Kuasa TUHAN Raja ada padaku,
Dia telah memilih aku dan mengutus aku
untuk mengkhabarkan berita baik kepada orang miskin,
untuk memulihkan orang yang hancur hati,
untuk mengumumkan kemerdekaan kepada orang tawanan,
dan pembebasan kepada orang di dalam penjara.
Dia telah mengutus aku untuk mengisytiharkan
ketibaan masa
bagi TUHAN untuk menyelamatkan umat-Nya,
dan mengalahkan musuh-musuh mereka.
Dia telah mengutus aku untuk menghiburkan orang yang berduka,
untuk memberi orang yang berkabung di Sion,
kesukaan serta kegembiraan, dan bukan kedukaan,
lagu pujian, dan bukan kesedihan.
Mereka akan menjadi seperti pokok
yang ditanam oleh TUHAN sendiri.
Mereka akan melakukan hal yang benar,
dan Allah akan dipuji kerana perbuatan-Nya.