FILIPI 3:12-21
FILIPI 3:12-21 BM
Aku tidak berkata bahawa aku sudah berjaya melakukan semua yang harus aku lakukan, ataupun sudah menjadi sempurna. Tetapi aku terus berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memenangi hadiah yang disediakan oleh Kristus Yesus. Itulah tujuan Kristus Yesus menjadikan aku milik-Nya. Saudara-saudaraku, sebenarnya aku tidak menganggap bahawa aku sudah berjaya memenangi hadiah itu. Tetapi satu perkara aku lakukan. Aku melupakan apa yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapan. Itulah sebabnya aku berlari terus ke arah tujuanku untuk memenangi hadiah itu. Hadiah itu hidup sejati dan kekal yang merupakan panggilan Allah kepadaku melalui Kristus Yesus. Kita semua yang sudah matang dalam kehidupan sebagai orang yang percaya kepada Kristus, harus bersikap demikian. Tetapi jika ada antara kamu yang berpendapat lain, Allah akan menjelaskan hal itu kepada kamu. Bagaimanapun kita perlu memperhatikan hal ini: Kita harus tetap hidup menurut peraturan yang telah kita taati sehingga sekarang. Saudara-saudaraku, ikutlah teladanku. Kami sudah memberikan teladan yang baik kepada kamu. Oleh itu perhatikanlah orang yang mengikut teladan kami itu. Apa yang akan aku beritahukan kepada kamu, sudah banyak kali aku katakan kepada kamu dahulu, dan sekarang aku mengulanginya lagi dengan tangisan. Banyak orang dengan kehidupan mereka sudah merosakkan erti kematian Kristus di kayu salib. Hidup orang seperti itu akan berakhir dengan kehancuran, kerana mereka bertuhankan keinginan tubuh mereka sendiri. Mereka membanggakan hal-hal yang seharusnya memalukan. Mereka hanya memikirkan perkara-perkara duniawi. Tetapi kewarganegaraan kita di syurga. Dengan penuh harapan kita menanti-nantikan kedatangan Penyelamat kita, Tuhan Yesus Kristus dari syurga. Dia akan mengubah tubuh kita yang lemah dan fana ini, menjadi seperti tubuh-Nya sendiri yang mulia itu. Dia dapat melakukan hal itu kerana Dia memiliki kuasa untuk menaklukkan segala sesuatu.