WAHYU 1
1
1Kitab ini mengandungi peristiwa-peristiwa yang dinyatakan oleh Yesus Kristus. Allah memberitahukannya kepada Kristus, dan Kristus menunjukkan apa yang segera harus berlaku itu kepada hamba-hamba Allah. Kristus mengutus malaikat-Nya untuk memberitahu Yohanes, hamba-Nya semua peristiwa itu. 2Yohanes menceritakan segala yang telah dilihatnya itu. Inilah laporannya tentang perkhabaran daripada Allah dan hal-hal yang dinyatakan oleh Yesus Kristus. 3Berbahagialah orang yang membaca kitab ini kepada jemaah. Berbahagialah mereka yang mendengarkan perkhabaran nubuat ini serta taat kepada apa yang tertulis di dalam kitab ini, kerana tidak lama lagi semuanya ini akan berlaku.
Salam kepada Jemaah di Tujuh Buah Tempat
4 Daripada Yohanes kepada jemaah di tujuh buah tempat di daerah Asia:
Terimalah berkat dan kesejahteraan daripada Allah, iaitu Dia yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang, serta daripada tujuh roh yang di hadapan takhta-Nya, 5 dan daripada Yesus Kristus, saksi yang setia. Dialah yang pertama sekali dibangkitkan daripada kematian dan Dialah pemerintah raja-raja dunia.
Yesus mengasihi kita, dan dengan kematian-Nya Dia membebaskan kita daripada dosa-dosa kita. 6 Kristus menjadikan kita imam yang memerintah bersama-sama Dia dan yang mengabdikan diri kepada Allah, Bapa-Nya. Marilah kita muliakan keagungan dan kekuasaan Yesus Kristus yang kekal itu. Amin!
7 Lihatlah, Dia datang dengan awan! Semua orang akan melihat Dia, termasuk juga mereka yang sudah membunuh Dia. Semua bangsa di bumi akan meratap kerana Dia. Ya, tentu! Amin!
8 “Akulah yang pertama dan yang terakhir,” firman Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang.
Penglihatan tentang Kristus
9Aku Yohanes, saudara kamu, juga mengalami penderitaan yang dialami oleh setiap pengikut Yesus. Kita menantikan Pemerintahan-Nya dan harus menanggung penderitaan dengan tabah hati. Aku dibuang ke pulau Patmos kerana mengisytiharkan firman Allah dan hal-hal yang dinyatakan oleh Yesus. 10Pada hari Tuhan, Roh Allah menguasai aku, lalu aku mendengar suara yang kuat dan jelas, seperti bunyi trompet, berkata-kata di belakangku. 11Suara itu berkata, “Tuliskanlah apa yang engkau lihat dan kirimlah kitab ini kepada jemaah di tujuh buah kota berikut: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia, dan Laodikia.”
12Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang berkata-kata kepadaku. Lalu aku nampak tujuh buah kaki pelita daripada emas. 13 Di tengah-tengah kaki pelita itu ada sesusuk tubuh yang kelihatan seperti manusia. Dia memakai jubah yang panjangnya sampai ke kaki dan dada-Nya dililiti seutas pengikat daripada emas. 14Rambut-Nya sangat putih, seputih kapas, dan mata-Nya bernyala-nyala seperti api. 15 Kaki-Nya bersinar seperti gangsa yang sudah dibersihkan dan digosok, dan suara-Nya seperti deruman air terjun yang besar. 16Tangan kanan-Nya memegang tujuh buah bintang, dan dari mulut-Nya keluar sebilah pedang tajam yang bermata dua. Muka-Nya terang seperti matahari pada waktu tengah hari. 17 Ketika aku melihat-Nya, aku meniarapkan diri di hadapan-Nya seperti orang mati. Dia meletakkan tangan kanan-Nya padaku lalu berfirman, “Janganlah takut! Akulah yang awal dan yang penghujung. 18Akulah Dia yang hidup! Aku sudah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selama-lamanya. Aku berkuasa atas kematian dan atas dunia orang mati. 19Oleh itu, tulislah perkara-perkara yang engkau lihat, iaitu perkara-perkara yang ada sekarang ini, dan perkara-perkara yang akan berlaku kelak. 20Inilah makna yang dilambangkan oleh tujuh buah bintang yang engkau lihat di tangan kanan-Ku dan oleh tujuh buah kaki pelita daripada emas itu. Tujuh buah bintang itu melambangkan para malaikat daripada jemaah di tujuh buah tempat itu, dan tujuh buah kaki pelita itu melambangkan jemaah di tujuh buah tempat itu.”
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.