MAZMUR 139
139
Allah Maha Tahu dan Memelihara Semuanya
1Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud.
Ya TUHAN, Engkau telah menyelami hatiku,
dan Engkau mengenal aku.
2Engkau mengetahui segala perbuatanku;
dari jauh Engkau memahami fikiranku.
3Engkau melihat aku,
sama ada aku sedang bekerja ataupun berehat;
Engkau mengetahui segala perbuatanku.
4Bahkan sebelum aku bercakap,
Engkau sudah tahu apa yang akan kukatakan.
5Engkau mengelilingi aku di segala penjuru;
Engkau melindungi aku dengan kuasa-Mu.
6Pengetahuan-Mu tentang diriku sangat dalam;
terlalu dalam bagi pengertianku.
7Ke manakah aku dapat pergi untuk menjauhkan diri daripada-Mu?
Ke manakah aku dapat lari dari hadirat-Mu?
8Jika aku pergi ke syurga, Engkau di sana;
jika aku tidur di alam maut, Engkau di sana juga.
9Jika aku terbang ke ufuk timur,
atau tinggal di hujung barat yang paling jauh,
10di sana juga Engkau akan memimpin aku,
dan di sana pun Engkau akan menolong aku.
11Jika aku minta kegelapan melingkupi aku,
ataupun cahaya di sekelilingku menjadi malam,
12namun bagi-Mu kegelapan itu tidak gelap,
dan malam itu cerah seperti siang.
Bagi-Mu gelap dan terang sama sahaja.
13Engkau menciptakan segala bahagian badanku;
Engkau membentuk aku di dalam rahim ibuku.
14Aku memuji Engkau kerana Engkau menciptakan aku dengan baik dan luar biasa.
Segala perbuatan-Mu ajaib dan mengagumkan.
Aku benar-benar menyedarinya.
15Ketika tulang-tulangku dijadikan,
dan dirangkaikan dengan teliti di dalam rahim ibuku,
ketika aku tumbuh di sana secara rahsia,
Engkau tahu bahawa aku di sana.
16Engkau melihat aku semasa aku dalam kandungan ibuku.
Jangka masa hidupku sudah ditetapkan
dan dicatat di dalam kitab-Mu,
bahkan sebelum satu hari pun bermula.
17Ya Allah, betapa sukarnya fikiran-Mu bagiku,
dan betapa banyak jumlahnya.
18Jika dihitung, bilangannya lebih banyak daripada butir pasir.
Ketika aku bangun, aku masih bersama-sama-Mu.
19Ya Allah, bunuhlah orang jahat,
dan jauhkanlah pengganas daripadaku!
20Mereka memfitnah Engkau;
mereka menjahatkan nama-Mu.
21Ya TUHAN, aku benci akan orang yang membenci Engkau!
Aku berasa jijik terhadap orang yang melawan Engkau!
22Aku membenci mereka dengan sepenuh hati;
aku menganggap mereka musuhku.
23Selidikilah aku, ya Allah, dan selamilah hatiku;
ujilah aku dan ketahuilah fikiranku.
24Periksalah hatiku sama ada terdapat kejahatan dalam diriku,
dan pimpinlah aku ke jalan yang abadi.
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.