YOHANES Kata Pengantar

Kata Pengantar
Berita Baik yang Disampaikan oleh Yohanes mengemukakan Yesus sebagai Firman Allah yang kekal. Dia menjadi manusia dan tinggal antara kita. Sebagaimana yang dikatakan di dalam kitab ini, Berita Baik ini ditulis supaya para pembacanya dapat percaya bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan Dia juga Anak Allah. Jika mereka percaya kepada-Nya, mereka beroleh kehidupan (20.31).
Selepas pendahuluan yang menyatakan Yesus sebagai Firman Allah yang kekal, bahagian pertama kitab ini mengisahkan berbagai-bagai mukjizat yang menunjukkan bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan Dia juga Anak Allah. Semua hal luar biasa itu diikuti oleh percakapan yang menjelaskan apa yang dinyatakan oleh mukjizat itu. Di dalam bahagian ini, Yohanes menceritakan bahawa ada orang yang percaya kepada Yesus lalu menjadi pengikut-Nya, tetapi ada juga orang yang menentang Dia dan tidak mahu percaya kepada-Nya. Dengan panjang lebar fasal 13—17 mengisahkan bagaimana akrabnya Yesus dengan pengikut-pengikut-Nya pada malam Yesus ditangkap. Kata-kata Yesus juga mempersiapkan dan menggalakkan para pengikut-Nya pada malam sebelum Dia disalibkan. Fasal-fasal terakhir mengisahkan hal Yesus ditangkap dan diadili, hal Dia disalibkan dan dibangkitkan semula, serta hal Dia menampakkan diri kepada pengikut-pengikut-Nya.
Kisah wanita yang tertangkap basah ketika berzina (8.1-11) ditandai dengan tanda kurung siku, kerana kebanyakan naskhah dan terjemahan zaman dahulu tidak memasukkan cerita itu. Sedangkan naskhah-naskhah lain memasukkannya di bahagian lain.
Di dalam kitab ini Yohanes menitikberatkan pemberian hidup sejati dan kekal, yang dianugerahkan oleh Allah melalui Kristus. Pemberian itu bermula sekarang dan dapat dialami oleh orang yang menerima Yesus sebagai jalan kepada Allah, sebagai yang menyatakan Allah dan sebagai pemberi hidup. Keistimewaan kitab ini dapat dilihat dalam penggunaan perkara sehari-hari seperti air, roti, cahaya, gembala dan domba, pokok anggur dan buahnya untuk melambangkan hakikat rohani.
Kandungan
Pendahuluan 1.1-18
Yohanes Pembaptis dan Pengikut Yesus yang Mula-mula 1.19-51
Pelayanan Yesus di Kalangan Orang Ramai 2.1—12.50
Hari-hari Terakhir di Yerusalem dan Sekitarnya 13.1—19.42
Kebangkitan Yesus dan Penampakan Diri-Nya 20.1-31
Penutup: Yesus Menampakkan Diri di Galilea 21.1-25

Vurgu

Paylaş

Kopyala

None

Önemli anlarınızın tüm cihazlarınıza kaydedilmesini mi istiyorsunuz? Kayıt olun ya da giriş yapın