Meletakkan Tuhan di Tempat PertamaSampel
"Tuhan Mahu Tempat Pertama dalam Hati Anda"
Dalam masyarakat hari ini, banyak orang yang mengukur nilai diri mereka berdasarkan harta, ketinggian pangkat di tempat kerja, kejayaan perniagaan mereka, atau orang yang mereka kenal.
Tetapi jika pandangan kita tentang kepentingan ditentukan berdasarkan perkara tersebut, kita hanya akan berasa puas dengan diri kita sendiri apabila kita berjaya dalam lingkungan tersebut. Apabila kekayaan dan kejayaan kita berkurang, harga diri kita juga akan berkurang kerana asas kita tidak kukuh. Yesus menerangkannya dengan cara ini:
"Tetapi orang yang mendengar kata-kata-Ku dan tidak melakukannya, seperti orang yang membina rumah tanpa asas. Ketika banjir melanda, rumah itu roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan itu." Lukas 6:49
Identiti kita hanya sekuat asas yang kita letakkan. Dengan membina identiti kita di atas asas Yesus Kristus yang kukuh, rasa kepuasan kita dalam kehidupan tidak akan bergantung pada perubahan keadaan sementara.
Apabila Kristus menjadi asas kita, kestabilan kita adalah seperti ini:
"Dia seperti pembina rumah yang menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah pada batu. Air sungai melimpah dan melanda rumah itu, tetapi tidak dapat menggoncangkannya, kerana asas rumah itu dibina dengan teguh." Lukas 6:48
Fikirkan seketika tentang pelbagai pilihan dalam kehidupan anda yang mungkin perlu dibina asas kepentingannya. Ini mungkin termasuk harta, kerjaya, rupa paras, keluarga, kemasyhuran, kuasa atau orang yang anda kenali. Ada tak perkara lain yang anda dapat fikirkan? Antara semua perkara ini yang boleh dijadikan asas identiti kita, hanya Yesus menjamin kehidupan Kristian yang berjaya.
Tetapi kalau anda perhatikan pilihan-pilihan yang lain, ia bukannya tidak baik atau jahat pada asasnya. Sebenarnya, semua itu adalah aspek tanggungjawab yang telah Tuhan berikan kepada kita dalam kehidupan kita. Tetapi dalam kitab Matius, Yesus membantu kita mencari keseimbangan.
"Oleh itu, jangan khuatir akan hidup kamu, apa yang akan kamu makan dan minum, atau apa yang akan kamu pakai. Bukankah hidup lebih penting daripada makanan, dan tubuh lebih bernilai daripada pakaian? Lihatlah burung di udara yang tidak menyemai benih, tidak menuai tuaian, dan tidak mengumpulkan hasil di dalam jelapang, tetapi Bapa kamu yang di syurga memelihara semuanya! Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung? Matius 6:25-26
Apabila kita menerima kebenaran ini dalam kehidupan kita, kita mencapai kedamaian dan kepuasan, bebas daripada kerisauan dan kegelisahan. Keseimbangan ini dicapai apabila kita mendahulukan Yesus dalam semua aspek kehidupan kita.
"Sebaliknya utamakanlah pemerintahan Tuhan dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Tuhan akan memberikan semua itu kepada kamu." Matius 6:33
Kita semua ada impian, cita-cita dan aspirasi kerana Tuhan telah ciptakan kita sebegitu. Tetapi mendahulukan Yesus akan membuat anda memikirkan semula keutamaan anda dan motif mengapa anda berhasrat untuk melakukan atau memiliki sesuatu. Apabila Dia didahulukan dalam impian dan aspirasi anda, masa hadapan anda akan dipenuhi keunggulan dan kebahagiaan.
Apabila Tuhan membawa motif yang boleh dipersoalkan kepada perhatian anda, respons terpenting anda adalah kesediaan untuk melakukan perubahan. Perubahan ada kalanya sukar, tetapi Tuhan selalu mahukan yang terbaik untuk kita, dan mahukan anda berkembang dari segi rohani.
Perihal Pelan
Meletakkan Tuhan di tempat pertama dalam kehidupan kita bukanlah sesuatu yang dibuat hanya sekali... ini merupakan proses sepanjang hidup untuk setiap penganut Kristian. Sama ada anda baru percaya atau pengikut Kristus bergelar “veteran”, anda akan mendapati pelan ini mudah difahami dan mudah diikuti, serta merupakan strategi yang sangat efektif untuk kehidupan Kristian yang berkemenangan
More
Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Twenty20 Faith, Inc. kerana menyediakan rancangan ini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila lawati: http://www.twenty20faith.org/yvdev3