KEJADIAN 15

15
Perjanjian Allah dengan Abram
1Selepas itu, Abram mendapat penglihatan dan mendengar TUHAN berfirman kepadanya, “Jangan takut, Abram. Aku akan melindungi engkau daripada bahaya dan memberikan pahala yang besar kepadamu.”
2Tetapi Abram berkata, “Ya TUHAN Raja, apakah gunanya pahala itu bagiku kerana aku tidak mempunyai anak? Orang yang akan mewarisi hartaku hanya Eliezer, hambaku dari Damsyik. 3Engkau tidak mengurniakan anak kepadaku. Oleh itu yang mewarisi hartaku hanya seorang daripada hambaku.”
4Kemudian Abram mendengar TUHAN berfirman lagi kepadanya, “Hamba itu tidak akan mewarisi hartamu, melainkan anak lelakimu sendiri.” 5 TUHAN membawa Abram ke luar lalu berfirman, “Pandanglah ke langit dan cubalah hitung bintang; engkau akan mempunyai keturunan sebanyak bintang.” 6 Abram percaya kepada TUHAN, maka TUHAN berkenan kepadanya.
7Kemudian TUHAN berfirman lagi kepada Abram, “Akulah TUHAN yang sudah memimpin engkau keluar dari Ur di negeri Babilonia, untuk memberikan tanah ini kepadamu supaya menjadi milikmu.”
8Tetapi Abram bertanya, “Ya TUHAN Raja, bagaimana aku dapat mengetahui bahawa tanah ini akan menjadi milikku?”
9TUHAN menjawab, “Ambillah seekor lembu betina, seekor kambing betina, dan seekor domba jantan untuk-Ku. Setiap satunya harus berumur tiga tahun, dan ambil juga seekor burung merpati, serta seekor burung tekukur.” 10Kemudian Abram mengambil semuanya bagi Allah. Abram membelah lembu, kambing, dan domba itu. Dia meletakkan belahan-belahan binatang itu pada dua barisan, setiap belahan menghadap satu sama lain, tetapi dia tidak membelah burung. 11Burung-burung pemakan bangkai hinggap atas daging binatang itu, tetapi Abram menghalau semuanya.
12 Ketika matahari mulai terbenam, Abram tidur lena, lalu perasaan takut dan ngeri meliputi dirinya. 13 TUHAN berfirman kepadanya, “Keturunanmu akan menjadi orang asing di negeri lain; mereka akan menjadi hamba di sana dan akan ditindas selama empat ratus tahun. 14 Tetapi Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba keturunanmu itu. Apabila keturunanmu meninggalkan negeri itu, mereka akan membawa banyak harta benda. 15Engkau sendiri akan lanjut usia; engkau akan meninggal dengan tenang, lalu dikebumikan. 16Selepas empat generasi, keturunanmu akan kembali ke sini, kerana Aku tidak akan mengusir orang Amori sebelum mereka menjadi terlalu jahat sehingga harus dihukum.”
17Setelah matahari terbenam dan hari sudah gelap, tiba-tiba sebuah dapur arang yang berasap dan obor yang bernyala, lalu di antara belahan-belahan binatang itu. 18 Pada masa itu juga TUHAN membuat perjanjian dengan Abram. TUHAN berfirman, “Aku berjanji akan memberikan seluruh tanah ini kepada keturunanmu, mulai dari sempadan negeri Mesir hingga Sungai Efrat, 19termasuk juga tanah orang Keni, Kenas, Kadmon, 20Het, Feris, Refaim, 21Amori, Kanaan, Girgasi, dan Yebusi.”

目前选定:

KEJADIAN 15: BM

高亮显示

分享

复制

None

想要在所有设备上保存你的高亮显示吗? 注册或登录