1 TAWARIKH 22

22
1Oleh itu Raja Daud bertitah, “Di tempat inilah Rumah TUHAN Allah harus dibina, dan di mazbah inilah orang Israel harus mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN.”
Persiapan untuk Membina Rumah TUHAN
2Raja Daud memberikan perintah supaya semua orang asing yang tinggal di negeri Israel berkumpul, lalu baginda menyuruh mereka bekerja. Sebilangan daripada mereka memahat batu untuk membina Rumah TUHAN. 3Raja Daud menyediakan banyak sekali besi untuk membuat paku dan engsel bagi pintu-pintu gerbang Rumah TUHAN. Baginda juga menyediakan begitu banyak gangsa sehingga tidak dapat ditimbang. 4Raja Daud memesan sejumlah besar kayu sedar daripada orang Tirus dan Sidon. 5Raja Daud melakukan semuanya kerana baginda berfikir begini, “Aku harus menyediakan apa yang diperlukan untuk pembinaan Rumah TUHAN. Salomo, puteraku masih muda dan kurang pengalaman, sedangkan Rumah TUHAN yang akan dibina itu harus sangat indah dan termasyhur di seluruh dunia.” Oleh itu sebelum Raja Daud mangkat, baginda menyediakan banyak sekali bahan binaan.
6Raja Daud memanggil Salomo, putera baginda dan memerintah dia untuk membina sebuah rumah bagi TUHAN Allah yang disembah umat Israel. 7Raja Daud bertitah kepada Salomo, “Hai putera beta, telah lama beta berniat membina sebuah rumah untuk menghormati TUHAN Allah beta. 8Tetapi TUHAN berfirman bahawa beta terlalu sering bertempur dan telah membunuh banyak orang. Oleh itu Dia tidak membenarkan beta membina rumah untuk-Nya. 9Meskipun begitu Dia telah berjanji kepada beta. Firman-Nya, ‘Engkau akan mendapat seorang anak lelaki, dan dia akan memerintah dengan aman kerana Aku akan menolong dia sehingga tiada musuh yang memerangi dia. Dia akan dinamakan Salomo, kerana pada zaman pemerintahannya, Aku akan membuat Israel aman dan tenteram. 10 Anakmu itu akan membina rumah untuk-Ku. Dia akan menjadi anak-Ku dan Aku menjadi Bapanya. Takhta kerajaan Israel akan tetap pada keturunannya sampai selama-lamanya.’ ”
11Raja Daud bertitah lagi, “Oleh itu, hai putera beta, semoga TUHAN, Allahmu selalu menyertai engkau. Semoga engkau berjaya membina rumah untuk TUHAN seperti yang telah dijanjikan-Nya. 12Semoga TUHAN, Allahmu memberikan pengertian dan kebijaksanaan kepadamu, supaya engkau dapat memerintah Israel menurut Taurat-Nya. 13 Jika engkau mentaati semua hukum yang diberikan TUHAN kepada Israel dengan perantaraan Musa, engkau akan berjaya. Engkau harus yakin dan berani. Jangan takut menghadapi apa-apa pun. 14Tentang Rumah TUHAN itu, beta telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengumpulkan lebih daripada 3,400 tan emas dan lebih daripada 34,000 tan perak. Selain itu ada gangsa dan besi yang tidak terbilang banyaknya. Kayu dan batu pun telah beta sediakan, tetapi engkau harus menambahkannya lagi. 15Engkau mempunyai banyak orang pekerja. Ada orang yang dapat bekerja di kuari, ada tukang kayu, tukang batu, dan banyak sekali tukang yang lain 16seperti tukang emas, tukang perak, tukang gangsa, dan tukang besi. Mulakanlah pekerjaan itu dengan segera! Semoga TUHAN menyertai engkau.”
17Raja Daud memerintah semua pemimpin Israel untuk menolong Salomo. 18Raja Daud bertitah, “TUHAN Allah kamu telah menolong kamu. Dia telah memberi kamu keamanan di seluruh negeri. Dia telah membolehkan beta mengalahkan semua bangsa yang dahulu tinggal di negeri ini. Sekarang mereka takluk kepada kamu dan kepada TUHAN. 19Oleh itu, hendaklah kamu mengabdikan diri kepada TUHAN Allah kamu dengan segenap hati dan segenap jiwa. Mulalah membina rumah untuk TUHAN supaya Tabut Perjanjian-Nya dan semua perkakas lain yang digunakan khas untuk ibadat dapat disimpan di situ.”

目前选定:

1 TAWARIKH 22: BM

高亮显示

分享

复制

None

想要在所有设备上保存你的高亮显示吗? 注册或登录