MARKUS 14

14
Muslihat terhadap Yesus
(Mat 26.1-5; Luk 22.1-2; Yoh 11.45-53)
1 Dua hari sebelum Perayaan Paska dan Perayaan Roti Tidak Beragi, ketua imam dan guru Taurat mencari jalan untuk menangkap Yesus dengan diam-diam. Mereka hendak membunuh dia. 2Tetapi mereka berkata, “Kita tidak boleh melakukannya pada masa perayaan, kerana rakyat akan merusuh.”
Yesus Dituangi Minyak Wangi
(Mat 26.6-13; Yoh 12.1-8)
3 Yesus ada di Betania, di rumah Simon yang dahulu berpenyakit kulit yang mengerikan. Ketika Yesus sedang makan, seorang wanita datang kepada-Nya. Dia membawa sebuah botol marmar yang berisi minyak wangi mahal daripada akar wangi. Dia memecahkan botol itu lalu menuang minyak wangi itu ke atas kepala Yesus. 4Beberapa orang di situ marah dan bercakap sesama sendiri, “Apa gunanya minyak wangi itu dibazirkan? 5Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih daripada tiga ratus keping wang perak, dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!” Mereka mengecam wanita itu.
6Tetapi Yesus berkata, “Biarkanlah dia! Mengapa kamu menyusahkan dia? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji. 7 Orang miskin sentiasa ada antara kamu. Jika kamu hendak menolong mereka, bila-bila pun boleh. Tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu. 8Wanita ini melakukan apa yang dapat dilakukannya. Dia menuangi Aku dengan minyak wangi untuk menyediakan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku sebelum waktunya. 9Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia.”
Yudas Bersetuju Mengkhianati Yesus
(Mat 26.14-16; Luk 22.3-6)
10Kemudian Yudas Iskariot, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, pergi kepada para ketua imam dengan maksud untuk menyerahkan Yesus kepada mereka. 11Mereka suka sekali mendengar tawaran Yudas, lalu berjanji memberikan wang kepadanya. Yudas pun mula mencari peluang untuk mengkhianati Yesus.
Yesus Makan Jamuan Paska dengan Pengikut-pengikut-Nya
(Mat 26.17-25; Luk 22.7-14,21-23; Yoh 13.21-30)
12Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu hari apabila orang menyembelih domba Paska, pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di manakah Guru ingin kami menyediakan jamuan Paska untuk Guru?”
13Yesus menyuruh dua orang daripada mereka, “Pergilah ke bandar, lalu kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia 14ke rumah yang dimasukinya, lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, ‘Guru bertanya, di mana bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska.’ 15Dia akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang sudah teratur dan lengkap dengan perabot, kepada kamu. Siapkanlah segala-galanya untuk kita di situ.”
16Kedua-dua orang pengikut itu pergi ke bandar dan mendapati semuanya seperti yang telah dikatakan oleh Yesus, lalu mereka pun menyediakan jamuan Paska itu.
17Pada malam harinya, Yesus datang dengan dua belas orang pengikut-Nya. 18 Sementara mereka makan, Yesus berkata, “Ketahuilah, seorang daripada kamu, yang sekarang ini makan bersama-sama Aku akan mengkhianati Aku.”
19Pengikut-pengikut-Nya menjadi sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, “Tentu bukan saya yang Guru maksudkan?”
20Yesus menjawab, “Dia salah seorang daripada kamu yang dua belas ini, yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku. 21Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik bagi orang itu jika dia tidak pernah dilahirkan!”
Perjamuan Tuhan
(Mat 26.26-30; Luk 22.14-20; 1 Kor 11.23-25)
22Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah dan makanlah, ini tubuh-Ku.”
23Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya. Kemudian mereka semua minum dari cawan itu. 24 Yesus berkata, “Inilah darah-Ku yang dicurahkan untuk banyak orang, darah yang mengesahkan perjanjian Allah. 25Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru di Dunia Baru Bapa-Ku.”
26Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun.
Nubuat bahawa Petrus akan Menyangkal Yesus
(Mat 26.31-35; Luk 22.31-34; Yoh 13.36-38)
27 Yesus berkata kepada mereka, “Kamu semua akan lari meninggalkan Aku, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan membunuh gembala itu, lalu kawanan dombanya akan tercerai-berai.’ 28 Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan pergi ke Galilea lebih dahulu daripada kamu.”
29Petrus menjawab, “Meskipun semua yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan berbuat begitu.”
30Yesus berkata kepadanya, “Ingatlah, sebelum ayam berkokok dua kali malam ini, tiga kali engkau akan berkata bahawa engkau tidak mengenal Aku.”
31Petrus menjawab dengan lebih tegas, “Tidak sekali-kali saya akan berkata saya tidak mengenal Guru, meskipun saya terpaksa mati bersama-sama Guru!”
Semua pengikut yang lain pun berkata demikian.
Yesus Berdoa di Getsemani
(Mat 26.36-46; Luk 22.39-46)
32Mereka tiba di satu tempat bernama Getsemani. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa.”
33Kemudian Dia mengajak Petrus, Yakobus, dan Yohanes pergi bersama-sama Dia. Yesus sangat sedih dan gelisah. 34Dia berkata kepada mereka, “Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjagalah!”
35Yesus pergi lebih jauh sedikit lalu meniarap di tanah dan berdoa supaya jika boleh Dia tidak usah mengalami saat penderitaan itu. 36Dia berdoa, “Bapa, ya Bapa-Ku! Tidak ada satu perkara yang mustahil bagi Bapa. Jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.”
37Selepas itu Yesus kembali dan mendapati tiga orang pengikut-Nya sedang tidur. Dia berkata kepada Petrus, “Simon, tidurkah engkau? Tidak dapatkah engkau berjaga selama satu jam?” 38Lalu Dia berkata kepada mereka semua, “Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan. Memang roh kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana kamu lemah.”
39Sekali lagi Yesus pergi berdoa dan mengucapkan kata-kata yang sama. 40Ketika Dia kembali kepada pengikut-pengikut-Nya, Dia mendapati mereka masih tidur kerana terlalu mengantuk. Mereka tidak tahu akan apa yang harus dikatakan kepada Yesus.
41Ketika Yesus kembali untuk kali ketiga, Dia berkata kepada mereka, “Masihkah kamu tidur dan berehat? Cukuplah! Saatnya sudah tiba. Lihatlah, Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan orang berdosa. 42Bangunlah, marilah kita pergi. Lihatlah, orang yang mengkhianati Aku sudah datang!”
Yesus Ditangkap
(Mat 26.47-56; Luk 22.47-53; Yoh 18.3-12)
43Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka diutus oleh para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi. 44Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah Dia. Tangkaplah Dia dan bawalah Dia dengan kawalan yang ketat!”
45Sebaik sahaja Yudas tiba, dia menghampiri Yesus lalu berkata, “Guru!” seraya mencium Dia. 46Lalu mereka menangkap Yesus dan memegang Dia dengan kuat. 47Tetapi salah seorang di situ menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinganya. 48Yesus berkata kepada mereka, “Mestikah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? 49 Berhari-hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Memang apa yang tertulis di dalam Alkitab mesti berlaku.”
50Ketika itu semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia.
51Seorang lelaki muda yang memakai sehelai kain linen untuk menutupi badan, mengikuti Yesus. Apabila orang cuba menangkap lelaki itu, 52dia melepaskan kainnya lalu lari bertelanjang.
Yesus di hadapan Majlis Agama
(Mat 26.57-68; Luk 22.54-55,63-71; Yoh 18.13-14,19-24)
53Kemudian mereka membawa Yesus ke rumah Imam Agung. Di situ semua ketua imam, pemimpin masyarakat orang Yahudi, dan guru Taurat sedang berkumpul. 54Petrus mengikut dari jauh lalu masuk ke halaman rumah Imam Agung itu. Dia duduk berdiang dengan pengawal-pengawal. 55Para ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari bukti-bukti untuk menyalahkan Yesus, supaya mereka dapat menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Tetapi mereka tidak mendapat satu bukti pun. 56Banyak saksi memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus, tetapi kesaksian mereka saling bertentangan.
57Kemudian beberapa orang berdiri dan memberikan kesaksian palsu tentang Yesus. 58 Mereka berkata, “Kami mendengar orang ini berkata, ‘Aku akan merobohkan Rumah Tuhan yang dibina oleh manusia, lalu selepas tiga hari Aku akan membina yang lain yang bukan buatan manusia.’ ” 59Tetapi kesaksian mereka pun saling bertentangan.
60Setelah itu Imam Agung berdiri di hadapan mereka semua dan bertanya kepada Yesus, “Tidakkah kamu mahu menjawab tuduhan yang ditujukan kepadamu?”
61Yesus diam sahaja dan tidak mahu berkata sepatah pun. Sekali lagi Imam Agung bertanya kepada-Nya, “Kamukah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Maha Suci?”
62 Yesus menjawab, “Ya! Kamu semua akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang dikelilingi awan dari langit!”
63Imam Agung mengoyakkan pakaiannya dan berkata, “Kita tidak memerlukan saksi lagi! 64 Kamu sudah mendengar dia mengkufuri Allah! Apakah keputusan kamu?”
Mereka semua mengambil keputusan bahawa Yesus memang bersalah dan mesti dihukum mati.
65Beberapa orang mula meludahi Yesus. Mereka menutupi mata-Nya dan memukul Dia. “Tekalah,” kata mereka, “siapa yang memukul kamu?” Pengawal-pengawal di situ pun menampar Dia.
Petrus Menyangkal Yesus
(Mat 26.69-75; Luk 22.56-62; Yoh 18.15-18,25-27)
66Petrus masih di halaman apabila salah seorang hamba perempuan Imam Agung datang. 67Apabila dia nampak Petrus berdiang, dia mengamati Petrus dan berkata, “Kamu juga bersama-sama Yesus orang Nasaret itu.”
68Tetapi Petrus menafikannya. Dia berkata, “Aku tidak tahu dan tidak faham akan apa yang kamu katakan.” Lalu dia pergi ke pintu masuk halaman itu. Pada ketika itu, ayam berkokok.
69Hamba perempuan tadi nampak Petrus di situ. Dia berkata pula kepada semua orang di situ, “Orang ini seorang daripada mereka!” 70Tetapi Petrus menafikannya lagi.
Tidak lama kemudian, semua orang di situ menuduh Petrus lagi, “Kamu tidak dapat menafikannya bahawa kamu salah seorang daripada mereka, kerana kamu pun dari Galilea!”
71Petrus bersumpah, “Biarlah Allah menghukum aku jika aku berdusta! Aku tidak mengenal orang yang kamu sebutkan itu!”
72Ketika itu juga ayam berkokok untuk kali kedua. Maka Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, “Sebelum ayam berkokok dua kali, engkau akan menyangkal Aku tiga kali.” Lalu dia menangis tersedu-sedu.

目前选定:

MARKUS 14: BM

高亮显示

分享

复制

None

想要在所有设备上保存你的高亮显示吗? 注册或登录