FILIPI 1

1
1 Surat daripada Paulus dan Timotius, hamba-hamba Kristus Yesus, dan surat ini ditujukan kepada umat Allah di Filipi yang bersatu dengan Kristus, termasuk para pemimpin dan penolong jemaah.
2Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.
Doa Paulus untuk Jemaah di Filipi
3Setiap kali aku teringat akan kamu, aku bersyukur kepada Allah. 4Setiap kali aku berdoa untuk kamu, aku berdoa dengan sukacita. 5Aku bersukacita kerana kamu telah menolong aku sehingga dapat mengkhabarkan Berita Baik itu, sejak hari pertama sehingga sekarang. 6Aku yakin bahawa Allah, yang sudah memulakan pekerjaan yang baik pada diri kamu, akan meneruskannya sehingga selesai pada Hari Kristus Yesus datang kembali. 7Aku sentiasa mengingati kamu dengan sukacita. Memang aku patut mempunyai perasaan seperti itu terhadap kamu, kerana kamu semua sudah memberikan kerjasama dalam menjalankan tugas khas yang diberikan oleh Allah kepadaku. Kamu melakukannya baik sekarang semasa aku dipenjarakan, mahupun dahulu sewaktu aku bebas membela dan mempertahankan Berita Baik itu. 8Allah tahu bahawa apa yang aku katakan ini benar. Aku mengasihi kamu dengan kasih yang berasal daripada Kristus Yesus.
9Aku berdoa supaya kasih kamu kepada Allah dan sesama manusia terus bertambah, sehingga kamu tahu akan apa yang benar dan dapat membuat pertimbangan yang sempurna. 10Dengan demikian kamu dapat memilih apa yang terbaik, sehingga pada Hari Kristus datang kembali kamu bebas daripada segala celaan dan tuduhan. 11Hidup kamu akan penuh dengan perbuatan yang benar-benar baik, kerana Yesus Kristus sahaja yang dapat menyebabkan kamu berbuat demikian. Oleh itu Allah akan dimuliakan dan dipuji.
Hidup untuk Kristus
12Saudara-saudaraku, aku mahu kamu tahu bahawa semua perkara yang berlaku kepadaku sesungguhnya menyebabkan lebih banyak orang mendengar Berita Baik itu. 13 Akibatnya, semua pengawal istana dan orang di sini tahu bahawa aku dipenjarakan kerana aku hamba Kristus. 14Oleh sebab aku dipenjarakan, kebanyakan orang Kristian di kota ini mempunyai keyakinan yang lebih teguh kepada Tuhan. Mereka semakin berani mengkhabarkan berita itu tanpa berasa takut.
15Memang beberapa orang antara mereka mengkhabarkan Kristus kerana iri hati terhadap aku serta suka bertengkar. Tetapi yang lain mengisytiharkan Kristus dengan maksud yang baik. 16Mereka melakukan hal itu kerana mengasihi Allah dan aku. Mereka tahu bahawa Allah telah melantik aku untuk mempertahankan Berita Baik itu. 17Orang lain mengkhabarkan Kristus dengan maksud yang tidak baik. Mereka melakukannya untuk kepentingan diri sendiri, kerana menyangka hal itu akan lebih menyusahkan aku sementara aku di dalam penjara.
18Tetapi tidak mengapa! Aku tetap bergembira, asal sahaja Kristus diberitakan dengan segala cara, baik dengan maksud yang baik ataupun yang salah. Aku akan terus bersukacita, 19kerana aku tahu bahawa dengan doa kamu dan dengan pertolongan daripada Roh Yesus Kristus, aku akan dibebaskan. 20Aku berharap dengan sepenuh hati supaya jangan sekali-kali aku gagal dalam tugasku. Tetapi pada setiap masa, terutama sekali sekarang, aku dapat berkata-kata dengan berani, sehingga dengan segenap jiwa raga, aku akan menyebabkan orang memuliakan Kristus, sama ada aku hidup ataupun mati. 21Bagiku, hidup itu mengabdi kepada Kristus, dan kematian lebih berfaedah. 22Tetapi jika dengan hidup di dunia ini, aku dapat melakukan lebih banyak pekerjaan yang berguna, aku tidak pasti yang mana akan aku pilih. 23Amatlah susah membuat pilihan. Aku sangat ingin meninggalkan dunia ini untuk pergi tinggal dengan Kristus, kerana hal itu lebih baik. 24Tetapi bagi kepentingan kamu, lebih mustahak aku hidup. 25Aku yakin akan hal itu. Oleh itu aku tahu bahawa aku akan terus hidup untuk menolong kamu, supaya iman kamu semakin teguh dan kamu semakin bersukacita dalam kepercayaan kepada Kristus. 26Dengan demikian apabila aku bersama-sama kamu lagi, kamu akan mempunyai lebih banyak alasan untuk berbangga dengan aku, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus.
27Oleh itu penting bagi kamu untuk hidup sesuai dengan apa yang dituntut oleh Berita Baik tentang Kristus. Dengan demikian sama ada aku dapat berjumpa dengan kamu atau tidak, aku akan mendapat berita bahawa kamu berdiri teguh dan berjuang dengan satu tujuan dan satu keinginan, untuk iman yang berdasarkan Berita Baik itu. 28Janganlah takut akan orang yang menganiaya kamu; tabahkanlah hati. Hal itu akan membuktikan bahawa mereka akan kalah dan kamu akan menang, kerana Allah sendiri yang memberikan kemenangan itu kepada kamu. 29Semua itu berlaku kerana kamu sudah diberikan oleh Allah anugerah untuk mengabdikan diri kepada Kristus, bukan sahaja dengan percaya kepada-Nya, tetapi juga dengan menderita bagi-Nya. 30 Sekarang kamu boleh menyertai aku dalam perjuanganku, perjuangan yang pernah kamu lihat aku lakukan dahulu. Sekarang kamu juga mendengar bahawa aku masih tetap berjuang.

目前选定:

FILIPI 1: BM

高亮显示

分享

复制

None

想要在所有设备上保存你的高亮显示吗? 注册或登录