Berpacaran pada Zaman ModenSampel

Dating

HARI 3 DARIPADA 7

 

Mengapa Berpacaran?

Berpacaran adalah sukar kerana berpacaran adalah berisiko. Ada kalanya, berpacaran seolah-olah bermain permainan ketingting di kawasan periuk api. Berpacaran boleh membuat anda tertanya-tanya mengapa menanggung risiko kesengsaraan yang pasti akan berlaku. Jawapannya adalah kerana di lubuk hati kita terdapat keperluan dan keinginan mendalam untuk berhubungan dengan orang lain. Kita ingin mengasihi dan dikasihi sebagai balasan. Kebanyakan orang di bumi ini ingin berkahwin. Jadi, kita rela menanggung risiko drama berpacaran demi hasil hubungan jangka panjang yang intim.

Dalam bacaan ini, saya tidak akan bercakap tentang bagaimana anda membuat janji temu, kerana kenyataannya adalah sesiapa sahaja boleh membuat janji temu. Jika anda menetapkan standard yang cukup rendah, anda boleh berkahwin malam ini juga! Menemui seseorang untuk berpacaran adalah mudah. Namun, menemui seseorang yang betul dengan cara yang betul tidaklah mudah. Jadi, soalannya menjadi bagaimanakah anda mencapai ini. Bagaimanakah anda dapat berpacaran dalam cara yang akan memaksimumkan aspek baik menemui orang sementara meminimumkan kesengsaraan? Demi menjawab soalan tersebut, anda perlu berundur dan menanya sesuatu yang lebih asas: Apakah tujuan berpacaran?

Alkitab tidak mengatakan apa-apa tentang berpacaran, tetapi banyak bercakap tentang menilai orang. Saya menghujahkan bahawa berpacaran adalah proses penilaian moden kita. Berpacaran bermaksud menilai sama ada anda ingin menghabiskan seluruh hidup anda dengan seseorang yang tertentu. Soalan kritis yang pertama bagi penilaian ini membawa kepada sifat-sifat yang anda cari dalam orang lain.

Sebagai orang bujang, anda harus bergerak ke arah Tuhan. Mengabdikan diri kepada-Nya. Menggunakan kurnia, keupayaan, masa, dan pengaruh anda untuk menjadi berkat kepada semua orang yang telah dicipta dalam gambaran-Nya. Semasa anda mengejar-Nya, ada pelbagai jenis orang lain yang juga berlari-lari, tetapi dalam semua haluan. Akhirnya, anda akan memandang ke atas dan melihat orang lain yang mengejar-Nya bersama anda. Semasa berlari, anda akan mula bercakap dengan beberapa orang tersebut. Anda akan memerhatikan mereka.

Perkara yang anda cari adalah sifat dan keserasian. Anda inginkan seseorang dengan sifat baik yang mengejar Allah dan hal Allah secara bersemangat. Anda juga inginkan seseorang yang serasi dengan anda. Anda inginkan seseorang yang anda suka menghabiskan masa bersama, suka bercakap bersama, dan secocok dengan anda. Anda inginkan sifat kukuh yang salih dan keserasian yang menyenangkan dan menyeronokkan.

Berpacaran bukanlah tentang mengejar seseorang supaya anda dapat menemukan tujuan anda dan kepuasan anda dalamnya. Itu merupakan beban yang terlalu berat terhadap orang lain. Itu bukanlah cara anda dicipta. Anda bukan separuh orang yang menantikan separuh orang yang lain untuk "melengkapkan" anda. Anda ialah individu lengkap dan dikasihi oleh Allah sepenuhnya—bukannya tidak lengkap.

Maka, tujuan berpacaran bukanlah untuk menemukan pelengkapan sebagai seseorang individu tetapi untuk menemukan orang dengan sifat baik dan yang serasi dengan anda supaya anda boleh berlari ke arah masa depan yang diberkati oleh Allah bagi anda berdua. Apabila anda berpacaran dengan seseorang, matlamatnya adalah bertumbuh bersama-sama supaya anda boleh saling mendorong, mencabar, dan membentuk satu sama lain. Dalam proses ini, anda perlu menyesuaikan diri, berubah, dan berkorban. Ini tidak selalunya senang atau kelihatan seperti gambaran romantik dalam filem Hollywood. Walau bagaimanapun, anda boleh yakin bahawa perjalanan ini adalah berbaloi.

Inilah tujuan berpacaran. Inilah visi yang anda harapkan dalam perkahwinan. Ini pastinya satu perjalanan yang menakjubkan!

Respons

Bagaimanakah anda pernah dilukai dalam hubungan berpacaran? Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman tersebut?

Apakah motif keinginan berpacaran anda? Adakah motif anda sihat? Mengapa ya atau mengapa tidak?

Apakah yang boleh membantu anda menilai seseorang sebagai teman berpacaran yang mungkin? Apakah harapan anda terhadap masa depan ketika anda mempertimbangkan berpacaran dengan seseorang?

Hari 2Hari 4

Perihal Pelan

Dating

Berpacaran . . . adakah perkataan itu menyebabkan kerisauan atau harpaan dalam hati anda? Segala kesalinghubungan teknologi nampaknya merumitkan, mengelirukan dan mengecewakan lagi hal berpacaran. Dalam bacaan pelan 7 hari berdasarkan buku Single. Dating. Engaged. Married. ini, Ben Stuart akan membantu anda melihat bahawa Allah mempunyai tujuan untuk musim dalam kehidupan anda ini, dan ia menawarkan beberapa prinsip panduan untuk membantu anda menentukan siapa dan bagaimana untuk berpacaran. Ben ialah pastor Passion City Church, Washington, DC, dan bekas pengarah eksekutif Breakaway Ministries, pengajian Alkitab mingguan yang dihadiri oleh ribuan pelajar kolej di kampus Texas A&M. 

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Ben Stuart kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.thatrelationshipbook.com