah Razis meninggal dunia.

Currently Selected:

2 MAKABE 14: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in