PENGKHUTBAH Kata Pengantar
Kata Pengantar
Kitab Pengkhutbah mengandungi buah fikiran ‘Si Pemikir’. Dia merenungkan betapa singkatnya hidup manusia, yang penuh dengan pertentangan, ketidakadilan dan kekecewaan. Maka disimpulkannya bahawa hidup manusia itu sia-sia sahaja. Dia tidak dapat memahami cara Allah menguasai hidup manusia. Namun demikian, dia menasihatkan manusia supaya bekerja keras di samping menikmati pemberian Allah selama mungkin.
Kebanyakan pendapat itu bersifat negatif bahkan mengecewakan. Tetapi kitab ini termasuk di dalam Alkitab, dan hal ini menunjukkan bahawa iman yang berdasarkan Alkitab cukup luas untuk mempertimbangkan kehampaan dan wasangka yang dikemukakan oleh Si Pemikir. Banyak orang yang membaca kitab ini terhibur kerana seolah-olah melihat sifat mereka sendiri di dalam kitab ini. Mereka sedar bahawa di samping mengemukakan kehampaan, Alkitab juga memberikan harapan bahawa Allah memberikan makna hidup yang sebenarnya.
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.