NEHEMIA 4

4
Nehemia Mengatasi Tentangan terhadap Pekerjaannya
1Apabila Sanbalat mendengar bahawa kami orang Yahudi sudah mula memperbaiki tembok kota, dia sangat marah dan mula mengolok-olok kami. 2Di hadapan sahabat-sahabatnya dan pasukan tentera Samaria, dia berkata, “Apakah yang sedang dilakukan oleh orang Yahudi yang celaka ini? Adakah mereka berniat untuk membina semula kota ini? Adakah mereka berfikir bahawa dengan mempersembahkan korban, mereka akan menyelesaikan pekerjaan itu dalam sehari? Dapatkah mereka membuat batu binaan daripada tumpukan sampah yang sudah hangus?”
3Tobia yang berdiri di samping Sanbalat, juga berkata, “Tembok semacam apakah yang dapat dibina mereka? Anjing hutan pun dapat merobohkannya!”
4Kemudian aku berdoa, “Ya Allah, dengarlah bagaimana mereka menghina kami! Biarlah penghinaan itu menimpa diri mereka sendiri. Biarlah segala harta mereka dirampas, dan biarlah mereka dibawa ke negeri orang sebagai orang tawanan. 5Jangan ampunkan kejahatan mereka, dan jangan lupakan dosa mereka, kerana mereka sudah menghina kami yang sedang membina tembok ini.”
6Oleh itu kami terus memperbaiki tembok. Tidak lama kemudian tembok itu selesai diperbaiki sehingga setengah daripada tingginya, kerana rakyat bekerja dengan penuh semangat.
7Ketika Sanbalat, Tobia, orang Arab, orang Amon, dan orang Asdod mendengar bahawa pekerjaan memperbaiki tembok Yerusalem itu maju dengan pesat, dan bahawa lubang-lubang pada tembok itu sudah ditutup, mereka naik berang. 8Oleh itu mereka semua bermuslihat hendak menyerang Yerusalem dan menimbulkan kekacauan. 9Tetapi kami berdoa kepada Allah kami dan menyuruh orang mengawal kota itu daripada serangan mereka, pada siang dan malam.
10Kemudian orang Yehuda mula menyanyikan nyanyian berikut:
“Kami lemah kerana memikul beban,
sedangkan sampah masih bertimbun-timbun.
Kami tidak berdaya membina tembok hari ini.”
11Musuh kami berfikir bahawa kami tidak akan nampak mereka atau mengetahui hal yang berlaku sehingga saatnya mereka sudah menyerang kami, dan membunuh kami serta menghentikan pekerjaan kami. 12Tetapi berkali-kali, orang Yahudi yang tinggal berhampiran dengan musuh kami datang memberitahu kami akan rancangan musuh itu terhadap kami. 13Oleh itu aku melengkapi rakyat dengan pedang, tombak, dan panah. Aku menempatkan mereka menurut puak masing-masing di belakang tembok, iaitu di tempat-tempat yang belum diperbaiki.
14Apabila aku nampak bahawa rakyat gelisah, aku berkata kepada mereka, para pemimpin dan pegawai mereka, “Jangan takut akan musuh. Ingatlah betapa besar dan hebatnya Tuhan kita, dan berjuanglah untuk saudara-saudara kamu, anak isteri kamu, dan rumah-rumah kamu.” 15Musuh kami mendengar bahawa muslihat mereka sudah kami ketahui. Oleh itu mereka sedar bahawa Allah sudah menggagalkan rancangan mereka. Kemudian kami semua kembali bekerja memperbaiki tembok itu.
16Sejak itu setengah daripada anak buahku bekerja, dan setengah lagi berkawal dengan berpakaian baju perang, lengkap dengan tombak, perisai, dan panah. Para pemimpin kami memberikan sokongan penuh kepada mereka 17yang memperbaiki tembok itu. Bahkan mereka yang mengangkat bahan binaan pun bekerja dengan satu tangan, dan membawa senjata dengan tangan sebelah. 18Tiap-tiap orang yang bekerja dalam pembinaan membawa sebilah pedang yang terikat pada pinggangnya. Orang yang bertugas meniup trompet sebagai tanda bahaya sentiasa di sampingku. 19Aku berkata kepada rakyat, para pegawai, dan pemimpin mereka, “Pekerjaan ini meliputi jarak yang luas, sehingga kita terpencar-pencar di sepanjang tembok ini, seorang jauh daripada yang lain. 20Oleh itu, jika kamu mendengar bunyi trompet, segeralah berkumpul di sekelilingku. Allah kita akan berperang untuk kita.” 21Demikianlah kami bekerja tiap-tiap hari, mulai dari subuh sehingga bintang-bintang kelihatan di langit. Setengah daripada rakyat bekerja memperbaiki tembok, dan setengah lagi berkawal dengan membawa tombak.
22Selama masa itu aku menyuruh semua pengawas dan semua pembantu mereka bermalam di Yerusalem, supaya kami dapat mengawal kota pada malam hari dan bekerja pada siang hari. 23Aku tidak menanggalkan pakaianku walaupun pada waktu malam, dan demikian juga teman-temanku, anak buahku, dan para pengawal peribadiku. Kami semua sentiasa dalam keadaan siap sedia, dengan memegang senjata kami.

目前选定:

NEHEMIA 4: BM

高亮显示

分享

复制

None

想要在所有设备上保存你的高亮显示吗? 注册或登录