YOHANES 5

5
Penyembuhan di Kolam Betesda
1Selepas itu ada satu perayaan Yahudi dan Yesus pergi ke Yerusalem. 2Di Yerusalem dekat Pintu Domba ada sebuah kolam#dekat Pintu Domba ada sebuah kolam; atau dekat Kolam Domba ada sebuah tempat. yang dalam bahasa Ibrani dinamakan Betesda.#Betesda; Beberapa buah naskhah kuno: Betzata. Kolam ini dikelilingi lima buah serambi. 3Banyak orang sakit berbaring di serambi-serambi itu - yang buta, yang tempang, dan yang lumpuh. [Mereka semua menunggu air di kolam itu berkocak, 4kerana ada kalanya malaikat Tuhan turun ke dalam kolam itu dan mengocakkan airnya, lalu orang sakit yang pertama masuk ke dalam kolam itu semasa air berkocak akan sembuh daripada penyakit apa pun yang dihidapnya.]#Beberapa buah naskhah kuno menambahkan ayat-ayat ini. 5Di situ terdapat seorang lelaki yang sudah sakit selama tiga puluh lapan tahun. 6Yesus nampak dia terbaring di situ, dan Dia tahu bahawa orang itu sudah lama sekali sakit. Oleh itu Yesus bertanya kepadanya, “Mahukah kamu sembuh?”
7Orang sakit itu menjawab, “Tuan, tiada sesiapa pun di sini yang dapat memasukkan saya ke dalam kolam apabila air berkocak. Sementara saya mencuba masuk ke dalam kolam, orang lain telah mendahului saya.”
8Yesus berkata kepadanya, “Bangunlah, angkatlah tikarmu, dan berjalanlah.” 9Pada saat itu juga orang itu sembuh. Dia mengangkat tikarnya lalu berjalan.
Hal ini berlaku pada hari Sabat. 10#Neh 13.19; Yer 17.21 Oleh itu para penguasa Yahudi berkata kepada orang yang baru disembuhkan itu, “Hari ini hari Sabat; kamu melanggar Taurat kita kerana mengangkat tikar.”
11Tetapi orang itu menjawab, “Orang yang menyembuhkan saya tadi menyuruh saya mengangkat tikar dan berjalan.”
12Mereka bertanya, “Siapakah orang yang menyuruh kamu mengangkat tikar dan berjalan?”
13Orang yang baru disembuhkan itu tidak tahu siapa orang itu, kerana Yesus sudah menghilang antara orang ramai di tempat itu.
14Tidak lama kemudian, Yesus berjumpa dengan dia di dalam Rumah Tuhan dan berkata kepadanya, “Sekarang kamu sudah sembuh. Janganlah berdosa lagi, supaya kamu tidak ditimpa perkara yang lebih dahsyat.”
15Kemudian orang itu pergi dan memberitahu para penguasa Yahudi bahawa Yesuslah yang menyembuhkan dia. 16Oleh itu, mereka mula memusuhi Yesus, kerana Dia menyembuhkan orang pada hari Sabat.
17Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Bapa-Ku sentiasa bekerja; Aku pun harus bekerja.”
18Kata-kata-Nya ini membuat para penguasa Yahudi semakin bertekad untuk membunuh Dia. Bukan sahaja Dia telah melanggar hukum hari Sabat, tetapi Dia berkata bahawa Allah itu Bapa-Nya. Hal ini bererti Dia menyamakan diri dengan Allah.
Kekuasaan Anak
19Yesus menjawab mereka, “Percayalah, Anak tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, perkara itu juga yang dilakukan oleh Anak. 20Bapa mengasihi Anak dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada-Nya. Dia akan menyatakan perkara-perkara yang lebih besar lagi kepada Anak sehingga kamu semua hairan. 21Sebagaimana Bapa membangkitkan orang mati dan menyebabkan mereka hidup, begitu juga Anak memberikan hidup kepada orang yang dikehendaki-Nya. 22Bapa tidak menghakimi sesiapa pun. Dia sudah menyerahkan segala kekuasaan untuk menghakimi orang kepada Anak-Nya. 23Oleh itu semua orang menghormati Anak sebagaimana mereka menghormati Bapa. Orang yang tidak menghormati Anak, juga tidak menghormati Bapa yang mengutus Anak.
24Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus Aku, beroleh hidup sejati dan kekal. Dia tidak akan dihukum, melainkan sudah terlepas daripada kematian dan mulai benar-benar hidup. 25Percayalah: Akan tiba masanya, malah sudah tiba, apabila orang mati akan mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengarkan apa yang dikatakan-Nya akan hidup. 26Sebagaimana Bapa sendiri sumber hidup, Dia menjadikan Anak-Nya sumber hidup juga. 27Dia sudah memberikan kuasa kepada Anak untuk menghakimi, kerana Anak itu Anak Manusia. 28Janganlah kamu hairan mendengar hal ini, kerana akan tiba masanya apabila semua orang mati akan mendengar suara-Nya, 29#Dan 12.2 lalu keluar dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit dan hidup, tetapi orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihukum.”
Kesaksian tentang Yesus
30“Aku tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Ku sendiri. Aku menghakimi orang menurut apa yang diperintahkan oleh Allah. Oleh itu keputusan-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri, melainkan kehendak Dia yang mengutus Aku.
31Jika Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian itu tidak dapat diterima sebagai bukti yang benar. 32Tetapi Bapa memberikan kesaksian tentang diri-Ku, dan Aku tahu kesaksian-Nya benar. 33#Yoh 1.19-27, 3.27-30 Kamu mengirim utusan kepada Yohanes, dan Yohanes sudah memberikan kesaksian yang benar tentang diri-Ku. 34Sebenarnya Aku tidak memerlukan kesaksian daripada manusia, tetapi Aku berkata demikian supaya kamu boleh diselamatkan. 35Yohanes bagaikan pelita yang menyala dan bersinar. Untuk sementara waktu kamu menikmati cahayanya dan kamu bersukacita. 36Tetapi kesaksian daripada perbuatan-Ku lebih penting daripada kesaksian Yohanes. Aku melakukan apa yang ditugaskan oleh Bapa-Ku, dan semua itu membuktikan bahawa Bapa sudah mengutus Aku. 37#Mat 3.17; Mrk 1.11; Luk 3.22 Bapa yang mengutus Aku pun memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Kamu belum pernah mendengar suara-Nya atau melihat muka-Nya. 38Kamu tidak percaya kepada firman-Nya, kerana kamu tidak percaya kepada Dia yang diutus-Nya. 39Kamu menyelidiki Alkitab kerana menyangka bahawa dengan cara itu kamu akan beroleh hidup sejati dan kekal. Sebenarnya Alkitab memberikan kesaksian tentang Aku. 40Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku supaya beroleh hidup sejati.
41Aku tidak mengharapkan pujian daripada manusia. 42Aku kenal akan kamu. Aku tahu bahawa kamu sebenarnya tidak mengasihi Allah. 43Aku datang dengan kuasa Bapa-Ku, tetapi kamu tidak menyambut Aku. Tetapi manakala seorang lain datang dengan kuasanya sendiri, kamu menyambut dia. 44Bagaimanakah kamu boleh percaya kepada-Ku, jika kamu mencari pujian daripada sesama kamu sendiri? Kamu tidak berusaha untuk mencari pujian daripada Allah yang Esa. 45Janganlah sangka bahawa Aku akan menuduh kamu di hadapan Bapa. Musa yang kamu harapkan itu, yang akan menuduh kamu. 46Jika kamu benar-benar percaya kepada Musa, tentu kamu akan percaya kepada-Ku, kerana Musa menulis tentang Aku. 47Kamu tidak percaya kepada apa yang ditulis oleh Musa, bagaimanakah kamu dapat percaya kepada apa yang Aku katakan?”

Seçili Olanlar:

YOHANES 5: BM

Vurgu

Paylaş

Kopyala

None

Önemli anlarınızın tüm cihazlarınıza kaydedilmesini mi istiyorsunuz? Kayıt olun ya da giriş yapın