NEHEMIA 2:11-18
NEHEMIA 2:11-18 BM
Aku meneruskan perjalanan ke Yerusalem. Selama tiga hari, aku tidak memberitahu sesiapa pun akan ilham Allah kepadaku tentang apa yang akan aku lakukan bagi kota Yerusalem. Kemudian, pada waktu tengah malam aku bangun dan keluar bersama-sama beberapa orang teman. Satu-satunya binatang yang aku bawa adalah keldai yang aku tunggangi. Hari masih gelap ketika aku keluar dari kota melalui Pintu Gerbang Lembah di sebelah barat, lalu aku menuju ke arah selatan, melalui Mata Air Naga, ke Pintu Gerbang Sampah. Selama perjalanan itu, aku memeriksa tembok kota yang sudah roboh dan pintu-pintu gerbangnya yang telah musnah dimakan api. Kemudian dari sebelah timur kota itu aku menuju ke utara, ke Pintu Gerbang Mata Air dan ke Kolam Raja. Di situ tidak ada tempat untuk berjalan bagi keldai yang aku tunggangi kerana reruntuhan terlalu banyak. Oleh itu aku turun ke Lembah Kidron dan meneruskan perjalanan, sambil memeriksa tembok kota. Setelah itu aku kembali ke kota mengikut jalan yang sama, yang melalui Pintu Gerbang Lembah. Tidak ada seorang pun pegawai tempatan tahu ke mana aku telah pergi dan apa yang aku lakukan. Setakat itu aku belum memberitahu sesiapa pun di kalangan sesama orang Yahudi, baik para imam, pemimpin, pegawai, atau sesiapa sahaja yang akan ikut membina semula kota Yerusalem. Tetapi kemudian aku berkata kepada mereka, “Lihatlah keadaan kita yang sengsara ini! Kota Yerusalem tinggal reruntuhan dan pintu-pintu gerbangnya musnah dimakan api. Marilah kita bina semula tembok kota supaya kita tidak dihina lagi.” Kemudian aku menceritakan bagaimana Allah menyertai dan menolong aku, dan apa yang sudah dikatakan oleh raja kepadaku. Mereka menjawab, “Marilah kita mula membinanya!” Kemudian mereka bersiap untuk memulakan pekerjaan itu.