IBRANI 11
11
Iman
1Beriman bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan, dan mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat. 2Kerana beriman, nenek moyang kita diperkenankan oleh Allah.
3 Kerana beriman, kita mengerti bahawa alam ini diciptakan oleh firman Allah, maka apa yang dapat dilihat dijadikan daripada apa yang tidak dapat dilihat.
4 Kerana beriman, Habel mempersembahkan korban yang lebih baik daripada korban yang dipersembahkan oleh Kain kepada Allah. Dengan imannya itu, Habel diterima oleh Allah sebagai orang yang baik, oleh sebab Allah menerima persembahannya. Kerana imannya itu, Habel masih berkata-kata sampai sekarang, meskipun dia sudah meninggal.
5 Kerana beriman, Henokh tidak mati. Sebaliknya dia diangkat dan dibawa kepada Allah. Tidak seorang pun dapat menjumpainya, kerana dia sudah diangkat oleh Allah. Di dalam Alkitab tertulis, bahawa sebelum Henokh diangkat, dia menyenangkan hati Allah. 6Tanpa iman, tidak seorang pun dapat menyenangkan hati Allah. Orang yang datang kepada Allah mesti percaya bahawa Allah wujud, dan bahawa Allah menganugerahi orang yang mencari-Nya.
7 Kerana beriman, Nuh mendengarkan amaran Allah tentang perkara-perkara pada masa depan, yang belum dilihat olehnya. Nuh taat kepada Allah, lalu membina sebuah bahtera yang kemudian menyelamatkan dia dan keluarganya. Dengan demikian dunia dihukum, dan kerana imannya Nuh dinyatakan oleh Allah sebagai orang yang baik.
8 Kerana beriman, Abraham mentaati Allah ketika Allah memanggilnya dan menyuruhnya pergi ke negeri yang dijanjikan oleh Allah kepadanya. Abraham meninggalkan negerinya tanpa mengetahui ke mana dia akan pergi. 9 Kerana beriman, Abraham tinggal sebagai orang asing di negeri yang dijanjikan oleh Allah kepadanya. Dia tinggal di khemah dengan Ishak dan Yakub, yang menerima janji yang sama daripada Allah. 10Hal itu demikian kerana Abraham sedang menantikan kota yang kekal, kota yang dirancang dan dibina oleh Allah.
11 Kerana beriman, Abraham dapat menjadi bapa, meskipun dia sudah sangat tua dan Sara pun mandul. Abraham yakin bahawa Allah akan menepati janji-Nya. 12 Meskipun Abraham pada masa itu sudah mati pucuk, tetapi dia mendapat keturunan sebanyak bintang di langit dan pasir di pantai.
13 Semua orang ini beriman sampai mati. Mereka tidak menerima perkara-perkara yang dijanjikan oleh Allah, tetapi dari jauh mereka nampak dan menyambutnya. Mereka mengaku dengan terang-terang bahawa mereka hanyalah orang asing dan pengembara di bumi ini. 14Orang yang berkata demikian menunjukkan dengan jelas bahawa mereka sedang mencari negeri yang akan menjadi tanah air mereka. 15Mereka tidak selalu memikirkan negeri yang sudah ditinggalkan. Jika mereka selalu memikirkannya, mereka berpeluang kembali ke negeri itu. 16Sebaliknya, mereka merindukan sebuah negeri yang lebih baik, iaitu negeri yang di syurga. Itulah sebabnya Allah tidak malu apabila mereka menyebut Dia sebagai Allah mereka, kerana Allah sudah menyediakan sebuah kota untuk mereka.
17 Kerana beriman, Abraham mempersembahkan anaknya, Ishak, sebagai korban, ketika Allah menguji Abraham. Allah memberikan janji-Nya kepada Abraham, namun Abraham bersedia mempersembahkan anaknya yang tunggal sebagai korban. 18 Allah sudah berfirman kepadanya, “Melalui Ishak engkau akan beroleh keturunan yang Aku janjikan.” 19Abraham yakin bahawa Allah berkuasa membangkitkan Ishak daripada kematian. Oleh itu boleh dikatakan, Abraham sudah menerima Ishak kembali daripada kematian.
20 Kerana beriman, Ishak menjanjikan berkat untuk masa depan bagi Yakub dan Esau.
21 Kerana beriman, Yakub memberkati setiap anak Yusuf sebelum Yakub meninggal. Yakub bersandar pada kepala tongkatnya dan menyembah Allah.
22 Kerana beriman, Yusuf ketika hampir meninggal berkata tentang keluarnya orang Israel dari Mesir. Dia juga berpesan tentang apa yang harus dilakukan dengan jenazahnya.
23 Kerana beriman, ibu bapa Musa menyembunyikan dia selama tiga bulan setelah dia lahir. Mereka melihat bahawa Musa bayi yang comel, dan mereka tidak takut menentang titah raja.
24 Kerana beriman, Musa sesudah menjadi dewasa, tidak mahu disebut anak puteri raja Mesir. 25Musa lebih suka menderita bersama-sama umat Allah daripada menikmati kesenangan hidup berdosa untuk sementara waktu. 26Musa berpendapat bahawa jauh lebih berharga menanggung hinaan bagi Penyelamat yang diutus oleh Allah daripada mendapat segala harta negeri Mesir, kerana Musa mengharapkan pahala pada masa yang akan datang.
27 Kerana beriman, Musa meninggalkan Mesir tanpa berasa takut akan kemurkaan raja. Musa tidak mahu berpatah balik, kerana seolah-olah dia sudah nampak Allah yang tidak kelihatan itu. 28 Kerana beriman, Musa memulakan Paska dan memberikan perintah supaya darah dipercikkan pada pintu, agar Malaikat Maut tidak membunuh anak laki-laki sulung orang Israel.
29 Kerana beriman, orang Israel dapat menyeberang Laut Merah, seolah-olah mereka berjalan di atas tanah yang kering. Ketika orang Mesir cuba menyeberang, mereka mati lemas di dalam laut itu.
30 Kerana beriman, orang Israel menyebabkan tembok-tembok Yerikho roboh setelah mereka mengelilinginya selama tujuh hari. 31 Kerana beriman, Rahab, wanita pelacur itu, tidak turut terbunuh bersama-sama orang yang melawan Allah, kerana dia menyambut pengintip-pengintip Israel dengan ramah.
32 Perlukah aku meneruskannya? Masa tidak cukup bagiku untuk bertutur tentang Gideon, Barak, Simson, Yefta, Daud, Samuel, dan nabi-nabi. 33 Kerana beriman, mereka mengalahkan negeri-negeri. Mereka melakukan apa yang benar. Oleh itu mereka menerima apa yang dijanjikan oleh Allah. Mereka menutup mulut singa, 34 memadamkan api yang dahsyat, dan menyelamatkan diri daripada tikaman pedang. Mereka lemah, tetapi menjadi kuat; mereka perkasa dalam peperangan dan mengalahkan pasukan-pasukan bangsa asing. 35 Kerana beriman, kaum wanita mendapat kembali sanak keluarga yang sudah dibangkitkan daripada kematian.
Ada pula yang rela diseksa sampai mati, dan menolak untuk dibebaskan, kerana ingin dihidupkan kembali bagi kehidupan yang lebih baik. 36 Ada yang diolok-olok dan dicambuk. Ada juga yang dirantai dan dipenjarakan. 37 Ada yang direjam sehingga mati, ada yang dipotong menjadi dua dengan gergaji, dan ada pula yang dibunuh dengan pedang. Mereka mengembara dengan berpakaian kulit domba atau kambing. Mereka miskin, dianiaya, dan diseksa. 38Dunia ini bukan tempat yang layak bagi mereka. Mereka mengembara seperti pelarian di padang gurun dan di bukit-bukit. Mereka tinggal di dalam gua dan lubang-lubang di tanah.
39Alangkah besarnya kejayaan yang dicapai oleh semua orang itu kerana iman mereka! Namun mereka tidak menerima apa yang dijanjikan oleh Allah, 40kerana Allah mempunyai rancangan yang lebih baik bagi kita. Dia merancang bahawa hanya bersama-sama kita, mereka akan menjadi sempurna.
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.